Keluarga jijik!!



JOHOR BAHRU: Disebabkan kedaifan hidup, sepasang suami isteri mualaf yang mempunyai 12 anak terpaksa bergantung pada sumber air parit dicemari sisa baja dan bangkai untuk kegunaan seharian, termasuk membancuh susu bayi mereka yang baru berusia sebulan.

Akibatnya, 14 beranak itu kini digelar ‘keluarga jijik’ oleh segelintir penduduk di sekitar penempatan setinggan Kampung Sungai Plentong di sini, semata-mata kerana mereka sanggup menggunakan sumber air kotor untuk kegunaan harian sejak lebih 16 tahun lalu.

Ketua keluarga berkenaan, Mohamad Jeeva Abdullah, 43, berkata meskipun menyedari penggunaan air parit boleh memudaratkan kesihatan dirinya dan anak-anak, keluarganya tidak mempunyai pilihan kerana tidak berkemampuan mendapatkan bekalan air bersih dari luar.


“Apa yang mengecewakan, biarpun rata-rata penduduk di perkampungan setinggan ini menyedari keluarga saya bergantung pada bekalan air berkenaan, mereka sanggup membuang sisa baja mahupun bangkai haiwan ke dalam parit,” katanya.

Mohamad Jeeva memeluk Islam sembilan tahun lalu manakala hati Salmah terbuka untuk menerima agama Islam pada Oktober lalu.

Menyingkap sejarah hidupnya memeluk Islam, Jeeva berkata, dia ingin mencari kebenaran dan petunjuk dalam hidupnya.


Demikianlah sedutan Harian Metro 30 November.
Mana silapnya? Bukankah mereka juga saudara kita? Apa peranan kita? Moga ia menginsafkan…

Buatlah setakat kemampuan


“Apa yang aku larang kamu maka berhentilah. Apa yang aku suruh kamu lakukan, maka buatlah setakat kemampuanmu. Sesungguhnya umat sebelum kamu dimusnahkan kerana banyaknya soalan mereka dan perselisihan terhadap nabi mereka.”

Tinggalkan sepenuhnya

Hadis ini menjelaskan bahawa perkara yang dilarang oleh syarak hendaklah ditinggalkan seratus peratus. Manakala perkara yang disuruh oleh syarak hendaklah kita berusaha menyempurnakannya sekadar kemampuan. Sebagai contoh, larangan berjudi. Tinggalkanlah berjudi sepenuhnya. Jangan ada yang berkata; aku beli nombor dua ringgit aje, bukannya banyakpun! Atau, aku minum arak bukan banyakpun, satu gelas aje. Atau, aku dedah aurat bukannya seksi sangat. Dan macam-macam lagi salah faham dan alasan untuk menghalalkan kesilapan masing-masing. Inilah apa yang dinamakan syubhat.

Salah faham ini mungkin timbul kerana mereka mengaitkannya dengan bahagian kedua hadis iaitu ‘setakat kemampuan’. Sedangkan ungkapan ‘setakat kemampuan’ adalah untuk melaksanakan suruhan, bukannya meninggalkan larangan. Contohnya, arahan menunaikan solat. Paling sempurna untuk seorang lelaki ialah menunaikannya secara pakej; di awal waktu secara berjamaah di surau atau masjid sebanyak lima kali sehari semalam. Tidak kiralah di surau taman, kampung atau tempat kerja. Kalau tidak mampu pakej lengkap tadi, lakukanlah yang termampu. Tak dapat datang lima waktu, datanglah maghrib dan isyak. Tak dapat datang setiap hari, datanglah malam Jumaat atau hujung minggu. Pasti ada ruang untuk kita berjamaah bersama di surau.

Contoh lain ialah arahan menuntut ilmu yang berterusan sepanjang hayat. Memandangkan masing-masing ada komitmen harian yang tidak dapat dielakkan, maka masa yang diluangkan untuk menuntut ilmu adalah terbatas. Persoalannya, adakah kita mengkhusus masa tertentu untuk menambah ilmu? Sekeliling kita banyak surau dan masjid yang aktif dengan majlis-majlis ilmu. Berdasarkan kemampuan kita, carilah mana-mana tajuk dan surau yang sesuai dengan kita. Pasti ada. Kerana mustahil untuk kita hadiri semua majlis ilmu. Maka dalam keadaan ini, hadis ini mengajar kita, buatlah setakat yang kita mampu.

Yang penting, buat!

Tapi perlu diingat, ungkapan ‘setakat kemampuan’ berkehendakkan kita melakukan sesuatu, walaupun sedikit. Bukan tidak buat langsung, dengan alasan tidak mampu! Ini diperkuatkan dengan bahagian kedua hadis tadi, iaitu umat terdahulu dimusnahkan Allah lantaran banyak soalan dan pertikaian mereka. Islam tidak melarang kita bertanya dan menyoal. Kerana hukum bertanyapun ada lima bergantung perkara yang hendak dan perlu kita tanya tersebut. Jika perkara itu berkaitan dengan fardu ain, halal haram, sah batal dsb. Maka hukumnya adalah wajib. Jika berkaitan penambahan pahala, taqarrub kepada Allah maka hukumnya sunat. Jika soalan untuk mempertikaikan hukum Allah dan meninggalkan arahannya, maka ia adalah haram.

Seterusnya, dalam bab menyuruh berbuat baik dan mencegah kejahatan, setakat mana yang boleh dan mampu kita lakukan. Kalau boleh bagi nasihat dan tazkirah, buatlah. Kalau boleh bagi kuliah dan ceramah, silakan. Kalau ada kemahiran menulis artikel dan blog, buatlah. Kalau kita mampu menunjukkan akhlak dan tingkah laku mulia sebagai teladan dan medan dakwah, teruskan. Kalau kita mampu…. buatlah. yang penting, kita ada melakukan sesuatu setakat kemampuan untuk berdakwah.

Situasi sekarang

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita ialah, suka mempersoalkan arahan syarak dengan tujuan untuk tidak melakukannya. Atau suka mempertikaikan usaha baik orang lain yang mampu dibuatnya, semata-mata ada sedikit kekurangan dalam pendekatannya. Sedangkan dia sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik atau sama tara dengan usaha orang yang dipertikaikan tadi. Atau mungkin dia berpendapat, itulah kemampuan yang mampu dia lakukan!!

Benar sekalilah ungkapan; Medan cakap tidak sama dengan medan amal. Medan amal yang ikhlas tidak sama dengan amal yang palsu! dan, Adakah kita golongan yang bekerja?

Moga kita diberi kekuatan untuk beramal, dan tidak terpedaya dengan amal yang palsu!!

Renungkan bersama…

Tanda-tanda hati yang sihat


Hati adalah raja kepada seluruh anggota badan. Tindakan anggota zahir melambangkan keadaan hati batin yang tidak dapat dilihat. Ada hati yang sakit, tetapi tidak disedari oleh tuannya. Bahkan ada yang sampai hatinya matipun tuannya masih tak tahu tentang kematian tersebut ataupun tanda-tandanya.

Berikut disenaraikan sebahagian tanda hati yang hidup secara sihat. Kalau tanda ini tiada pada kita, ‘mafhum mukhalafah’nya hati kita sudah mula sakit.

1. Faham dan menghayati bahawa dunia ini adalah sebagai ladang untuk dituai hasilnya pada akhirat kelak.
Banyak orang tahu dan faham bahawa dunia ini adalah tumpangan dan akhirat kelak yang kekal abadi. Itu belum memadai jika tidak disertakan pembuktian bahawa kita tidak terjebak dengan perangkap dunia yang sentiasa mempesona. Pesanan nabi; dunia ini indah menawan. Allah tempatkan kamu di sana supaya dia melihat bagaimana kamu beramal. Takutilah dunia dan takutilah wanita. Kerana fitnah pertama menimpa bani Israil adalah pada wanita.
2. Rasa gelisah apabila tidak dapat menyempurnakan amalan dan wirid harian.
Sebagai muslim yang mengharapkan keredhaan Allah, setiap orang daripada kita perlu ada wirid harian yang menjadi amalannya. Sebagai contoh, membaca doa-doa yang ma’thur (sahih datangnya dari nabi Muhammad SAW) pagi dan petang, membaca beberapa muka ayat al-Quran, beristighfar sebanyak seratus kali, berselawat ke atas nabi SAW dsb. Ada orang menyediakan senarai semak atau muhasabah harian untuk memastikan amalan hariannya dipatuhi.
Kalau kita boleh mendisiplinkan diri kita untuk membeli dan membaca surat khabar dan menonton TV setiap hari selama berjam-jam, mengapa tidak boleh kita khususkan beberapa ketika untuk berzikir, istighfar, tilawah al-quran dsb. kerana Allah. Perlu diingat, tidak semestinya kita duduk atas sejadah sahaja untuk zikir dan wirid tadi. Ada orang tidak sempurna harinya jika tidak membaca akhbar harian, tetapi langsung tidak tersentuh hati atau rasa bersalah jika tidak sempat membaca al-Quran. Pernah sekali saya menegur orang begini, dia menjawab; baca quran tu bukan wajib! Subhanallah..! Bukan saya nak menghukum, tetapi kita boleh soal balik; baca surat khabar tu wajib ke? Dalam masa yang sama, nilai dan hukumlah di mana letaknya diri kita sendiri?
3. Tidak reda masanya terbuang dengan perkara yang sia-sia.
Pentingnya masa sampaikan Allah bersumpah dengannya dalam al-Quran; Demi masa, demi fajar, demi dhuha, demi malam… Nabi sendiri pernah berpesan; rebutlah masa lapang sebelum datag masa sibuk. Pepatah Arab menyebut; waktu itu umpama pedang, jika engkau tidak memotongnya, ia akan memotong engkau. Tidak ketinggalan juga pepatah Melayu kita; waktu itu umpama emas. Manakala mujaddid kurun ke dua puluh mengingatkan; waktu itu adalah kehidupan. Maka, jika kita mensia-siakan masa yang dianugerahkan Allah, bermakna kita telah mensia-siakan kehidupan kita sendiri!
Membuang masa sama ada dengan membiarkannya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian, atau membuang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Sama ada manfaat dunia maupun akhirat. Sama ada manfaat itu untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara. Andaikata membaca coretan ini membuang masa, tinggalkanlah. Andaikata kita menaip sesuatu yang tiada manfaat, tinggalkanlah. Kerana ia menjadi indikator kesihatan hati kita!
4. Putus hubungan dengan dunia semasa solat bahkan merasa nikmat dan rehat ketika menunaikannya.
Bila kita mengangkat takbir ‘Allahu Akbar’ kita telah mengagungkan Allah Taala dan meletakkan dunia dan isi kandungnya di belakang. Tidak dibawa sama dalam solat. Sebab itu antara adab solat ialah memastikan kita betul-betul bersedia dari segi mental dan fizikal. Makruh solat dalam keadaan makan sudah terhidang sebagaimana makruh juga solat jika menahan kencing, kentut dsb. Rasulullah SAW menjadikan solat sebagai ‘ruang rehat’ baginda ketika bersabda kepada Bilal; rehatkanlah kami (dengan solat) wahai Bilal!
Kalau kita tidak memahami makna perkataan dalam solat (walaupun dah dua puluh tahun solat!), masih sempat mencongak bajet keluarga bagi tahun 2010 dalam solat, masih sempat mencari destinasi percutian hujung tahun dsb., maka akuilah bersama bahawa hati kita masih belum sihat.

5. Tidak jemu berzikir kepada Allah dan berkhidmat kepadaNya, dan lebih suka bersahabat dengan orang yang menunjuk dan mengingatkannya kepada zikir dan khidmat tadi.
Jika kita tahu kedudukan kita sebagai hamba Allah, nescaya kita tidak akan jemu untuk berzikir keapdanya. Jika kita tahu peranan kita sebagai khalifah Allah, nescaya akan kita akan berusaha menunaikan amanah tersebut. Juga kita lebih suka mendampingi individu, majlis atau organisasi yang boleh membimbing kita berkhidmat untuk agama Allah. Kalaulah matlamat hidup kita sekadar memuji Allah, nescaya Allah tidak jadikan kita, sebab para malaikat lebih banyak zikir, tahmid dan tasbih mereka kepada Allah. Tapi Allah cipta kita berkhidmat sebagai khalifah di atas muka bumi ini, satu amanah yang amat berat. Kita tentu akan lebih cenderung mendampingi dan didampingi orang-orang yang akan membimbing, membantu dan mendorong penyempurnaan amanah tadi. Berbalik kepada tajuk, jika kita langsung tidak memikirkan tugas sebagai khalifah tadi dan berusaha menyempurnakannya, akuilah bahawa hati kita kurang sihat.

6. Tumpuan lebih diberikan kepada memperbaiki amal daripada memperbanyakkan amal.
Orang yang bijak sentiasa memuhasabah amalnya supaya diterima Allah. Bukannya banyak beramal tetapi ditolak oleh Allah. Jauh lagi, kalau hanya banyak bercakap, pandai komplen dan mempertikaikan tindakan orang lain, tapi diri sendiri tidak menyumbang apa-apa. Secara khusus, aspek yang perlu sentiasa diperbaiki ialah dari segi ikhlas, jauh dari ujub dan sum’ah, melaksanakan nasihat, muhasabah diri, ihsan dan merasa kurang dalam menunaikan hak Allah. Sebab itu ilmu dan berdamping dengan orang berilmu adalah perlu supaya amal sentiasa diterima Allah.
Moga Allah perlihatkan kelemahan diri kita sendiri supaya kita sedar dan berusaha memperbaikinya. Tidak kiralah kelemahan tersebut ditunjukkan oleh siapa, yang penting kita mengakui kelemahan diri dan membaikinya…
Salah silap saya mohon maaf dan sedia terima teguran.
Wallahu a’lam.
– Ringkasan kuliah subuh yang pernah saya sampaikan di Surau Al-Hidayah BWP (dengan sedikit ubah suai)

Syubhat dan syahwat


Allah menempatkan Adam dan Hawa di dalam syurga yang penuh nikmat. Namun dalam kenikmatan tersebut Allah arahkan mereka supaya jangan menghampiri sebatang pokok. Iblis menimbulkan was-was kepada Adam, kononnya larangan tersebut dibuat supaya mereka berdua tidak kekal dalam syurga. Terdorong dengan keinginan untuk memakan buah dari pohon larangan dan terpedaya dengan sangkaan akan dikeluarkan dari syurga, maka merekapun menghampiri pohon tersebut. Ringkas cerita, mereka dikeluarkan dari syurga.
Pengajaran dari kisah ringkas di atas
1. Allah Taala sentiasa membekalkan panduan kepada manusia untuk kebahagian hidup mereka di dunia dan akhirat. Sebagai tuhan yang menjadikan manusia, pasti Allah maha mengetahui akan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh manusia. Tapi sayang, manusia seolah-olah lupa lantas menyanggah peraturan Allah sama ada secara sengaja atau tidak. Kalaulah dalam syurgapun ada garis panduan, maka di dunia ini lebih-lebih lagi.
2. Dari kisah di atas, ulamak menyimpulkan bahawa syubhat dan syahwat adalah punca manusia melakukan maksiat kepada Allah. Syubhat merujuk kepada kesamaran dan kejahilan manusia dari membezakan hak dan batil. Syahwat pula merujuk kepada keinginan yang tidak dikawal, tidak kira sama ada berbentuk syahwat perut, kemaluan, mata, telinga, lidah, kebanggaan dsb. Asalkan keinginan tersebut lari dari ketaatan kepada Allah.
Sebagai contoh, mengapa ada orang suka mengumpat sedangkan ia termasuk dalam dosa besar?
Mungkin dia tidak tahu bahawa mengumpat itu berdosa. Atau dia tahu mengumpat itu berdosa, tapi dia tidak boleh membezakan adakah tindakannya itu mengumpat atau tidak. Kadang-kadang ada yang memberi alasan; aku bukan mengumpat, tapi memang benda ni betul-betul berlaku. Maka, lantaran kejahilan dan keraguan, dia terjebak dalam maksiat. Mungkin dia tahu perbuatannya itu adalah mengumpat, tapi diteruskan juga. Mengapa? Kerana dia tidak dapat mengawal keinginan nafsunya agar menceritakan keburukan orang lain. Itulah dipanggil mengikut syahwat.
Contoh lain, mengapa ada orang yang tidak ke masjid untuk solat berjamaah.
Mungkin dia tidak tahu bahawa terdapat banyak hadis yang menganjurkan orang lelaki menunaikan solat berjamaah di masjid atau surau. Bahkan nabi hampir-hampir mahu membakar rumah orang yang solat sendirian dirumahnya! Lantaran kekallah dia solat bersendirian di rumah kerana kejahilan tadi… syubhat! Atau, mungkin dia tahu dengan galakan dan amaran tersebut, tetapi dikuasai sifat malas, sibuk dengan urusan dunia dsb. Itulah dipanggil syahwat.
Maka kiaskanlah kepada contoh-contoh kealpaan yang lain, pasti kita akan dapati ia berpunca dari salah satu dari sebab tadi; sama ada syubhat ataupun syahwat. Mahu tidak mahu, kita akan mengakui bahawa salah satu dari dua unsur tadi telah memperdaya kita.
Jalan keluar
Pertama, tingkatkan ilmu tentang agama Allah. Jangan jemu, malu dan kedekut untuk menimba ilmu. Kalau kita boleh menonton dan membaca akhbar berjam-jam, tidak adil jika kita tidak boleh luangkan masa untuk mendalami agama Allah. Kalau kita yakin ilmu boleh menyelamatkan kita di dunia dan akhirat, maka tidak ada sebab untuk kita malu menghadiri masjlis ilmu yang banyak di keliling kita. Kalau kita boleh membeli majalah untuk hiburan dan pengetahuan am, maka tiada sebab kita tidak boleh laburkan sedikit wang untuk membeli bahan bacaan yang boleh mengeluarkan kita dari kegelapan kejahilan.
Kedua, didik diri supaya tidak tunduk kepada keinginan nafsu. Amalkan ilmu yang diperolehi. Mohon bantuan Allah seperti doa diajarkan oleh Nabi; Ya Allah! Bantulah aku supaya dapat mengingatimu, mensyukurimu dan elok ibadahku kepadamu. Bersahabatlah dengan orang yang boleh mengingatkan kita ketika lupa dan mengajak kita kepada kebaikan. Paksa diri untuk buat kebaikan, walaupun pada awalnya kita rasa tidak ikhlas. Orang jahil akan berkata; kalau tak ikhlas tak payah buat. Maka bersoraklah syaitan! Tapi orang berilmu menegaskan; biarpun mula-mula aku tak ikhlas, lama-lama akan ikhlas juga. Maka kecewalah syaitan!
Seruan
Kepada orang yang malas menuntut ilmu. Adakah memadai ilmu yang kita miliki sekarang? Atau kita tewas dengan nafsu kita yang sentiasa dihiasi syaitan.
Kepada yang tidak ke surau untuk berjamaah. Apakah alasan hendak kita beri apabila disoal Allah kelak? Atau sebenarnya kita memang berat untuk menyahut seruan Allah.
Wassalam…

Mesyuarat! Oh, mesyuarat!


Hari ini seharian saya menghadiri mesyuarat di pejabat. Dalam sebuah organisasi mesti ada mesyuarat atau syura. Mesyuarat adalah salah satu dari sunnah Nabi SAW dan dianjurkan oleh Allah Taala dalam Al-Quran. Kalau kita hadir mesyuarat, kita dapat pahala.

Faedah mesyuarat
Dengan mesyuarat; yang kusut dapat dirungkaikan, yang berat dapat diringankan dan yang susah dapat dipermudahkan. Mesyuarat juga menguji kemahiran seseorang mengendalikan mesyuarat, kebernasan buah fikiran dilontar dan keterbukaan seseorang terhadap kritikan orang lain. Juga melatih seseorang memanfaatkan masa yang dikhususkan untuk mesyuarat tersebut, khususnya pengerusi.

Adab mesyuarat
Antara adab mesyuarat ialah ikhlas dalam memberi komen, demi kebaikan organisasi. Bukannya memperlekehkan orang lain.Ahli mesyuarat wajib memberikan pandangan kerana itulah tujuan dia dijemput hadir. Apabila pandangan kita tidak diterima, bersyukurlah kepada Allah. Mungkin ada kebaikan di sebalik penolakan tersebut. Sekurang-kurangnya kita telah memberikan pandangan setakat kemampuan. Kalau pandangan kita diterima, maka beristighfarlah, bimbang pandangan tersebut mendatangkan mudarat.

Hormati keputusan
Setiap mesyuarat haruslah menghasilkan keputusan dan keputusan tersebut perlulah dihormati. Maksud dihormati ialah kita melaksanakannya walaupun kita tidak bersetuju semasa perbincangan. Tetapi apabila keputusan telah diambil secara musyawarah, ia mesti dipatuhi. Oleh itu tidak harus timbul ungkapan’ “aku dah cakap dulu jangan buat macam tu, tapi dia orang tak nak dengar. Tengok sekarang apa dah jadi? Aku tak masuk campur.”

Berfokuslah…
Amat malang kalau kita berbincang tetapi tiada keputusan diambil atau ada keputusan, tetapi tidak berbaloi dengan masa yang begitu dipanjang. Sering kita temui, mesyuarat tidak fokus kepada matlamat atau agenda yang ditentukan. Kalaupun mengikut agenda, tapi perbincangan tidak fokus kepada tajuk atau meleret-leret. Dari perkara pokok pergi ke ranting, dari ranting melarat ke pucuk dan dari pucuk jatuh ke tanah! Pada saya ini membuang masa dan menafikan hak orang lain untuk memanfaatkan masa yang sepatutnya boleh digunakan bagi melaksanakan tugas-tugas lain.

Perlukah mesyuarat?

Soalan yang baik dan patut ditanya sebelum surat panggilan mesyuarat dikeluarkan. Ada sekolah yang mengumpulkan guru-gurunya setiap minggu atas nama mesyuarat atau taklimat mingguan. Tapi mendapat cemuhan dari guru! Mengapa? Adakah mereka menolak ibadah yang disyariatkan? Atau mesyuarat tersebut tidak berjalan seperti sepatutnya?
Ada surau yang jarang-jarang mesyuarat. Setahun dua tiga kali sahaja. Minit mesyuaratpun tidak disediakan. Alasannya, tak perlu mesyuarat selalu sebab kita dah jumpa banyak kali semasa solat berjamaah. Tak perlu minit mesyuarat, sebab ini mesyuarat surau bukan pejabat! Mentang-mentanglah surau, maka tak perlu buat dengan sistematik.
Cakap-cakap belakang
Selalu juga berlaku, ahli mesyuarat bersembang sesama mereka dan tidak kurang yang mengutuk pengerusi atau ahli mesyuarat yang lain. Perkara ini boleh dielakkan jika pengerusi bijak mengendalikan mesyuarat dan melibatkan semua ahli dalam perbincangan. Sebenarnya cakap-cakap belakang ini tidak menguntungkan sesiapa, bahkan mungkin memecah belahkan organisasi. Terutama jika yang memulakan cakap-cakap belakang ini seorang yang berpengaruh dan berniat untuk mengumpul pengikut. Jika berterusan dan dilayan, maka lahirlah Team A dan Team B dalam organisasi. Mungkin aktiviti berjalan seperti dimesyuaratkan, tetapi kurang mendapat barakah dari Allah lantaran hati yang tidak sehaluan.

Ingatlah, apabila kita melaksanakan syura, sebenarnya kita telah mematuhi perintah Allah dan dikira sebagai ibadat. Maka janganlah ibadat yang disyariatkan tadi kita nodai dengan unsur-unsur mungkar yang akan mencacatkannya.

Sepakat Membawa Berkat


Baru-baru ini ada rasa tidak puas hati ditimbulkan oleh peserta ibadah korban musim 1430H. Bukan masalah harga, sebab RM350 adalah harga yang munasabah untuk satu bahagian lembu. Tapi tidak puas hati sebab ada bayaran tambahan atau harga lembu lebih murah dari jumlah terkumpul. (Contoh: RM350 X 7 = RM2,450. Tapi harga sebenar lembu cuma RM2,300 sahaja!)

Beberapa persoalan:
1. Siapakah yang menganjurkan projek korban beramai-ramai ini?
2. Pernah tak buat korban beramai-ramai sebelum ini?
3. Orang yang menguruskan pembelian lembu tu tahu tak adat / kebiasaan setempat dalam bab korban beramai-ramai?
4. Adakah surau bermatlamatkan keuntungan semata-mata dalam projek korban ini?
5. Adakah peserta korban dijelaskan tentang ke mana perginya RM350 mereka itu? Teruskan membaca

Imam letak jawatan!


Beberapa orang penduduk sebuah taman meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ustaz yang merupakan imam surau mereka yang dikatakan kasar dan menggunakan pendekatan yang kurang sesuai dalam kuliah dan nasihatnya. Mereka mendakwa, sebab itulah ramai penduduk taman tersebut tidak datang berjamaah disurau. Namun, melalui pendekatan yang serupa juga imam tersebut berjaya menghidupkan surau dengan kuliah harian dan bulanan di samping aktiviti sempena hari-hari kebesaran Islam. Semua luahan dibuat melalui kekotak Cbox blog surau tersebut yang penuh dengan provokasi, tuduh-menuduh, cabar mencabar dan tidak kurang juga yang memberi nasihat. Dipendekkan cerita, kemuncaknya apabila golongan yang tidak berpuas hati ini mendesak supaya imam kelahiran pantai timur ini meletakkan jawatan. Maka sehari selepas itu, selepas mengimamkan solat subuh imam tersebut mengumumkan perletakkan jawatannya seperti didesak. Lebih mengharukan, seorang ustaz lain yang disebut namanya dalam Cbox turut menyusul untuk mengundurkan diri dari memberi kuliah mingguan!
Banyak persoalan boleh dibincangkan dalam kisah benar ini.

1. Kesahihan dakwaan golongan yang tidak berpuas hati:
Betulkah sebahagian besar penduduk tidak berpuas hati dengan imam tersebut? Pasti ada yang tidak puas hati, tapi berapa orang? Pasti ada yang boleh menerima pendekatan imam tersebut, maka merekalah yang datang memakmurkan surau. Tidak kurang, masih ada yang liat nak datang. Pasti ada yang tak kisah langsung; kasar ke, lembut ke, mereka tetap tak datang! Mungkin ada yang nak berjinak-jinak dengan surau, tapi bila kena sergah dan tempelak dengan imam, menangguhkan dulu hasratnya itu!

2. Wajarkah imam letak jawatan:
Biasanya imam dilantik dalam mesyuarat agung surau dan diberi kepercayaan. Lihat, apabila imam meletakkan jawatan dan tidak mahu meneruskan kuliah; siapa yang rugi? Majoriti jamaah surau yang konsisten ke surau dan istiqamah mendengar kuliah untuk menuntut ilmu akan rugi. Bilangan yang tidak puas hati mungkin sedikit sahaja dan sebahagian dari yang sedikit tadi tak datang ke surau pun! Tapi makmum yang istiqamah lebih ramai, maka imam telah mengabaikan keperluan dan harapan majoriti makmum. Lebih malang, orang yang dah bercadang-cadang nak ke surau, tergendala kerana aktiviti surau dah berkurangan! Kaedahnya, kepentingan umum lebih diutamakan daripada kepentingan beberapa individu.

3. Muhasabah diri:
Kalau ada orang menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap kita, maka tidak salah jika kita memuhasabah diri. Kalau apa yang dikatakan itu betul, kita terima dan cuba perbaiki. Kalau fitnah semata, berdoalah agar dijauhkan Allah… Muhasabah yang dimaksudkan bukan sahaja kepada imam tersebut, tetapi kepada golongan yang tidak berpuas hati serta jawatankuasa surau yang menguruskan perjalanannya.

Imam perlu muhasabah diri, adakah pendekatan yang digunakan kurang sesuai. Mungkin dia perlu menggunakan pendekatan lain yang boleh diterima. Sebab satu pendekatan tidak boleh digunakan untuk semua orang. Kalau dia ‘memang dilahirkan begitu’, mungkin dia boleh menggunakan pihak ketiga untuk mendampingi golongan tersebut. Kalau imam dah guna semua usaha dan pendekatan tapi masih ditolak, maka rujuklah hasil dakwah nabi Ibrahim dengan bapanya, nabi Nuh dengan kaumnya, bahkan nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya- namun mereka tetap sabar dan tidak mengundurkan diri. Terimalah ini sebagai halangan dalam perjalanan yang perlu dilalui.

Jawatankuasa perlu menilai semula perjalanan surau, membaiki mana-mana kekurangan dan membuat penambahbaikan yang berterusan. Jika jawatankuasa jarang bermesyuarat secara formal dan mereka tidak memperuntukkan masa untuk itu, maka inilah jadinya. Imam yang dirundung masalah tidak ada tempat untuk mengadu. Jawatankuasa tidak bersama dengan imam yang dilantik untuk sama-sama menyelesaikan masalah demi maslahat jamaah surau khasnya dan penduduk taman amnya. Sedangkan kita tahu bahawa agama itu adalah nasihat!
Golongan yang tidak berpuas hati juga perlu muhasabah diri. Betulkah tindakan aku mendesak imam yang banyak berjasa kepada pengunjung setia surau supaya meletakkan jawatan? Adakah Allah redha dengan tindakan aku ini? Adakah akau akan diberi pahala? Adakah ‘jihad’ ini memberi pulangan besar di akhirat kelak dll. Atau, aku sekadar melepaskan geram kepada imam yang tidak sehaluan dengan aku! Sekarang imam sudah meletakkan jawatan. Apa yang mesti aku lakukan supaya ada pengganti yang semestinya lebih baik dari imam dan ustaz sedia ada? Perlu diingatkan, muhasabah bukan terbatas selepas sesuatu perbuatan, tetapi merangkumi sebelu dan selepas.
Imam Ahmad meriwayatkan; Orang yang bijak ialah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk selepas kematian. Orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan mengangankan rahmat Allah.

4. Merawat pening dengan ‘migraine’:
Asal masalah ialah tidak puas hati dengan pendekatan imam. Itu sahaja! Maka diselesaikan dengan perletakan jawatan imam dan ustaz. Kesannya, majlis ilmu tergendala. Pendekatan imam cuma ibarat pening, kerana terbukti surau terus aktif dan jamaah bertambah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Manakala perletakan jawatan umpama ‘migraine’, kerana mudaratnya lebih besar. Kaedah mencegah kemungkaran; jangan sampai mendatangkan masalah yang lebih besar daripada masalah sedia ada. Kalau tidak, maka pada masa itu tidak wajib kita mencegah kemungkaran tersebut. Ketika Ibnu Taimiyah melihat tentera penjajah tenggelam dengan arak, beliau tidak menegahnya. Bila ditanya beliau mengulas; jika mereka sedar mereka akan mengganas dan membunuh lebih ramai orang! Adakah Ibnu Taimiyah berdosa kerana tidak mencegah kemungkaran tersebut? Tidak, kerana beliau tidak mahu timbul mungkar yang lebih besar lagi.
Demikianlah beberapa ulasan saya sekitar peristiwa yang berlaku.
Semoga Allah selamatkan kita dari fitnah.

%d bloggers like this: