Hina sangat ke 4A1B?

Bismillahi walhamdulillah…

Keputusan UPSR baru diumumkan. Antara tugasan utama saya semasa di JPS dahulu ialah menguruskan kemasukan murid ke Tingkatan Satu di Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Selangor. Tiga buah SMKA semuanya.  Pada musim macam ini, ramai la kenalan yang telefon, bukan setakat bertanya khabar, tapi… Faham faham aje la! Tempat yang diperuntukkan kepada lepasan UPSR hanyalah 455 orang berbanding lebih 3000 pemohon. Ketika itu, syarat minima ke SMKA di Selangor ialah 4A1B, kecuali 5A untuk ke Maahad Hamidiah. Selama enam tahun mengurus, macam-macam ayat yang saya dengar dan hampir sama setiap tahun! Sampaikan Us. Madzlan yang duduk sebelah meja saya boleh hafal apa jawapan yang akan saya berikan kepada ibu bapa yang datang merayu untuk memasukkan anak mereka ke SMKA.Untuk tidak menghampakan, saya terima borang mereka sambil berkata; berdoalah, harap-harap permohonan anak encik berjaya. Atau, anak encik memang cukup syarat. Tapi dia terpaksa bersaing dengan pemohon lain. Bergantung kepada kekosongan kelas dan asrama. Kalau yang memaksa saya jawab; saya hanya mengikut arahan. Kalau encik kata nak jumpa pengarah, saya tak boleh halang. Itu hak encik. Saya cuba susun ayat sebaik mungkin agar ibu bapa yang datang berurusan berpuas hati. Saya lebih suka berterus terang, daripada menyedapkan hati sedangkan saya tahu permohonannya pasti tidak akan berjaya. Namun sebagai manusia, pasti sahaja saya ada kelemahan.

Kenali manusia

Pelbagai karenah terpaksa saya layan. Ada yang melucukan, ada yang menguji kesabaran dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Antaranya; “Ustaz, abang kakak dia semuanya di SMKA, kalau boleh biarlah dia belajar sana juga.” Itu rayuan bagi yang anak dah ramai ke SMKA. Berbeza pula dengan yang ini, “Ustaz, abang kakak dia yang dulu takde seorangpun yang dapat masuk SMKA. Saya harap yang bongsu ni dapatlah, ye ustaz!”. Kalau untuk anak sulung ayatnya, “Ustaz, kalau anak saya ni dapat masuk SMKA, bolehlah jadi perangsang kepada adik-adik dia yang lain.”

Sedih juga dengar kalau anak sakit semasa UPSR; “Ustaz, masa exam tu anak saya demam. Sebab tu dia dapat 3A2B aje. Saya yakin kalau diberi peluang masuk SMKA dia boleh score macam student lain. Tolong la ustaz..” Kalau sekolah tu depan rumah; “Kalau tak dapat duduk asramapun takpe ustaz, yang penting dia dapat belajar kat sekolah tu. Rumah kami dekat dengan sekolah.” Ini pula bagi orang yang berjanji, sedangkan dia tahu bahawa dia sendiri tidak mampu untuk mengotakan janji itu; “Tolong la ustaz, saya dah janji pada anak saya. Saya kata pada dia, kalau Akak dapat 5A, Mama masukkan sekolah tu.”

Panggilan terakhir

Penghujung tahun 2008, iaitu sebelum bertukar ke BPI di KPM, saya menjawab satu panggilan selepas jam 5.30 petang (selepas waktu pejabat). Seorang bapa membuat rayuan ke Maahad Hamidiah untuk anaknya yang memperolehi 4A1B. Pada mulanya saya menjawab seperti biasa. Tetapi si pemanggil tidak berpuas hati dan menganggap saya tidak profesional ketika melayannya. Katanya, “takkan perkara kecil macam ni saya nak bawa jumpa Pengarah atau Agong. Saya kenal Agong.” Bila saya jelaskan di luar sana ada lebih 3000 pemohon 5A, takkan saya nak pilih yang 4A1B. Dia melenting lantas membidas, “hina sangat ke 4A1B?” Bukan setakat itu, ayatnya lebih pedas; “kalau ustaz setakat ada BA Syariah atau Usuluddin, saya tak hairan. Lain la kalau hafiz al-Quran ke!” Ayat-ayat sebelum ni saya boleh terima, tapi sampai part yang akhir ini saya tak boleh tahan. Saya biarkan dia membebel seorang diri, lepas tu saya saya letak telefon. Dan lewat petang hari itu saya memandu pulang dengan sangat tertekan dan sakit kepala!

Alhamdulillah, semua itu sudah berlalu dan menjadi pengalaman berharga untuk saya mengenal kekuatan kelemahan diri sendiri dan karenah manusia di dunia ini. Andaikata ada yang terguris hati semasa berurusan dengan saya, saya mohon maaf. Saya bimbang jika saya pernah menghampakan orang lain semasa mereka berurusan dengan saya, akan tiba masanya nanti saya pula dikecewakan apabila menguruskan permohonan anak-anak sendiri!

Wassalam.

108 Respons

  1. berlaku adil ustaz. Biar apa nak dikata. Penilaian hakiki adalah penilaian Ilahi. Manusia subjected to emotion. :)

    Mencabar juga. Suspen ana baca kisah di atas!

    • Memang betul, tidak kurang juga yang memahami dan tidak terlalu mendesak. Jenis ni lebih mudah dan ramai juga. Kita lebih mudah buat kerja. Macam ni la keadaannya, kalau kita berada di tengah-tengah, bukan bos dan bukan kuli… “Saya yang menurut perintah”…

  2. minggu depan kena handle mesyuarat pemilihan pelajar ke SMKA di Brisdale Hotel KL.Adui…sakit balik le kepala aku jang oi…mcmanapun pengalaman anta ana jadikan pedoman tk

    • Salam.
      Semasa pemilihan, kalau semua pihak ikut peraturan yang panel tetapkan – mudah. Masalahnya kalau ada tangan-tangan atau kabel, kita ‘menurut perintah’. Lepas tu orang yang tak dapat mendakwa; Anak jiran saya dapat 4A aje dsb, tapi masuk SMKA!! Kita yang kena bersilat… Apa-apa pun, ana yakin anta buleh… (Mana promosi Homestay anta?)
      Wassalam.

  3. bila baca balik story kat atas..memang senyum sendiri…banyak kenangan pahit manis dlm menjalankan tugas ni..bila bab masuk SMKA memang pening…hahaha..bila ustaz x dapat jawab..saya kena tolong jawabkan….pastu tumpang kena maki sekali….hahahha..

    • Alhamdulillah, pengalaman di JPS tu banyak mengajar saya. Antaranya, berpegang dengan prinsip/kaedah pemilihan. Kalau tidak, kita akan pening dan kena serang, sebab tidak konsisten dalam pemilihan.

  4. Salam ustaz,

    saya ingin bertanya, masih bolehkan saya membuat rayuan untuk kemasukan tingkatan 1 ke sekolah Maahad Hamidiah. Anak saya mendpt 5A dan PSRA Jaid Jidan. Telah pun membuat rayuan sebelum ini tetapi tidak tahu status samada berjaya atau tidak.
    Di mana perlu saya buat rayuan? PPD kajang atau terus ke sekolah? Mohon ustaz beri penjelasan.

    • Salam Puan,
      1. Tahniah buat puan dan anak kerana mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan PSRA.
      2. Saya tiada autoriti menjawab soalan ini kerana tidak lagi mengurus atau berkhidmat di JPN Selangor. Boleh rujuk biodata saya. Tapi saya boleh jawab berdasarkan pengalaman; Rayuan dibuat terus ke Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor di Shah Alam, kerana mereka yang menguruskan kemasukan ke SMKA. Bukannya PPD Hulu Langat yang terletak di Kajang. Bukan juga merujuk ke Maahad, yang hanya menerima murid dari JPN.
      3. Saingan ke MH (kod yang kami gunakan untuk Maahad Hamidiah) sangat sengit. Selain dari keputusan UPSR dan PSRA, beberapa perkara lain diambil kira. Seperti bukan murid sekolah swasta, bilangan murid yang boleh diterima, kuota untuk lelaki dan perempuan dan kekosongan asrama. Pastinya bila asrama penuh, tawaran tidak boleh diberikan kepada murid yang tinggal jauh dari MH. Ada yang kata, kami tak perlukan asrama kerana tinggal berhampiran. Maka bilangan murid membataskan.
      4. Jika orang tanyakan alternatif kerana/atau masih berminat sekolah yang menawarkan aliran agama, saya akan nasihatkan mereka masuk ke Kelas Aliran Agama (KAA), ‘clone’ kepada SMKA. Ada KAA yang berasrama. Boleh rujuk pegawai di JPN atau PPD.

      Saya doakan anak puan mendapat sekolah yang boleh memberi kebahagian kepadanya dunia dan akhirat. Moga Allah permudahkan semua urusan…
      Wallahu a’lam, wassalam.

      • Ustaz,
        Terima kasih dengan penjelasan yang diberikan, saya telah pun ke JPN Shah Alam, dan ustaz disana juga telah memberi kerjasama yang baik. Saya telah dijelaskan kenapa anak saya tidak berjaya. PSRA pula anak hanya dpt Jaid Jidan 87% sedangkan ada lagi yang lain mendpt mumtaz. Memang anak agak sedih sebab semasa percubaan PSRA dia memperolehi Mumtaz .

        Saya ingin minta pendapat ustaz mengenai SMKA Kuala Selangor. Kerana berkemungkinan anak saya boleh bersekolah di sana (masih dlm pertimbangan mereka kerana perlu di bawa mesyuarat). Buat masa ini anak saya bersekolah di SMK Bandar Tun hussien onn 2, sekolah tersebut memang bagus dan anak pula ditempatkan di kelas KRK, cuma agak terkilan kerana sekolah tersebut tiada aliran agama.

        Itu sajalah ustaz sekali lagi saya ucapkan terima kasih semoga Allah membalas jasa baik Ustaz dan keluarga.

      • Salam.
        Alhamdulillah, kerana puan dilayan dengan baik oleh rakan-rakan saya di sana. Memang itulah jawapan yang patut diberi dan terima kasih kerana puan faham dan boleh menerima alasan tersebut. Sebab ada penjaga yang tidak boleh terima jawapan sebegitu dan terus mendesak dengan alasan, anaknya layak memohon dan berilah peluang dsb.
        Altenatif ialah SMKA KS, cuma agak jauh dari THO. Kalau memang puan dan anak bertekad untuk ke SMKA (bukan KAA), terimalah. Kemudian bersabar untuk berulang alek menghantar atau menziarah anak di KS, untuk sekurang-kurangnya satu tahun. Jangan lupa, istikharah untuk mohon bantuan Allah. Semoga Allah permudah, berkati dan beri kekuatan.
        Untuk makluman, KS merupakan satu-satunya SMKA di Selangor yang semua muridnya tinggal di asrama (setakat 2008) berbanding MH atau SL. Bangunannya lebih baru dan ada kekuatan tersendiri.

        Wassalam.

  5. Assalamualaikum ustaz,

    Kenapa ustaz kata sekurang-kurangnya satu tahun dalam komen di atas… adakah boleh membuat pertukaran sekolah selepas 1 tahun persekolahan…

    • Wa alaikumus salam warahmatullah.
      Ketika itu, pertukaran sekolah tidak boleh dibuat semasa tingkatan satu. Maka, ada penjaga yang memohon tukar anaknya bila masuk tingkatan dua. Kalau puan perasan, kriteria pemilihan ke Maahad Hamidiah adalah lebih ketat berbanding KS dan SL. Sebab itu ada yang tinggal di Hulu Langat, tapi anak sekolah di Kuala Selangor- asalkan dapat SMKA. Kemudian mereka mohon tukar ke sekolah yang lebih hampir. Ada yang kecewa, kerana tiada kekosongan!
      Wallahu a’lam.

  6. […] Hina sangat ke 4A1B? (Tulisan ini mendapat kunjungan yang agak memberansangkan. Terutama musim keputusan UPSR dikeluarkan.) 2.746530 101.978521 Rate this: Like this:LikeBe the first to like this post. […]

  7. salam
    anak saya dapat untuk tahun satu 2012, tapi ada juga mohon mrsm ulul albab gemencih tapi mrsm result tahu 3/1/2012 …apa pendapat ustaz nak daftar smka atau tunggu dulu

    • Salam.
      Cadangan saya masuk dulu SMKA tu. Bila dapat MRSM, keluar. Bimbang yang dikejar tak dapat, yang dijinjing berciciran.
      Lagipun sekarang, kalau daftar tak kena bayar lagi. Kalau bayarpun tak banyak. Korbankan sikit aje (keperluan SMKA), tapi berbaloi untuk tiga tahun berikutnya (MRSM). Tahniah!
      Wallahu a’lam.

  8. Assalam,

    Satu persoalan. Kalau pihak JPN tahu penawaran tempat tak dpt memenuhi permintaan, kenapa tak dibina lebih banyak lagi sekolah agama.

    Dari 2001 lagi, setiap kali mesyuarat ttg PSRA dengan Ibubapa, soalan kenapa tak dibina lebih banyak lagi sekolah menengah agama di Selangor sentiasa ditanya dan jawapan sama je, tak ada peruntukan. Dah 11 tahun dah. Apa gunanya duit zakat berjuta2 dikumpulkan jika tidak digunakan. Lepas tu boleh suruh hantar anak ke sekolah swasta. Bukan semua ibu bapa mampu berbuat sedemikian.

    Tahun ini anak ke4 saya pula PSRA n UPSR. Dia sendiri menyatakan keinginan menjadi ustazah dan berusaha utk mendapat 5A dan mendapat terbaik dlm PSRA semata2 utk memasuki SMA.

    Pendidikan agama adalah penting dan ramai ibubapa mula sedar tapi adakah JPN, JAIS dan badan2 berkaitan tak sedar2 juga? Sekolah Convent dan Saint di setiap negeri mendapat peruntukan berjuta dari badan Kristian tapi pendidikan agama Islam macam nak diketepikan. Agaknya mahu generasi muda alpa dengan keduniaan.

    Adakah ada pihak tertentu mahu ramai anak2 muda kita tidak diberi peluang menuntut ilmu agar tidak jahil ilmu agama. Cuma 455 anak muda je akan layak di Selangor. Yang lain?

    Sedih di hati kerana di negara yang majoriti Islam, pendidikan agama Islam diberi second class attention.

    Saya tak salahkan ustaz sebab ustaz menjalankan tugas yang diamanahkan, Persoalan saya ini ke arah pengurusan yang nun di atas.

    Wassalam

  9. Assalamualaikum..

    Anak Saya bersekolah di Sekolah Menengah biasa.Semasa UPSR, dia mendapat 4a1b, minta mana mana sekolah berasrama tiada satu pun yang dapat.Memang kecewa lebih lebih lagi apabila ada di antara rakannya yang menggunakan kabel boleh mendapat asrama penuh walaupun mendapat 4a1b. Apa pendapat Ustaz jika saya masukkan anak saya ke sekolah swasta wisma tahfiz, klang?Anak saya sudah tingkatan 2, yang seorang lagi tingkatan 1, juga 4a1b.Kedua-duanya berminat untuk belajar tahfiz dan telahpun menduduki ujian dan lulus ujian yang dikenakan untuk masuk ke sekolah itu. Persoalan saya, apakah standard sekolah itu? Saya beranggapan ujiannya memang senang sekali.Adakah antara lain, disebabkan mahu keuntungan. Jumlah subjeknya termasuk akademik, agama dan hafazan, ada 21 matapelajaran.Saya kenal anak saya, Tidak mungkin setelah Tingkatan 2, dia mampu belajar keseluruhan 21 subjek tingkatan 1 termasuk bahasa Arab yang tidak dipelajari di Sekolah Menengah.Asas agama anak-anak saya cuma KAFA di sekolah rendah dan beberapa hafalan surah-surah..Minta pendapat.Terima kasih.Wassalam.

  10. Assalamualaikum…
    Disini saya ingin bertanya,boleh atau tidak jika anak saya membuat pertukaran ke sekolah agama dari sekolah biasa.Pertukaran ini untuk sesi 2013 untuk ke tingkatan 2.Sebenarnya saya telah cuba memohon untuk sesi 2012 di beberapa sekolah agama atau wilayah tetapi jawapan yang diberi menghampakn dan mungkin bukan rezeki kami,walaupun dia cemerlang dalam UPSRA sesi 2012 dengan 9A dan pelajar terbaik sekolah (JAWI).
    Oleh itu saya ingin minta nasihat dan pandangan Tuan apakah cara atau syarat kemasukkan/pertukaran ke sekolah Agama.Terima Kasih.

  11. ustaz! anak saya mendapat 4A 1B dlm UPSR 2012.bersekolah di Putrajaya.tetapoi keputusan UPKK 8A dan UPSRA 5A 2B manakala khat dan jawi dan khat cemerlang.Apakah sekolah terbaik yang boleh menempatkan anak saya dan bagaimana caranya?

    • Tahniah puan, permulaan yang baik untuk anak tu. Pertama, pastinya puan juga berminat untuk menyekolahkan anak di sekolah agama. Di Putrajaya ada SMKA-Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, puan boleh merujuk Pejabat Pelajaran Putrajaya tentang tatacara permohonan. Di Selangor ada SMKA Maahad Hamidiah, Kajang yang menjadi rebutan, tapi setahu saya hanya dibuka untuk murid Selangor. Andaikata ditakdirkan anak puan tidak diterima dan puan masih berminat dengan aliran agama, boleh pohonkan anak ke KAA-Kelas Aliran Agama.
      Kedua, cuba pohon MRSM, bagus juga. Wallahua’lam.

      • tapi nk mohon skolah maahad mcm maner??dh tutup tarikh permohonan..
        skolah2 yg ustaz cdgkan tuh kene mohon dkat laman web kpm ker?

      • Secara Online dah tutup. Boleh mohon secara manual, pergi ke PPD- Pejabat Pelajaran Daerah berhampiran.

  12. Assalamualaikum ustaz..
    Anak saya mendapat 4A 1B (BM-penulisan) dlm UPSR 2012.Keputusan PSRA -Jayyid jiddan 88.4% .( mumtaz dlm jawi/imlak/khat ,akhlak/sirah,ujian tilawah hafazah & alquran) ,(jayidd jiddan- feqah/tauhid,bahasa arab,tajwid).
    Anak saya berminat utk ke aliran tahfiz sains..
    Bolehkah ustaz beri nasihat sekolah apa yang sesuai dgn kelulusan tersebut ?

    • Alhamdulillah dan tahniah.
      Jika empat lima tahun lepas, 4A1B masih mendapat tempat. Tetapi sekarang, mungkin sukar. Contohnya MRSM ada menawarkan tahfiz, tapi untuk yang dapat 5A sahaja! Di Negeri Sembilan ada Sek. Men. Agama Sains, Selaru, Kuala Pilah. Boleh lawati http://edaftarsman.ns.gov.my/ untuk syarat dan permohonan.
      Jika fokus kepada tahfiz anjuran kerajaan, memang terhad. Tapi swasta memang banyak, cuma kos agak tinggi.
      Sekurang-kurangnya jika masih minat dengan agama/bahasa Arab, masukkanlah mana-mana sekolah yang menawarkannya. Nanti lepas tingkatan 3 / SPM, boleh masuk tahfiz.
      Wallahu a’lam. Moga Allah dorongkan yang terbaik untuk anak-anak kita.

  13. apakah perbezaan program Tahfiz Al Quran dengan Program Pengajian Idadi ?

    • Tahfiz untuk hafaz al-Quran, seperti maklum. Jika di ITQAN sehingga dapat diploma.
      Pengajian i’dadi menawarkan subjek Al-Azhar seperti sekolah-sekolah menengah agama JAIS di Selangor tu.
      Wallahu a’lam.

      • maksud ustaz ,program tahfiz al-quran tiada kurikulum tahfiz?
        program pengajian I’dadi tu kurikulum tahfiz + kbsm+ al-azhar? begitu ke ustaz ?Maaf la byk tanya ni sbb tiada pengalaman ..

      • Semua aliran menawarkan KBSM. Tapi jika i’dadi akan gabung KBSM dan Al-Azhar. Wallahu a’lam. Lupa, di Selangor pun ada Maahad Tahfiz Sains. Puan boleh buat rayuan di Bahagian Pelajaran JAIS. Juga bantuan mereka tentang pemilihan sekolah menengah agama, Insya Allah.

  14. Ustaz,
    utk selangor selain maahad tahfiz sains (mits) tu ade lagi yg lain ke? Dan kalau mits tu bole buat rayuan ke sebab setahu saya mesti 5A & mumtaz sedangkan anak saya 4A 1B & Jayyid Jiddan . (Percubaan 5A & Mumtaz)

    • Wallahu a’lam. Dengarnya begitulah. Tidak salah puan mencuba, agar puas hati.Sebagai bukti ikhtiar kepada anak.Kadang-kadang mereka strict pada ambilan pertama dan kedua. Tapi, bila dah reda, iaitu masuk bulan Februari atau Mac dan ada kekosongan, mungkin boleh dipertimbangkan. Pendapat peribadi saya. Wallahu a’lam.

  15. Anak saya dapat masuk SAM Bestari (tingkatan 1) tahun 2012 dgn UPSR 5A dan PSRA 98.4…saya stress kat anak saya nak masuk sekolah terbaik keputusan pun mestilah terbaik dan usaha pun kene terbaik..Isi borang MITS juga tapi x dapat … bisikan bayu mengatakan mesti anak selangor..dapat masuk SAM Best pun Alhamdulillah le tu..pada tahun 2012 SMISTA dibawah JAWI x open kpd lulusan PSRA..untuk kemasukan 2013 dah boleh …dgn klausa ..UPSRA atau peperiksaan setara.. MRSM ulul albab anak x minat..Allahu’alam

  16. assalamualaikum ustaz.. saya mohon sedikit pncerahan ttg pmohonan ank ke tingkatan 1 smka. saya tlh memohon scara online dn tlh mghantar borang yg diprint ke sek ank. cuma timbul sedikit kemusykilan disebabkan ada terbaca syarat permohonan perlu disertakn skali salinan sijil2 sekolah. ank saya pula beritau saya yg ckgunya maklumkn kpd dia tdk perlu sume salinan sijil2 itu dn dikembalikn semula kpd saya. jd saya berasa kuwatir seandainya permohonan smka itu tdk dilayan disebabkan ianya tdk lengkap. trm ksh sekiranya ustaz dpt mberikn sdikit pnjelasan…

    • Salam. Setahu saya sijil tu diperlukan utk memastikan apa yg diisi secara online itu benar. Yang membuat semakan ialah guru kelas dan disahkan oleh guru besar. Pandangan saya, sijil dikembalikan kerana guru yakin kesahihan maklumat online. Wallahualam. Utk kepastian boleh rujuk dgn sekolah anak.

      • trm ksh ats pjelasan ustaz… sy tlh mghubungi pihak sek dn dberitahu borg pmohonan ank tlh disahkan. syukur alhmdulillah.. ank sy jg mdapat tawaran utk temuduga MITS 15 dis ini. cma sy ign mndapatkn pndangan ustaz ttg yayasan sel. adakh terdapat antara pelajar2 MITS juga dibwh tajaan yayasan sel?. sy ada mbuat pmohonan utk ank di yayasan cma belum mdapat apa2 jwpn lg. ank sy perempuan. jd sek pilihan yg ditawarkn hnya sek asrama men harian biasa. namun sy pernah mdgr cerita rakan yg mngatakan tdpt jg pel tajaan yayasan di sekolah maahad, SMKA dn SBP. sptmna yg dberitahu jais, MITS jg mrupakn sek jenis SBP cmanya ia dibwh jais bkn kementrian. selain itu ank jg tlh mndapat tawaran di SAMT hishamudin. jd adakh mgkin ada peljr di bwh sek agama jais jg mdpat biasiswa yayasan selangor? biarpun byk pilihan sek ditawarkan, ank tetap berharap agar dia dapat bersekolah di SMKA. sbg ibu sy bdoa agar harapannya dimakbulkn Allah. biarlah sek dimanapun asalkn ilmu yg dicari mndapat kberkatan Allah…

      • Alhamdulillah, banyak peluang untuk anak puan.
        Tentang Yayasan Selangor tu, saya kurang arif. Setahu saya, YS ada asrama pusat dan penghuninya belajar di sekolah yang pelbagai. Wallahu a’lam.
        Secara peribadi, selepas MITS saya akan pilih SAM dan SMKA yang terakhir. Suruh anak buat solat istikharah mohon taufiq Ilahi.

  17. Salam,

    Nak ajer aku ‘bantis’ bapak budak yang dapat 4A1B tuh….nie la masalah kalau manusia guna ego lebih dari akal….kalau perempuan yang cakap kita faham….kalau lelaki cakap, sorry I lost respect la sbb Allah bagi akal 9 pada lelaki tapi belum tentu boleh pakai semua 9….whatta shame!

    • Kadangkala, sambil menjawab telefon saya akan mengadap PC melihat data murid yang memohon, supaya mudah menjawab persoalan yang ditimbulkan. Untuk kes ini, memang saya ada catat sesuatu dalam sistem. Tapi tidak mengapa, tak perlupun berdendam. Harap si bapa tu sedar dan anaknya dapat yang terbaik. Sekarang seharusnya anaknya di tingkatan empat.

  18. Salam ustaz,
    Cuma ingin berkongsi pendapat…apaapa pun saya ucapkan syabas dan tahniah buat ustaz kerana cuba berlaku adil pada setiap orang.kadangkala kita perlu ingatkan setiap ibubapa rezeki anak2 tu allah dah tetapkan wpun ibubapa mmg keras berusaha.tidak semestinya bersekolah di sekolah yg berjenama akan menjadikan anak itu seorg yg berakhlak mulia.ibubapa kena ingat,langkah anak2 masih panjang dan upsr atau tingkatan satu bukanlah segala2nya.ramai sahaja pelajar terbaik khasnya pelajar terbaik dari kelantan dahulu itu,cuma bersekolah di sekolah harian biasa.yang penting,niat ibubapa memberikan n redha di sekolah mana allah janjikan pd anak selepas berusaha mohon sana sini.bagi ibubapa yg anak tak layak mohon ikut syarat tp guna kabel boleh dapat,bagi saya ibubapa yg tak dapat tak perlu marah2 pd ustaz.allah itu maha adil dan kdgkala sampai masanya allah uji ibubapa trsebut bilamana ank trsbt tidak dpt keputusan yg baik dlm spm atau kalau dah grad di universiti plak,tak dpt2 keje.masa tu nanti,baru ibubapa tu sendiri keluar kata,mungkin sebab dulu aku pernah aniaya anak org lain yg layak tp tak dpt sbb aku cantas guna kabel…..nauzubillah…oleh itu,sama samalah kita berlapang dada dan berbaik sangka dgn apa yg allah berikan kpd kita….wallahu a’lam…

  19. salam ustaz,anak saya UPSR dapat 4A 1B tapi dia sekadar menghafaz surah-surah dan baca buku berkaitan agama…tapi apabila saya mohon sekolah menengah kebangsaaan agama putrajaya,permohonannya sudah tutup…anak saya sangat sedih sebab dia nak masuk dekat -dekat area KL dan putrajaya tapi permohonan tu sudah tutup…anak saya masih mahukan sekolah menengah agama .mohon pendapat ustaz…

    • Memang staf berkenaan akan kata dah tutup. Tapi rayuan boleh dibuat. Kadangkala kesungguhan penjaga merayu untuk anak, dapat!!

  20. Anak saya ditawarkan ke sma hishammudin sg bertih klang. Apakah bila ditawarkan ke sini tawaran lain yg di pohon seperti maahad int sains dan teknologi klg dan sam best utk ting 1 2013 x dapat? Bmn pula permohonannya ke sma maahad hamidiah kajang. Jika tiada jjwpn hingga skrg adakah bermaana permohonannya di tolak. Masa buat permohonan dulu semuanya online dr sekolah. Bolehkan saya membuat rayuan. tk

  21. Assalamualaikum uztaz, mohon nasihat dan pandangan.. anak saya 4A1B alhamdulillah.. belajar agama / mengaji hanya di rumah.. tetapi berharap agar anak saya dpt sambung ke sek men aliran agama.. :
    1. Boleh uztaz cadangkan sekolah agama swasta harian yg baik berdekatan KL/Ampang… nak masuk ke sek agama swasta bukan sbb kaya.. saya berpendapatan sederhana dan ibu tunggal tetapi melihat kpd komen2 di atas dgn result anak sukar nak dpt sek agama kerajaan yg bagus2..
    2. Oleh krn basic agama agak biasa2.. uztaz rasa anak saya boleh buat/”survive” tak jika masuk sek swasta aliran agama.. terutama subjek b.arab dan hafazan..

    Tkasih uztaz… berharap sgt uztaz dapat beri pandangan..

  22. Assalamualaikum Ustaz, setelah membaca pertanyaan dan jawapan yang tersenarai saya membuat cadangan berikut:-

    1) Pihak berkuasa yang berkenan di peringkat Daerah/Negeri/Negara hendaklah membuat kertas kerja untuk menampakkan keperluan mendesak untuk pertambahan Sek. Agama. Statistik permohonan 10 tahun terakhir boleh di proses untuk menunjukkan bilangan pemohon berbanding tempat dan lain-lain.

    2) Semua ibubapa yang berkenaan hendaklah mengunakan segala kesempatan dan ruang yang ada untuk menyuarakan MASALAH KEKURANGAN TEMPAT.

    3) Semua ibubapa yang berkenaan hendaklah mengunakan segala kesempatan dan ruang yang ada untuk menyuarakan KESUKARAN UNTUK MENDAPAT TEMPAT KERANA GRED KEPUTUSAN 5A DAN MUMTAZ.

    4) Mendesak pihak berkuasa untuk bertindak segera dan bukan memberi alasan tiada peruntukan. Untuk mendapat peruntukan KERTAS KERJA DIPERLUKAN.

    Semoga dengan usaha ini, satu hari nanti anak anak kita semua akan dapat belajar di Sekolah Agama. Semoga satu hari nanti, sesiapa sahaja yang berminat untuk belajar di Sekolah Agama akan mendapat tempat.

    Yann baik datang dari Allah SWT yang buruk itu dari saya.
    Salahudin Amir Hassan

  23. Salaam. Saya nak tau bagaimana untuk merayu ke smka maahad hamidiah (gagal tawaran sbp ke smka sama). InsyaAllah syarat cukup tapi nak buat rayuan secara isi borang terus ke sekolah atau ke ppd hulu langat bhg bpi atau pihak yg sepatutnya. Terima kasih.

  24. Assalammualaikum ustaz :)
    Syukur sbb hari ini majoriti ibu bapa kian sedar utk menyekolahkan ank mereka ke SMKA dan SMA. Cuma, boleh tak uztaz jelaskan apa sebenarnya beza antara SMKA dan SMA? Dari pakaiannya, SMKA pakai kain biru sedangkan SMA pakai kain hijau. Oh ye, Jika dulu, org tak pandang sek agama ni. Yg hantar ank ke sek agama biasanya ank lebai je. Result sek rendah pun biasa2 je dah boleh masuk SMKA @ SMA. Hari ni ank2 kita terpaksa bersaing utk ke SMKA dan SMA yg terbaik. Satu perkembangan yg sgt sihat. Demikian juga saya. Baru2 ni ank sulung saya, Aishah baru je abis UPSR. 4A 1B dan PSRA Jaid Jidan. Itulah rezeki yg Allah kurnaikan buat dia & kami sekeluarga. Alhamdulillah. Saya sentiasa menggalakkan dia utk bersekolah agama dan syukur dia akur dan nampaknya sgt berminat. Saya hanya memohon sekolah2 yg dia layak sahaja. Setakat hari ni, SMA Khairiah Kuala Terengganu telah pun dia hadiri temuduga bertulis (13/12). Keputusannya mungkin tak lama lg akan keluar. Saya juga ada memohon SMKA Tok Jiring K.Trg tp mungkin agak sengit utk dia mendapat tempat. SMA Kuala Kubu pun ada dipohon tp belum ada apa2 jawapan. Apa2pun saya dan ank telah mencuba yg terbaik dan kini hanya berserah kepada Allah utk jawapan terbaiknya. Saya redha jika di mana saja dia akn bersekolah nanti asalkan dia bisa menjadi ank solehah yg berjaya dunia akhirat. Maklumlah, sebahagian besar zaman remajanya akn dihabiskan di sekolah menengah dan di situlah juga landasan penting pembentukan sahsiah diri dan masa depannya. Akhirnya, saya turut mendoakan semoga semua anak tuan puan sekelian beroleh yg terbaik dalam kehidupan mereka. InsyaAllah.

    • Salam, terima kasih atas doa. Moga Allah berkati kita semua.
      Puan tinggal di Selangor? Kalau pakaian beza dari segi warna sahaja. Lebih penting dari segi sukatan pelajaran.
      Kurikulum: SMKA melaksanakan kurikulum kebangsaan sama seperti sekolah biasa, cuma ditambah dengan Bahasa Arab.Manakala kurikulum SMA pula, sama dengan SMKA ditambah dengan kurikulum Al-Azhar (dalam bahasa Arab).
      Kalau anak mampu dan berminat, masukkanlah ke SMA. Beri galakan dan sokongan, berkat doa puan, sekolah di mana pun, dia akan cemerlang, dunia akhirat…
      Wallahu a’lam.

  25. As-salam ustaz
    Alhamdulillah,anak saya peroleh 5A dn PSRA mumtaz…
    diterima utk ke Maahad Hamidiah tetapi tidak ditawarkan kemudahan asrama kerana saya tinggal di b.b.bangi.
    Adakah semua pelajar yg tinggal berdekatan tidak ditawarkan asrama?bolehkan saya buat rayuan?ini kerana (bt masa sekarang)tidak ada kemudahan pengangkutan.
    Mmg saya dan suami sedang usahakan(mencari kemudahan pengangkutan)…..sekadar bertanya(mencuba),

    • Tahniah! Anak puan terpilih, saingan ke MH memang sengit. BBB dianggap dekat dengan MH, sebab tu ditawarkan tanpa asrama. Memandangkan asrama diurus oleh sekolah, cuba ajukan rayuan kepada pengetua. Walau bagaimanapun, cekallah atasi masalah pengangkutan demi kekal di MH. Berbaloi insyaAllah…

  26. saya ingin membuat rayuan ke mits klang.Telah dipanggil untuk temuduga tapi tidak berjaya untuk kemasukan.Bagaimanakah caranya untuk membuat rayuan.Saya sangat berharap dapat meneruskan pendidikan sekolah menengah saya di mits klang

  27. Assalamualikum. Niat dan buat yg terbaik. Semuanya adalah perancancangan Allah. Rezeki masing masing. Klu guna cable pun rezeki dan ketentuan Allah. Tak semestinya dpt masuk aekolah agama bagus.
    Yg mustahak ustaz sebagai orang forefront tak leh sombong dalam berurusan dgn org awM.

  28. assalamualaikum.saya juga turut terpanggil utk meminta sedikit pendapat ustaz.anak saya mendapat 4A IB dalam upsr baru2 ni.saya juga ada mengisi borang secara online.cuma saya agak terkilan apabila saya menelefon utk kemasukan ke satu sekolah SMKA diarea kuala lumpur,pegawai yg bertugas mengatakan hanya 5A shj yg layak,tidakkah sepatutnya kita diberi peluang utk mengisi borang utk mencuba.mana kemungkinan kuota yg diberikan masih ada berdasarkan result pelajar beserta aktiviti pelajar yg aktif disekolah samada sek ren dan sek ren agama.bolehkah saya mencuba utk buat rayuan sedangkan sblm ni saya tdk diberi penerangan yg jelas ttg kemasukan dan mengisi borang kesekolah SMKA.saya berharap sgt agar anak saya menjadi salah seorang pelajar dismka.apakah pendapat ustaz utk saya rujuk masalah saya ini.

    • Tahniah atas kesungguhan puan. Saya turut bersimpati kerana anak puan tidak berjaya ke SMKA. Wallahu a’lam, setiap negeri ada syarat dan peraturan masing-masing. Saya cadangkan puan buat surat rayuan rasmi dan sertakan dengan sijil-sijil yang diperolehi. Bertegas untuk berjumpa dengan pegawai yang menguruskan pemilihan ke SMKA, bukan setakat kerani di kaunter. Jika pegawai maklumkan SMKA sudah penuh, puan nyatakan kesediaan untuk anak ditempatkan di sekolah Kelas Aliran Agama (KAA). Akhir sekali, jika gagal juga, puan terimalah ini sebagai ketentuan Allah yang pasti ada hikmah sebaliknya… Saya doakan anak puan sentiasa berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi, insya Allah.

  29. Assalamualaikum Ustaz
    Saya ada satu persoalan. Anak saya di tawarkan SAM Batu 10 Hulu Langat dan juga SM Sains Pengkalan Chepa (SBP). Memanglah kami bersyukur dapat SBP tapi kami berharap dapat dekat. Asalanya pilhan ialah SBP di Putrajaya dan SBPI Gombak juga dalam pertimbangan. Saya mengharapkan SBP yang dekat supaya dapat ziarah selalu. Tapi rezeki dapat di Kelantan pula.

    Olehkerana SAM10 aliran ugama dan jaraknya dekat dan tak perlu duduk asrama, kami mendaftarkannya di SAM 10. Juga, semasa mendaftar, kami semua mengaharapkan dapat MRSM Ulul Albab setelah dipanggil temuduga. Namun, bila keputusan Ulul Albab keluar, anak saya tak dapat dan dia pun membuat keputusan ke SBP di Kelantan.

    Sekarang ni, setelah 2 minggu, dia nak bertukar semula ke SAM10. Bolehkah Ustaz? Bukan apa, saya perlu jawab dengan ikhlas pada anak saya bahawa tak boleh mohon semula. Kalau boleh, tak bolehlah saya jawab tidak. Mohon pencerahan dan pandangan Ustaz. Jazakallah.

    p/s – saya baru terjumpa blog Ustaz..menarik..

  30. saya hanya dapat 4A 1C jer,salah ke

  31. kalau kita tak dapat 5A kita tak boleh masuk asrama ke???

  32. Ustaz, maaf saya nak bertanya adakah memadai kalau anak saya bersekolah agama sehingga darjah 5 (upkk) kerana ingin menumpukan upsr sek kbgsn tahun hadapan..saya bertanya bukan nak masuk SMKA cuma nak tahu pendapat ustaz..sbb anak saya susah nak bahagi masa antara kedua-dua sekolah atau adakah upsra penting untuk masa depannya..tolong ustaz

    • Sistem pembelajaran PSRA dirangka untuk enam tahun. Yakinkan anak bahawa dia mampu dan perlu teruskan belajar agama sampai tahun enam, seperti orang lain.
      Wallahu a’lam

  33. Blh sy btanya perbezaan ant sek men agama dgn sek men aliran agama. Jika ank sy gagal msuk ke kdua2 sek di atas, blh kah beliau mgambil matapelajaran b.arab di sek yg ada aliran agama?

    • Salam.
      Untuk lebih tepat, perlu tahu tuan tinggal di mana. Sebab sekolah agama di Selangor contohnya berbeza dengan Negeri Sembilan.
      Secara ringkas, Seolah Menenah Kebangsaan Agama-SMKA dan Kelas Aliran Agama-KAA menawarkan subjek yang sama, iaitu tambahan subjek Bahasa Arab di samping subjek-subjek yang ada di SMK biasa. Sama juga halnya dengan Ssekolah Menengah Agama-SMA di Negeri Sembilan.

      Tetapi, jika di Selangor, Sekolah-sdkolah Agama Menengah-SAM di sana menawarkan subjek tambahan iaitu kurikukum Al-Azhar yang diajar di dalam Bahasa Arab.

      SMKA, SAM Dan KAA ada kelebihan tersendiri.

      Harap jawapan ini membantu.

  34. assalam ustaz,
    blh sy tahu perbezaan ant sek men agama dgn sek men agama swasta. jika keputusan upsr/psra anak saya kurang memuaskan, saya saya ingin masukkan ank saya ke sek men agama swasta.

    • Wa alaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh.
      Beza antara sekolah menengah agama dengan sekolah agama swasta. Soalan ini terlalu umum.
      Sebenarnya ada beberapa jenis sekolah agama menengah di negara kita. Antaranya sekolah agama kerajaan, sekolah agama swasta dan sekolah agama rakyat.
      Sekolah agama kerajaan pula ada dua jenis, iaitu;
      (1) sekolah agama di bawah kerajaan persekutuan. Untuk sekolah agama harian biasa, nama sekolah tersebut bermula dengan SMKA (Sekolah menengah kebangsaan agama).
      (2) sekolah agama di bawah kerajaan negeri. Sekarang, kebanyakan sekolah agama di beberapa negeri telah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dikategorikan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

      Puan tidak menentukan perbezaan dari sudut apa, agak sukar juga. Namun saya cuba jelaskan dari beberapa sudut:

      1. BAYARAN: Pastinya untuk sekolah kerajaan jauh lebih murah berbanding swasta.
      2. KURIKULUM: SMKA melaksanakan kurikulum kebangsaan sama seperti sekolah menengah biasa, cuma ditambah dengan subjek Bahasa Arab untuk tingkatan 1-3. Sekolah agama swasta pula biasanya menawarkan subjek agama dan bahasa Arab yang lebih banyak dan mantap.
      3. ASRAMA: Semua SMKA menyediakan asrama, berbanding sekolah swasta.
      4. SYARAT KEMASUKAN: Syarakat kemasukan SMKA biasanya lebih ketat berbanding sekolah agama swasta.

      Berbalik kepada isu utama soalan puan, iaitu menyekolahkan anak ke sekolah agama swasta, pada pandangan saya, jika puan ada kemampuan dari sudut kewangan, pilihlah mana-mana sekolah sama ada berdekatan dengan rumah atau tidak. Sekolah agama swasta tidak kurang hebat prestasinya dari segi akademik dan sahsiah.

      Wallahu a’lam.

  35. perlukan pendapat ustaz

  36. Aslmkm ustaz,
    Ada smk (yg tiada dlm senarai KKA atau KRK) menawarkn subjek tambahan bahasa arab. Apakah status sek tersebut. Minta pencerahan dari ustaz.

    • Wa alaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh.
      Sekolah yang menawarkan subjek Bahasa Arab, tetapi tidak tersenarai dalam KAA (Kelas Aliran Agama);
      1. Mungkin sekolah tersebut ada lebihan guru atau ada guru yang sukarela untuk mengajar BA
      2. Sekolah tersebut tidak mendapat bekalan Guru Kemahiran Al-Quran (GKQ) yang khusus untuk sekolah yang ada KAA
      3. Juga ada peruntukan khusus untuk sekolah yang menawarkan KAA dari BPI, KPM.
      Wallahu a’lam.

  37. saya cuma menyuarakan rasa sedih….sekarang sekolah aliran agama mendapat tempat….saya merupakan salah seorang ibubapa yang sangat berharap anak anak bersekolah dalam aliran agama…tapi rata rata sekolah aliran agama..berasrama hanya memberi tumpuan kepada anak 5 A dan MUNTAZ….dan ada pula sekolah aliran agama yuran bulanannya tinggi….apa pula nasib anak anak yang result yang hanya memperolehi 1 A dan hanya JAID….walha mereka juga ingin mendapat pendidikan dalam sekolah aliran agama yang terbaik…tolonglar pikirkan juga untuk anak anak ini…

  38. Assalammualikum Ustaz,
    Anak lelaki saya bersekolah di Sekolah Rendah Agama Intergrasi Seksyen 19 Shah Alam mendapat sekadar UPSR 4A 1B dan PSRA Mumtaz , ingin memohon SMKA 18, Shah Alam. Apakah syarat kelayakan untuk memohon sekolah tersebut. Adakah anak saya layak, harap Ustaz dapat beri penjelasan. Terima kasih

    • Wa alaikumus salam warahmatullahi wabarakatuh.
      Tahniah atas pencapaian anak tuan.
      Memang ramai yang memanggil SMK S18 tu sekolah agama, sebenarnya tidak. Sekolah tersebut serupa seperti SMK biasa cuma menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) lebih banyak berbanding sekolah lain. Ini juga suatu petanda baik menandakan prestasinya tidak kurang hebat berbanding SMKA lain.

      Kedua, saya minta maaf kerana sudah tidak layak menjawab soalan hjh, memandangkan telah lima tahun meninggalkan Jabatan Pendidikan Selangor.
      Untuk lebih tepat, tuan boleh berhubung terus dengan ustaz di Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pendidikan Petaling Perdana. Mereka pasti dapat membantu.
      Wallahua’lam, semoga Allah mempermudahkan segala urusan tuan dan anak tuan dikurniakan belajar di sekolah yang terbaik untuknya.
      Wassalam.

      • Assalammualaikum Ustaz,
        Terima kasih atas penerangan yang Ustaz berikan. Semuga Ustaz diberkati Allah sentiasa atas usaha murni melayan message2 yang memerlukan bantuan Ustaz. Terima Kasih

  39. Asklm Ustaz,

    Saya mempunyai seorang anak lepasan UPSR, tidak cemerang seperti anak-anak mereka disini. Anak saya tiada mendapat sebarang A dlm UPSR tempohari, 2B 3C.

    Adakah anak saya layak memohon SMA maahad mahmudiah, Kajang?

    Jazakaullah,
    Wssalam.

    • Wa alaikumus salam warahmatullah puan.
      Setahu saya, SMKA Maahad Hamidiah hanya menerima minima 5A lantaran saingan yang tinggi.
      Semua ibu bapa inginkan anak mereka mendapat didikan agama di sekolah yang baik. Tapi hakikatnya, untuk masuk sekolah begini syaratnya amat ketat dan tidak semua mampu.
      Tidak dapat masuk sekolah agama tidak bererti nilai agama ditinggalkan. Nasihat saya, pastikan anak puan menjaga solat lima waktu dan berakhlak dengan akhlak mulia serta doakan sentiasa dia menjadi insan berguna.
      Saya yakin dia pasti berjaya dunia dan akhirat, meskipun tidak masuk sekolah agama.
      Wallahualam.

      • Assalaikum..w.b.t

        Saya terkesan dengan soaljawab ini kerana anak saya pun tidak begitu menyerlah dlm UPSR cuma memperolehi 1A 4B.Hakikatnya
        impian saya & suami serta anak untuk mengikuti pengajian dlm aliran agama begitu tinggi namun inilah ketentuan Allah.
        Saya rasa adalah benar seperti kata ustaz tidak bererti tidak dapat masuk sek.agama nilai agama akan ditinggalkan.Yg penting solat 5 waktu jgn tinggal,berdoa & hormat org tua.sentiasa istiqamah berusaha untuk menuntut ilmu.
        Saya berharap anak saya akan jadi insan yg berguna di dunia & akhirat & untuk agamanya kelak.Amin.

      • Wa alaikumus salam wa rahmatullah.
        Alhamdulillah, semoga suatu hari nanti anak-anak puan akan menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan tanah air…

  40. Assalammualikum ustaz

    Saya nak buat pertanyaan boleh ke anak layak masuk kesekolah SAMKA anak saya cuma mendapat 3A 2B dan PSRA Jaid sahaja, kalau boleh SMKA mana yang saya nak mohon, bantulah saya ustaz

  41. Assalammualaikum ustaz.
    saya ingin tahu adakah sma maiwp menerima pelajar baru untuk tingkatan 2014. Anak saya pernah memohon utk ke t1 2013 tetapi tidak di buka untuk pelajar dari selangor kerana kekurangan tempat untuk asrama. Kini sekolah sma maiwp telah berpindah ke tempat baru. Adakah di buka penempatan utk pelajar t2 2014 di sma maiwp. Mohon ustaz dapat membantu

  42. assalamualaikum ustaz…….anak saya hanya mendapat 1a 4b je dlm keputusan upsr 2013.tp dalam ujian upkk tahun lps dia dpt 8a…berminat dalam kelas afama.sklh mana patut saya mohon

  43. Assalamualaikum ustaz, ank sy mendapat 4a 1b dlm upsr dn jayidjiddan dlm psra..sy ada memohon KAA d SMK bndr br salak tinggi..hari ni ank mendapat surat tawaran ke SAMTTAR sg.manggis..tp ank juga berminat utk ke sekolah tahfiz swasta…pd pandangan ustaz mn yg lebih baik…terima kasih ustaz…

  44. Assalamualaikum.. saya cuma mahu berkongsi :)
    pada tahun 2011 , saya mohon untuk ke SMKA Simpang Lima . Ustaz tu kata saya “confirm dapat” . tapi , sampai panggilan ketiga saya tunggu tak dapat dapat . Kalau ikutkan 4A1B dan Mumtaz layak tak untuk masuk ke SMKA ? Ada rakan saya yang 3A2B dan Jaiyidjiddan dpat masuk ke sekolah tu kerana orang dalam . Saya sangat kecewa :(

    • Cerita lama, saya tumpang simpati… Semoga tidak membantutkan untuk terus berusaha dan beroleh kejayaan cemerlang.

  45. Assalammualaikum,ank saya mmg minat utk masuk ke MH,dan dia mendapat 5A dan Mumtaz,saya memohon sek ini melalui online dan dihantar oleh guru besar,tapi saya khuatir adakah permohonan ini sampai atau tidak

  46. Assalammualaikum ustaz,
    nak minta nasihat ustaz sikit untuk anak sulong lelaki saya ni
    dapat upsr 4a1b psra jiddan
    kami suami isteri anak kelahiran n9 tapi sekarang duduk menetap di shah alam selangor
    saya nak anak saya sekolah sains ,maknya nak dia sekolah agama
    boleh tak ustaz beri sikit pilihan nama sekolah agama di n9 atau selangor yang layak untuk anak saya nanti

    • Ustaz..sy nak tanya antara mrsm ulul albab dan smista…sekolah mana yg lebih mberi peluang kejayaan untuk se org pelajar dlm agama dan pelajaran formalnya demi masa depannya. Terima kasih

      • Kedua-duanya bagus.
        Cuma kelebihan dari sudut agama secara formal ada pada SMISTA.
        Wallahuaklam

  47. Assalamualaikum ustaz, ank sy tlh mendpt tawaran belajar di samt sultan hisammudin klang dan tlh sebulan bersekolah di sana. 2 hari lps, sy tlh menerima panggilan tel yg memaklumkan bhw ank sy tlh ditawarkan di smka kuala selangor. Mohon pendapat n pandangan ustaz berdasarkan pengalaman ustaz, sek manakah yg terbaik?

    • Tingkatan satu?
      Kalau begitu, saya mencadangkan kekal sahaja di SAMTH.
      1. Silibus yg lebih berat kpd agama dan bahasa Arab.
      2. Anak dah lalui minggu orientasi di sekolah lama. Pengalaman saya, ramai murid yg 2nd intake keluar dari sekolah!

      Atau tingkatan empat?

      • Tingkatan 1 ustaz, terima kasih atas respon ustaz.

      • Yang 2nd intake keluar tu atas alasan apa ustaz?

      • Antara sebabnya, mereka tak lalui minggu orientasi bersama 1st intake. Terutama kepada anak yg suka menyendiri dan tak pandai berkawan. Kecuali jika memang dah ada kawan dia masuk dahulu.

        Mereka juga dah selesa dengan sekolah lama dan kawan2 di situ. Terutama bagi yg ‘dipaksa’ atau disuruh ‘cuba dulu’ oleh mak ayah.

        Wallahuaklam .

  48. anak saya teringin nak masuk sekoalah berasrama penuh malangnya tidak berjaya.malah saya pernah call sebuah sekolah berasrama penuh.saya dimaklumkan koata yg ada hanyalah untuk murid dari desa.bila saya maklumkan yg saya tinggal di putrajaya.jawapan yg saya terima sangat pedih.saya pujuk anak dgn menyatakan bukan rezeki.dan skrg yg no 2 plak beriya-iya nak masuk smka berasrama.saya jd buntu.makin pening.sdgkan anak bersemangat.

  49. salam ustz..ank sya skrg bersekolah di sebuah sek under swasta sek men maahad abbasiah di perak dlm tingkatan 1..sya ingin menukarkn sek ank sya pd thn hadapan…masalahnya result SPRA cuma mendapat maqbul dn result UPSR 2B 3C.. sya ingin mendaftarkn ank sya ke sekolah men agama bntuan kerajaan..blehkah ustz memberi tahu sek manakah yg layak untk sya daftarkn ank sya sesuai dengan resultnya yg tidak seberapa itu..sekian terima kasih..

    • Salam…
      Terima kasih atas soalan.

      Nasihat saya, lebih elok puan merujuk kepada pegawai Unit Pendidikan Islam di PPD berhampiran kerana lebih arif sekolah agama bantuan kerajaan yang sesuai untuk anak puan. Atau boleh juga ke Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Perak.

      Semoga anak puan ditempatkan di sekolah yang baik untuk agama dan dunianya.

      Wassalam.

      • Saya telah buat permohonan untuk ank ke smka.menariknya melalui penerangan ustaz ttg sukatan sma,sabk lbih @ gabungan sukatan al azhar.maknanya lebih mantap utk sukatan mp agama.andai kata diterima kemasukan ke smka bolehkah ditukar kpd sma @ sabk.permohnan tngkatan satu

      • Matlamat SMKA dan SABK berbeza.
        1. Secara umum, SMKA untuk melahirkan profesional yang ada asas agama manakala SMA/SABK untuk melahirkan ulamak (dan profesional juga).
        2. Perkembangan terkini, pada tahun 2015 sekolah-sekolah agama akan mula melaksanakan kurikulum dini. Maka akan ada lebih banyak sekolah pilihan.
        3. Biasanya pertukaran merujuk kepada subjek yang murid telah ikuti. Jika bertukar awal tahun, mungkin tiada masalah sebab tidak jauh ketinggalan. Jika akhir tahun, mungkin susah sikit. Banyak tertinggal, akan menjadi alasan untuk menolak pertukaran.
        Wallahuaklam.

  50. Assallamualaikkum Ustaz

    Saya nak tanya pendapat ustaz.

    Latar Belakang.

    Saya mempunyai anak seorang di tingkatan satu SMTAM_KAA di Alor Setar dan seorang di tingkatan 2 di Maktab Mahmud Alor Setar.
    Anak saya di SMTAM_KAA mendapat 4A1B dan di Maktab Mahmud 5A.Pada bulan March 2014 saya telah di tukarkan ke Kuala Lumpur.
    Saya berasal dari negeri Perak.Saya bercadang menempatkkan keluarga saya di ser iskandar negeri perak.Masalah timbul bila saya merasakan jarak Alor Setar yang terlalu jauh untuk meziarahi keluarga setiap minggu jika di ukur dari tenaga,masa dan kos yang tinggi serta factor keselamatan.

    1)Bolehkan saya membuat rayuan menempatkkan anak saya di SMKAAS_Bota Seri Iskandar.
    2)Apakah jalan terbaik berhubung dengan JPN Sektor Pendidikan Islam atau berhubung dengan pengetua sekolah.
    3)Adakah keadaan ini boleh dipertimbangkan.
    4)Adakah ustaz mempunyai pandangan yang terbaik.

    • Wa alaikumus salam warahmatullah.

      1. Pertukaran ke SMKA adalah untuk murid dari SMKA sahaja. Adapun dari KAA atau SABK, setahu saya tidak dibenarkan.
      2. Lebih baik berhubung dengan pegawai SPI, kerana mereka yang mengeluarkan surat pertukaran murid. Sekolah hanya menerima sahaja.
      3. Kalau ikut peraturan, mungkin susah untuk dipertimbangkan. Namun, untuk lebih puas hati elok berhubung dengan SPI.
      4. Pandangan saya, usahakan yang nombor 2 dan 3 di atas.

      Wallahu aklam. Mohon maaf jika info saya salah / tidak terkini.

  51. Ustaz nama saya daniel saya bertanya pada kawan saya apakah syarat- syarat untuk memasuki al mashoor dia kata kena ada upkk tapi dia kata upkk nie dari kafa. Saya tidak tahu upkk itu apa tapi saya nak jugak masuk al mashoor lelaki. Jadi ustaz bolehkah saya masuk al mashoor lelaki tanpa upkk

    • Assalamualaikum, Daniel.
      Itu syarat yang diletakkan, kena patuhi.
      Keputusan terletak kepada panel pemilih.
      Cuba rujuk pegawai di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. Ustaz yakin, mereka boleh memberi penjelasan atau bantuan berkaitan.
      Wassalam.

  52. Salam Ustaz Zahar

    Minggu lepas bila keputusan PSRA 2014 diumumkan, alhamduli’l-Lah, anak perempuan saya mendapat Mumtaz 96%.

    Kelmarin bila keluar result UPSR 2014. Anak saya mendapat 4A 1B. Pelajar harapan guru mendapat B dalam subjek Sains. Saya terima dengan redha. Syukur.

    Gurubesar minta kami buat rayuan semakan keputusan. Ntahlah, saya pun kurang pasti, apa yang disemak ?

    Saya pujuk anak, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, bersabarlah. Ini usaha kita, kita tidak pernah mencari soalan bocor, meniru apatah lagi mengunakan sebarang kabel, yang kita ada hanyalah doa dan terus berdoa. Allah tahu apa yang terbaik buat kita.

    Saya ikuti perbincangan ustaz bersama pembaca disini..

    Nampak gayanya, semua borang permohonan berwarna warni yang diberikan oleh gurubesar SRA bakal saya simpan sebagai kenangan.
    MITS-Pink, SamBest-Kuning, SAMT-Putih. Peluang untuk anak saya memasuki mana mana SMKA, SABK agak tipis dengan 4A 1B.

    Anak saya hanya berminat dengan pengajian Al Quran, hafazan, figh dan hadis.

    Tumpuan saya kini sekolah tahfiz swasta.

    Saya mohon pandangan dari Ustaz, dari pengalaman Ustaz Zahar, tahfiz manakah yang baik untuk anak perempuan saya ini.

    Abu Aiman..

  53. Nice blog ustaz! Teruskan menulis ya! Topik di atas memang menarik. Kita manusia biasa kan ustaz tak mampu puaskan hati semua orang. Salam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: