Mesyuarat! Oh, mesyuarat!

Hari ini seharian saya menghadiri mesyuarat di pejabat. Dalam sebuah organisasi mesti ada mesyuarat atau syura. Mesyuarat adalah salah satu dari sunnah Nabi SAW dan dianjurkan oleh Allah Taala dalam Al-Quran. Kalau kita hadir mesyuarat, kita dapat pahala.

Faedah mesyuarat
Dengan mesyuarat; yang kusut dapat dirungkaikan, yang berat dapat diringankan dan yang susah dapat dipermudahkan. Mesyuarat juga menguji kemahiran seseorang mengendalikan mesyuarat, kebernasan buah fikiran dilontar dan keterbukaan seseorang terhadap kritikan orang lain. Juga melatih seseorang memanfaatkan masa yang dikhususkan untuk mesyuarat tersebut, khususnya pengerusi.

Adab mesyuarat
Antara adab mesyuarat ialah ikhlas dalam memberi komen, demi kebaikan organisasi. Bukannya memperlekehkan orang lain.Ahli mesyuarat wajib memberikan pandangan kerana itulah tujuan dia dijemput hadir. Apabila pandangan kita tidak diterima, bersyukurlah kepada Allah. Mungkin ada kebaikan di sebalik penolakan tersebut. Sekurang-kurangnya kita telah memberikan pandangan setakat kemampuan. Kalau pandangan kita diterima, maka beristighfarlah, bimbang pandangan tersebut mendatangkan mudarat.

Hormati keputusan
Setiap mesyuarat haruslah menghasilkan keputusan dan keputusan tersebut perlulah dihormati. Maksud dihormati ialah kita melaksanakannya walaupun kita tidak bersetuju semasa perbincangan. Tetapi apabila keputusan telah diambil secara musyawarah, ia mesti dipatuhi. Oleh itu tidak harus timbul ungkapan’ “aku dah cakap dulu jangan buat macam tu, tapi dia orang tak nak dengar. Tengok sekarang apa dah jadi? Aku tak masuk campur.”

Berfokuslah…
Amat malang kalau kita berbincang tetapi tiada keputusan diambil atau ada keputusan, tetapi tidak berbaloi dengan masa yang begitu dipanjang. Sering kita temui, mesyuarat tidak fokus kepada matlamat atau agenda yang ditentukan. Kalaupun mengikut agenda, tapi perbincangan tidak fokus kepada tajuk atau meleret-leret. Dari perkara pokok pergi ke ranting, dari ranting melarat ke pucuk dan dari pucuk jatuh ke tanah! Pada saya ini membuang masa dan menafikan hak orang lain untuk memanfaatkan masa yang sepatutnya boleh digunakan bagi melaksanakan tugas-tugas lain.

Perlukah mesyuarat?

Soalan yang baik dan patut ditanya sebelum surat panggilan mesyuarat dikeluarkan. Ada sekolah yang mengumpulkan guru-gurunya setiap minggu atas nama mesyuarat atau taklimat mingguan. Tapi mendapat cemuhan dari guru! Mengapa? Adakah mereka menolak ibadah yang disyariatkan? Atau mesyuarat tersebut tidak berjalan seperti sepatutnya?
Ada surau yang jarang-jarang mesyuarat. Setahun dua tiga kali sahaja. Minit mesyuaratpun tidak disediakan. Alasannya, tak perlu mesyuarat selalu sebab kita dah jumpa banyak kali semasa solat berjamaah. Tak perlu minit mesyuarat, sebab ini mesyuarat surau bukan pejabat! Mentang-mentanglah surau, maka tak perlu buat dengan sistematik.
Cakap-cakap belakang
Selalu juga berlaku, ahli mesyuarat bersembang sesama mereka dan tidak kurang yang mengutuk pengerusi atau ahli mesyuarat yang lain. Perkara ini boleh dielakkan jika pengerusi bijak mengendalikan mesyuarat dan melibatkan semua ahli dalam perbincangan. Sebenarnya cakap-cakap belakang ini tidak menguntungkan sesiapa, bahkan mungkin memecah belahkan organisasi. Terutama jika yang memulakan cakap-cakap belakang ini seorang yang berpengaruh dan berniat untuk mengumpul pengikut. Jika berterusan dan dilayan, maka lahirlah Team A dan Team B dalam organisasi. Mungkin aktiviti berjalan seperti dimesyuaratkan, tetapi kurang mendapat barakah dari Allah lantaran hati yang tidak sehaluan.
Ingatlah, apabila kita melaksanakan syura, sebenarnya kita telah mematuhi perintah Allah dan dikira sebagai ibadat. Maka janganlah ibadat yang disyariatkan tadi kita nodai dengan unsur-unsur mungkar yang akan mencacatkannya.

Satu Respons

  1. Satu posting yang menarik..ana jadikan ia sbg peringatan utk ana. Syukran !Ust Kamal

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: