Imam letak jawatan!

Beberapa orang penduduk sebuah taman meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ustaz yang merupakan imam surau mereka yang dikatakan kasar dan menggunakan pendekatan yang kurang sesuai dalam kuliah dan nasihatnya. Mereka mendakwa, sebab itulah ramai penduduk taman tersebut tidak datang berjamaah disurau. Namun, melalui pendekatan yang serupa juga imam tersebut berjaya menghidupkan surau dengan kuliah harian dan bulanan di samping aktiviti sempena hari-hari kebesaran Islam. Semua luahan dibuat melalui kekotak Cbox blog surau tersebut yang penuh dengan provokasi, tuduh-menuduh, cabar mencabar dan tidak kurang juga yang memberi nasihat. Dipendekkan cerita, kemuncaknya apabila golongan yang tidak berpuas hati ini mendesak supaya imam kelahiran pantai timur ini meletakkan jawatan. Maka sehari selepas itu, selepas mengimamkan solat subuh imam tersebut mengumumkan perletakkan jawatannya seperti didesak. Lebih mengharukan, seorang ustaz lain yang disebut namanya dalam Cbox turut menyusul untuk mengundurkan diri dari memberi kuliah mingguan!
Banyak persoalan boleh dibincangkan dalam kisah benar ini.

1. Kesahihan dakwaan golongan yang tidak berpuas hati:
Betulkah sebahagian besar penduduk tidak berpuas hati dengan imam tersebut? Pasti ada yang tidak puas hati, tapi berapa orang? Pasti ada yang boleh menerima pendekatan imam tersebut, maka merekalah yang datang memakmurkan surau. Tidak kurang, masih ada yang liat nak datang. Pasti ada yang tak kisah langsung; kasar ke, lembut ke, mereka tetap tak datang! Mungkin ada yang nak berjinak-jinak dengan surau, tapi bila kena sergah dan tempelak dengan imam, menangguhkan dulu hasratnya itu!

2. Wajarkah imam letak jawatan:
Biasanya imam dilantik dalam mesyuarat agung surau dan diberi kepercayaan. Lihat, apabila imam meletakkan jawatan dan tidak mahu meneruskan kuliah; siapa yang rugi? Majoriti jamaah surau yang konsisten ke surau dan istiqamah mendengar kuliah untuk menuntut ilmu akan rugi. Bilangan yang tidak puas hati mungkin sedikit sahaja dan sebahagian dari yang sedikit tadi tak datang ke surau pun! Tapi makmum yang istiqamah lebih ramai, maka imam telah mengabaikan keperluan dan harapan majoriti makmum. Lebih malang, orang yang dah bercadang-cadang nak ke surau, tergendala kerana aktiviti surau dah berkurangan! Kaedahnya, kepentingan umum lebih diutamakan daripada kepentingan beberapa individu.

3. Muhasabah diri:
Kalau ada orang menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap kita, maka tidak salah jika kita memuhasabah diri. Kalau apa yang dikatakan itu betul, kita terima dan cuba perbaiki. Kalau fitnah semata, berdoalah agar dijauhkan Allah… Muhasabah yang dimaksudkan bukan sahaja kepada imam tersebut, tetapi kepada golongan yang tidak berpuas hati serta jawatankuasa surau yang menguruskan perjalanannya.

Imam perlu muhasabah diri, adakah pendekatan yang digunakan kurang sesuai. Mungkin dia perlu menggunakan pendekatan lain yang boleh diterima. Sebab satu pendekatan tidak boleh digunakan untuk semua orang. Kalau dia ‘memang dilahirkan begitu’, mungkin dia boleh menggunakan pihak ketiga untuk mendampingi golongan tersebut. Kalau imam dah guna semua usaha dan pendekatan tapi masih ditolak, maka rujuklah hasil dakwah nabi Ibrahim dengan bapanya, nabi Nuh dengan kaumnya, bahkan nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya- namun mereka tetap sabar dan tidak mengundurkan diri. Terimalah ini sebagai halangan dalam perjalanan yang perlu dilalui.

Jawatankuasa perlu menilai semula perjalanan surau, membaiki mana-mana kekurangan dan membuat penambahbaikan yang berterusan. Jika jawatankuasa jarang bermesyuarat secara formal dan mereka tidak memperuntukkan masa untuk itu, maka inilah jadinya. Imam yang dirundung masalah tidak ada tempat untuk mengadu. Jawatankuasa tidak bersama dengan imam yang dilantik untuk sama-sama menyelesaikan masalah demi maslahat jamaah surau khasnya dan penduduk taman amnya. Sedangkan kita tahu bahawa agama itu adalah nasihat!
Golongan yang tidak berpuas hati juga perlu muhasabah diri. Betulkah tindakan aku mendesak imam yang banyak berjasa kepada pengunjung setia surau supaya meletakkan jawatan? Adakah Allah redha dengan tindakan aku ini? Adakah akau akan diberi pahala? Adakah ‘jihad’ ini memberi pulangan besar di akhirat kelak dll. Atau, aku sekadar melepaskan geram kepada imam yang tidak sehaluan dengan aku! Sekarang imam sudah meletakkan jawatan. Apa yang mesti aku lakukan supaya ada pengganti yang semestinya lebih baik dari imam dan ustaz sedia ada? Perlu diingatkan, muhasabah bukan terbatas selepas sesuatu perbuatan, tetapi merangkumi sebelu dan selepas.
Imam Ahmad meriwayatkan; Orang yang bijak ialah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk selepas kematian. Orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan mengangankan rahmat Allah.

4. Merawat pening dengan ‘migraine’:
Asal masalah ialah tidak puas hati dengan pendekatan imam. Itu sahaja! Maka diselesaikan dengan perletakan jawatan imam dan ustaz. Kesannya, majlis ilmu tergendala. Pendekatan imam cuma ibarat pening, kerana terbukti surau terus aktif dan jamaah bertambah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Manakala perletakan jawatan umpama ‘migraine’, kerana mudaratnya lebih besar. Kaedah mencegah kemungkaran; jangan sampai mendatangkan masalah yang lebih besar daripada masalah sedia ada. Kalau tidak, maka pada masa itu tidak wajib kita mencegah kemungkaran tersebut. Ketika Ibnu Taimiyah melihat tentera penjajah tenggelam dengan arak, beliau tidak menegahnya. Bila ditanya beliau mengulas; jika mereka sedar mereka akan mengganas dan membunuh lebih ramai orang! Adakah Ibnu Taimiyah berdosa kerana tidak mencegah kemungkaran tersebut? Tidak, kerana beliau tidak mahu timbul mungkar yang lebih besar lagi.
Demikianlah beberapa ulasan saya sekitar peristiwa yang berlaku.
Semoga Allah selamatkan kita dari fitnah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: