Buatlah setakat kemampuan

“Apa yang aku larang kamu maka berhentilah. Apa yang aku suruh kamu lakukan, maka buatlah setakat kemampuanmu. Sesungguhnya umat sebelum kamu dimusnahkan kerana banyaknya soalan mereka dan perselisihan terhadap nabi mereka.”

Tinggalkan sepenuhnya

Hadis ini menjelaskan bahawa perkara yang dilarang oleh syarak hendaklah ditinggalkan seratus peratus. Manakala perkara yang disuruh oleh syarak hendaklah kita berusaha menyempurnakannya sekadar kemampuan. Sebagai contoh, larangan berjudi. Tinggalkanlah berjudi sepenuhnya. Jangan ada yang berkata; aku beli nombor dua ringgit aje, bukannya banyakpun! Atau, aku minum arak bukan banyakpun, satu gelas aje. Atau, aku dedah aurat bukannya seksi sangat. Dan macam-macam lagi salah faham dan alasan untuk menghalalkan kesilapan masing-masing. Inilah apa yang dinamakan syubhat.

Salah faham ini mungkin timbul kerana mereka mengaitkannya dengan bahagian kedua hadis iaitu ‘setakat kemampuan’. Sedangkan ungkapan ‘setakat kemampuan’ adalah untuk melaksanakan suruhan, bukannya meninggalkan larangan. Contohnya, arahan menunaikan solat. Paling sempurna untuk seorang lelaki ialah menunaikannya secara pakej; di awal waktu secara berjamaah di surau atau masjid sebanyak lima kali sehari semalam. Tidak kiralah di surau taman, kampung atau tempat kerja. Kalau tidak mampu pakej lengkap tadi, lakukanlah yang termampu. Tak dapat datang lima waktu, datanglah maghrib dan isyak. Tak dapat datang setiap hari, datanglah malam Jumaat atau hujung minggu. Pasti ada ruang untuk kita berjamaah bersama di surau.

Contoh lain ialah arahan menuntut ilmu yang berterusan sepanjang hayat. Memandangkan masing-masing ada komitmen harian yang tidak dapat dielakkan, maka masa yang diluangkan untuk menuntut ilmu adalah terbatas. Persoalannya, adakah kita mengkhusus masa tertentu untuk menambah ilmu? Sekeliling kita banyak surau dan masjid yang aktif dengan majlis-majlis ilmu. Berdasarkan kemampuan kita, carilah mana-mana tajuk dan surau yang sesuai dengan kita. Pasti ada. Kerana mustahil untuk kita hadiri semua majlis ilmu. Maka dalam keadaan ini, hadis ini mengajar kita, buatlah setakat yang kita mampu.

Yang penting, buat!

Tapi perlu diingat, ungkapan ‘setakat kemampuan’ berkehendakkan kita melakukan sesuatu, walaupun sedikit. Bukan tidak buat langsung, dengan alasan tidak mampu! Ini diperkuatkan dengan bahagian kedua hadis tadi, iaitu umat terdahulu dimusnahkan Allah lantaran banyak soalan dan pertikaian mereka. Islam tidak melarang kita bertanya dan menyoal. Kerana hukum bertanyapun ada lima bergantung perkara yang hendak dan perlu kita tanya tersebut. Jika perkara itu berkaitan dengan fardu ain, halal haram, sah batal dsb. Maka hukumnya adalah wajib. Jika berkaitan penambahan pahala, taqarrub kepada Allah maka hukumnya sunat. Jika soalan untuk mempertikaikan hukum Allah dan meninggalkan arahannya, maka ia adalah haram.

Seterusnya, dalam bab menyuruh berbuat baik dan mencegah kejahatan, setakat mana yang boleh dan mampu kita lakukan. Kalau boleh bagi nasihat dan tazkirah, buatlah. Kalau boleh bagi kuliah dan ceramah, silakan. Kalau ada kemahiran menulis artikel dan blog, buatlah. Kalau kita mampu menunjukkan akhlak dan tingkah laku mulia sebagai teladan dan medan dakwah, teruskan. Kalau kita mampu…. buatlah. yang penting, kita ada melakukan sesuatu setakat kemampuan untuk berdakwah.

Situasi sekarang

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita ialah, suka mempersoalkan arahan syarak dengan tujuan untuk tidak melakukannya. Atau suka mempertikaikan usaha baik orang lain yang mampu dibuatnya, semata-mata ada sedikit kekurangan dalam pendekatannya. Sedangkan dia sendiri tidak melakukan apa-apa yang lebih baik atau sama tara dengan usaha orang yang dipertikaikan tadi. Atau mungkin dia berpendapat, itulah kemampuan yang mampu dia lakukan!!

Benar sekalilah ungkapan; Medan cakap tidak sama dengan medan amal. Medan amal yang ikhlas tidak sama dengan amal yang palsu! dan, Adakah kita golongan yang bekerja?

Moga kita diberi kekuatan untuk beramal, dan tidak terpedaya dengan amal yang palsu!!

Renungkan bersama…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: