Antara Keelokan Islam Seseorang (03)


Kaedah untuk mengetahui perkara yang berkaitan dan tidak berkaitan.

Kaedah untuk mengetahui perkara yang berkaitan dan tidak berkaitan ialah syarak. Tidak harus ada campur tangan nafsu. Ibnu Rajab berkata, bukanlah maksud meninggalkan apa yang tiada kaitan dan kemahuan itu mengikut hukuman hawa dan tuntutan nafsu, bahkan hendaklah menurut hukum syarak dan Islam. Sebab itulah dijadikan sebahagian dari keelokan Islam. Bila elok Islam seseorang, dia akan meninggalkan kata-kata dan perbuatan yang tiada kaitan dengannya.

Pada hari ini, kebanyakan manusia menganggap perkara yang tiada kaitan ialah hal ehwal orang lain. Ini fahaman yang salah kerana ada hal ehwal orang lain berkaitan dengan kita secara langsung, antaranya;

B erkaitan amar makruf dan nahi mungkar. Nabi bersabda, sesiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman. Maka kita lihat melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar adalah sebahagian daripada iman, boleh mengelokkan Islam seseorang dan meningkatkan iman.

Adapun berhujah dengan firman Allah, wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu, orang yang sesat tidak akan memudharatkan kamu bila kamu telah mendapat petunjuk (al-maidah:105) untuk meninggalkan amalan ini, adalah ditolak. Ini berdasarkan sangkalan Abu Bakar dalam ucapannya; wahai sekalian manusia, sesungguhnya kamu membaca ayat ini, wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu, orang yang sesat tidak akan memudharatkan kamu bila kamu telah mendapat petunjuk, kamu meletaknya bukan pada tempatnya kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya apabila manusia melihat kemungkaran tetapi mereka tidak mengubahnya maka Allah akan menurunkan azab keatas mereka semua.

Bahkan ayat itu sendiri menyokong kenyataan tersebut apabila Allah berfirman, jagalahh diri kamu iaitu pelihara dan perbaikilah diri kamu. Antara perkara yang boleh memperbaiki diri ialah melakukan suruhan dan meninggalkan larangan, dan antara arahan yang wajib ialah amar makruf dan nahi mungkar. Juga, firman Allah, orang-orang yang sesat tidak memudharatkan kamu apabila kamu telah beroleh petunjuk. Kerana petunjuk hanya diperolehi dengan mentaati perintah Allah dan menunaikan kewajipan berbentuk suruhan dan larangan. Antaranya ialah amar makruf dan nahi mungkar yang pastinya amat berkaitan dengan orang-orang beriman!

Ahmad bin Ibrahim al-Muqri berkata, adalah Abul Hasan An-Nuri menjauhi berlebih-lebihan, tidak bertanya perkara yang tiada kaitan dengannya, tidak mencari-cari perkara yang tidak diperlukan dan apabila melihat kemungkaran dia mengubahnya…

Advertisements

Antara Keelokan Islam Seseorang (02)


Apakah perkara yang tiada kaitan dengan anda?

Sabda nabi, apa yang tiada kaitan dengannya bermaksud perkara yang tidak penting untuknya, tidak memberi faedah di dunia dan akhirat. Perkara yang berkaitan dengan seseorang adalah apa yang dia perlu beri perhatian, menjadi matlamat dan tuntutan hidupnya.

Sewajarnya setiap orang mengambil berat perkara yang boleh menyelamat dan membawa kesejahteraan hidupnya, mendatangkan kebaikan dan menjauhkannya dari kejahatan di akhirat. Juga mengambil berat perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dan menjauhkan dari keburukan di dunia, kerana kebaikan di dunianya adalah wasilah untuk kebaikan di akhirat. Inilah seruan nabi SAW, cari dan  peliharalah perkara yang memberi manfaat kepada kamu (riwayat Muslim). Juga arahan Allah, wahai orang-orang beriman peliharalah diri kamu dari melakukan kejahatan (al-maidah: 105), iaitu melazimi dan memperelokkannya.

Selain daripada itu, tidaklah berkaitan dan penting dengan kita, merangkumi semua aktiviti manusia. Seperti kata-kata dan perbuatan yang tidak mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kejahatan. Juga perkara haram, syubhat dan makruh serta berlebihan dalam perkara harus yang tidak diperlukan, semuanya merupakan cubaan syaitan untuk menyesatkan manusia secara beransur-ansur dari yang berat kepada yang lebih ringan.

Dua jenis perkara yang tiada kaitan

Jenis Pertama: Perkara yang asalnya tiada kena mengena dengan kita seperti hal ehwal orang lain, cara hidup mereka, pendapatan mereka dan perincian masalah ahli keluarga mereka. Juga sibuk dengan kisah dan peristiwa yang tiada matlamat yang jelas.

Nabi pernah melarang perkara ini seperti diriwayatkan oleh Muslim sabda baginda, Sesungguhnya Allah redha untuk kamu tiga perkara dan benci tiga perkara. Dia redha  supaya kamu menyembahnya dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu, berpegang dengan tali Allah dan jangan berpecah. Dia benci kata mengata, banyak soal dan mensia-siakan harta. Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan, kata mengata ialah membincangkan cerita, keadaan dan tingkahlaku orang lain yang tiada kaitan. Tentang banyak soal pula, imam Nawawi mengulas;  Jika dikatakan mungkin maksudnya ialah banyak bertanya tentang kisah manusia dan perkara yang tiada kaitan, maka pendapat ini adalah lemah kerana memang telah ada larangan kata mengata. Mungkin maksudnya ialah banyak soal tentang perincian hal ehwal orang lain, maka termasuklah dalam kategori bertanya perkara yang tiada kaitan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa ke atas orang yang ditanya. Iaitu kalau dia menjawab mendatangkan masalah, kalau mendustakan juga akan bermasalah dan jika dibiarkan tanpa jawapan nampak kurang beradab!

Jika beginilah keadaan bertanyakan hal ehwal manusia, maka bagaimana pula halnya perbuatan mengintip-intip hal orang lain, mencari-cari keaiban dan kesalahannya, menyebarkan kepada orang lain dengan tujuan jahat dan memanjangkan kata-kata mereka untuk kerosakan? Sedangkan Allah telah berfirman, janganlah kamu mengintip-intip (al-Hujurat:12) dan sabda nabi, wahai sekalian manusia yang telah Islam dengan lidahnya tetapi iman belum menusuk hati mereka. janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam, janganlah kamu mengaibkan mereka, jangan mencari-cari aib mereka. Sesiapa mencari-cari aib saudara seIslamnya, Allah akan mencari aibnya. Sesiapa yang Allah cari aibnya, akan dimalukan walaupun dia di dalam perut kenderaannya! (Tirmizi)

Antara contoh menyibukkan diri dengan perkara yang tiada kaitan ialah membahagikan manusia kepada kelompok, kumpulan dan jamaah.. tidak kira memang itu realiti mereka atau tidak. Dan terlalu mementingkan untuk menjatuhkan satu hukuman ke atas orang lain tanpa sebarang perincian, apatah lagi ia bercampur baur dengan umpatan, penghinaan, mencari-cari kelemahan dan meragui niat orang lain. Perkara ini amat jauh dari manhaj salafus soleh.  Ditambah pula dengan prasangka yang menyalakan api fitnah dan menyemarakkan perpecahan dalam kalangan muslimin.

Pasti sekali jawapannya ialah berhenti, menginsafi, mengakui kebenaran orang lain, mengasihi mereka sekadar yang layak, kemudian berusaha menasihati secara ikhlas dengan meraikan adab-adab yang disyariatkan serta berdoa moga Allah perbaiki keadaan mereka dan agar ummah ini bersatu di atas kebenaran. Inilah sebenarnya manhaj para salaf.

Antara urusan orang lain yang tidak perlu ditanya ialah ibadat mereka dengan Allah yang disembunyikan, kerana boleh membawa kepada riya’, berdusta, menghina, meletihkannya mencari helah.. atau sekurang-kurangnya soalan seperti ini boleh mangakibatkan ibadatnya terserlah sehingga kuranglah ganjaran berbeza ibadat secara sembunyi.

Begitu juga jangan bertanya tentang maksiat mereka dan perkara yang mereka malu untuk sebut, kerana menyembunyikan maksiat adalah murni sedangkan memperlihatkan maksiat adalah maksiat yang menjauhkan dari kesejahteraan.

Termasuk dalam tiada kaitan juga ialah bertanyakan kebaikan yang mereka tidak suka zahirkan kepada orang ramai mungkin bimbangkan hasad dengki contohnya. Seperti kecerdikan anak-anaknya atau perincian masalah yang mereka hadapi tetapi tidak mahu diketahui orang lain.

Jenis Kedua: Perkara yang memang pada asalnya berkaitan keperluan manusia hidup seperti makanan, mimpi, perkahwinan, percakapan, pergaulan, penglihatan dan semua pergerakan. Adapun yang tiada kaitan ialah melebihi kadar yang diperlukan dalam perkara disebutkan tadi atau dikenali sebagai berlebih-lebihan dalam perkara harus.

Antara contohnya ialah menceritakan tentang perempuan dan hubungan jenis yang tidak mendatangkan faedah dan tidak diperlukan. Ini termasuk dalam perkara sia-sia yang diperintah menjauhinya.

Juga terlalu mendalami nasab keturunan lebih dari keperluan mengetahui hubungan kekeluargaan. Apatah lagi jika berhubung kait dengan nenek moyang yang bukan Islam sehingga membawa kepada berbangga-bangga.

Juga terlalu merasa rugi kerana tidak mendapat habuan duniawi yang termasuk dalam kategori berdukacita yang nabi pohon perlindungan daripadanya. Juga, meninjau-ninjau komen dan kritikan manusia ke atasnya sehingga melalaikannya dari risalah sebenar. Sedangkan dia tidak akan dipertanggung jawabkan terhadap kalam manusia!

Kedua-dua jenis ini ditambah dengan unsur ketiga merupakan jalan-jalan syaitan menguasai manusia. Ibnu Qaiyim mengulas, orang yang berakal mengetahui bahawa tiada jalan untuk syaitan menguasainya melainkan tiga sudut iaitu;

Pertama, berlebih-lebihan daripada kadar perlu yang merupakan pintu masuk syaitan ke dalam hati. Cara mengatasinya ialah mengelakkan nafsu dari menyempurnakan tuntutannya seperti makanan, tidur, keseronokan dan kerehatan. Bila anda tutup pintu ini, amanlah dari dicerobohi oleh musuh.

Kedua ialah lalai. Orang yang beringat sentiasa dalam benteng zikir. Apabila dia lalai, terbukalah pintu benteng dan dimasuki musuh sehingga susah untuk mengeluarkannya.

Ketiga, terlalu ambil berat perkara yang tiada kaitan dengannya dalam banyak urusan.

Tambah beliau, nabi SAW telah menghimpunkan warak dalam satu ayat iaitu, sebahagian dari keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya. Seruan ini adalah umum meliputi meninggalkan perkara yang tiada kaitan sama ada berbentuk kata-kata, pandangan, pendengaran, langkah, fikir, pergerakan zahir dan batin. Ayat ini cukup dan memadai untuk menjelaskan warak. (Madarijus salikin)

Oleh itu sewajarnya slogan ‘berdosa atau tidak berdosa’ tidak menjadi neraca tunggal kepada orang yang hendakkan kesempurnaan dalam melaku dan meninggalkan sesuatu. Keadaan ini menggambarkan kelemahan iman, bahkan yang lebih berjaya ialah dorongan beramal kerana untuk mendapat pahala dan mencapai keredhaan Allah, dan pendorong kepada meninggalkan maksiat bukanlah kerana berdosa semata-mata, sehingga beradalah dia dalam lingkungan ihsan, amat jauh dari lingkungan kezaliman.

All in one!


Alhamdulillah, pada hari Ahad 20 Disember lepas kami sekeluarga telah selamat mengadakan majlis kenduri di hadapan rumah. Dengan menu asasnya kari kambing, ayam masak merah dan rendang ayam kampung. Kira-kira 350 orang tetamu hadir memenuhi undangan kami; jiran setaman pelbagai bangsa, ahli keluarga dan saudara mara dari Klang (Jalan Kebun), Serting, Ayer Hitam dan Johol, jiran dan AJK surau dari Klang, rakan sekerja kami yang baru dan lama, ahli jamaah surau Al-Hidayah, Bandar Warisan Puteri dan beberapa orang sahabat seperjuangan dari ISMA. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang hadir, juga kepada yang tidak hadir tetapi mengirimkan doa serta ‘bekalan’.

Kenduri sempena apa?
Sejak kembali ke tanah air pada akhir 1994, inilah kali pertama kami mengadakan majlis kenduri begini! Tidak bermaksud kami tak bersyukur kerana tak pernah buat kenduri kesyukuran. Kerana syukur kepada Allah bukanlah ditunjukkan dengan kenduri sahaja, betul tak? Ada yang bertanya; kenduri apa ni ustaz? Kadang-kadang saya jawab aqiqah anak kelapan, Yasir. Ada yang saya jawab jamuan kesyukuran. Juga, kenduri masuk rumah baru. Tak kurang, sebab khatankan anak kelima, Wafi.

Besar ke kendurinya?
Memang kenduri pada hari tu nampak besar sedikit, sampaikan caterer saya Abang Azib dari Kg. Ujong Pasir yang saya peroleh nombornya dari Us. Hishamuddin mengulas; ramai jemputan Ustaz ni. Biasanya dalam pukul 2.30 petang dah habis. Tapi sampai 4.30 petang, masih ramai yang datang! Ada juga tetamu yang berkata; ini baru kenduri aqiqah, dah besar macam ni! Sampaikan ada yang ‘confuse’, ini kenduri aqiqah ke, atau kenduri kahwin ? Maka sayapun jelaskan, ini bukannya aqiqah sahaja, tapi sempena masuk rumah baru, sempena khatankan anak dan kesyukuran kerana selamat dari cubaan masuk rumah baru-baru ini. Dan terkini, sempena dapat bertukar dari Putrajaya ke tempat kerja yang lebih hampir dengan rumah, iaitu ke Sekolah Menengah Rendah Agama Rantau.

Tahlil dan doa selamat…
Jamuan bermula 12.00 tengah hari. Ada jiran yang hadir awal ternanti-nanti, bila nak mula! Maksudnya, bila nak mula tahlil dan doa selamat? Saya jelaskan, saya hanya jemput makan, tanpa tahlil dan doa selamat seperti lazimnya. Perkara ini saya jelaskan dalam undangan kepada jamaah di surau selepas menyampaikan kuliah subuh pagi Ahad tersebut. Jika saya buat tahlil dan doa selamat, nescaya yang hadir hanyalah kaum lelaki sahaja! Sedangkan tujuan saya bukanlah memberi makan sahaja, tetapi supaya dapat mengeratkan ukhuwah. Alhamdulillah, ramai juga yang datang membawa pasangan dan anak-anak. Dapatlah isteri saya berkenalan dengan mereka. Maklumlah orang lelaki dah selalu jumpa di surau!

Maka, bolehlah ditambah lagi, kenduri untuk mengeratkan ukhuwah Islamiah – ‘all in one’!

Subhanakallahumma wabihamdika…

Berat mata memandang…


Hampir setahun saya berulang dari rumah di Seremban ke pejabat di Putrajaya. Tidaklah jauh sangat, lebih kurang 60 kilometer sahaja! Bila ada peluang untuk berkhidmat di lokasi yang lebih dekat, sayapun memohon selepas mendapat restu dari pegawai-pegawai atasan. Dengar ceritanya surat untuk arahan pertukaran dah ada! Ikut pengalaman, selagi belum terima surat, tak boleh cerita lebih! Beberapa orang rakan sekerja di pejabat pernah meminta supaya saya mengkaji semula cadangan untuk berpindah dari Putrajaya ke Seremban. Antara alasan dan nasihat mereka supaya saya kekal di kementerian ialah kebolehan yang saya miliki (subhanallah), laluan kerjaya yang lebih cerah jika kekal di kementerian (insya Allah) dan saya juga sudah berjaya mengharungi perjalanan selama setahun (alhamdulillah)…

Teruskan membaca

Kuat dan amanah


Nabi Musa a.s. pernah membantu dua orang anak nabi Syuaib mengambil air di telaga. Maka salah seorang anak nabi Syuaib mencadangkan agar ayahnya mengambil nabi Musa bekerja bersama mereka kerana dia melihat Musa sebagai seorang yang kuat lagi amanah. “Wahai ayahku! Ambillah dia menjadi orang upahan kita, sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah!”- Surah al-Qasas ayat 26. Bila ditanya, bagaimana kamu mengetahui dia seorang yang kuat lagi amanah? Anaknya menjawab, dia mampu mengangkat penutup perigi dengan sebelah tangan sahaja, sedangkan biasanya lebih tujuh orang diperlukan untuk mengangkat! Dia juga memelihara pandangan dan bila jalan bersama dia menyuruh kami berjalan di belakangnya.

Antara dua pilihan

Jika anda diberi pilihan antara seorang yang alim atau warak dengan seorang lagi yang tidak alim tapi pandai merancang dan mengurus, siapakah yang akan anda pilih untuk menjadi ketua? Ada seorang yang bijak berbicara tentang ikhlas, amanah dan tanggung jawab dunia dan akhirat. Bukan setakat itu sahaja, dia memang benar-benar ikhlas lagi amanah. Ada seorang lagi yang pandai menghuraikan teori-teori perancangan dan pengurusan seperti PODC, PDCA, SWOT, SMART dll. dan berjaya membuktikannya. Soalan yang serupa; siapakah yang akan anda pilih untuk menerajui organisasi yang anda anggotai atau melaksanakan sesuatu tugas?

Jawapannya… bergantung kepada nisbah kekuatan dan amanah yang diperlukan untuk menanggung tugasan tersebut.

Dua kategori

Antara perkara yang boleh dikategorikan sebagai kekuatan ialah tubuh badan yang sihat lagi bertenaga, ilmu dan kemahiran berkaitan tugas, rajin bersemangat lagi berani menjayakan tugas, mudah berinteraksi dan mempengaruhi orang lain dsb. Manakala amanah pula ditunjukkan oleh sifat-sifat jujur, ikhlas, boleh dipercayai, benar dalam kata-kata dan tindakan, penyabar, sopan santun dsb.

Adalah suatu yang ideal jika kita menemui seseorang yang terhimpun padanya ciri-ciri kuat dan amanah ini. Kerana ia selari dengan saranan ayat yang menjadi rujukan tadi. Dan memang terbukti sepanjang zaman, orang yang memiliki dua syarat ini sahaja yang layak diserahkan kepadanya sesuatu urusan. Jika tidak ditemui, maka timbangkanlah adakah urusan itu lebih memerlukan kekuatan atau amanah.

Sebagai contoh

Contohnya sifat amanah lebih utama bagi jawatan bendahari berbanding kemahiran membuat kunci kira-kira, ilmu dan kefahaman syarie lebih utama bagi seorang imam berbanding kemahiran mengendalikan laman web, kemahiran merancang dan mengurus lebih diperlukan bagi seorang pengerusi berbanding sifat sabar, rajin dan cekap bekerja lebih diperlukan untuk jawatan siak berbanding dengan banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran dan begitulah seterusnya. Maka kita perlu bijak meletakkan nisbah keperluan tersebut agar pilihan tepat dan orang yang lebih layak sahaja dipilih.

Situasi sekarang

Memandangkan sukar menemui individu yang terkumpul padanya kuat dan amanah ini, maka saling lengkap melengkapi dan kuat menguatkan adalah amat perlu. Yang kurang kita tampung, yang lebih kita tumpang! (Betul ke ungkapan saya ni?) Golongan muda yang bersemangat perlu berganding dengan golongan veteran yang selalunya lebih berhikmah, para alim ulamak perlu bergabung dengan golongan teknokrat, kelompok yang ada kekuatan fizikal perlu menyumbang tenaga menjayakan idea-idea bernas yang dihasilkan para pemikir… Andaikata semua pihak ikhlas untuk menyumbang dan beramal, insya Allah akan ada jalan keluar.

Tapi, alangkah indahnya kalau orang itu memang seorang yang kuat lagi amanah!

Wallahu a’lam.

Cubaan pecah masuk


Sabtu, 5 Disember rumah saya cuba dimasuki pencuri pada pukul 4.15 pagi. Ketika itu saya baru saja menyelesaikan ‘hutang baca al-Quran’ harian. Bunyi yang mencurigakan dari dapur memaksa saya untuk memeriksa. Ternyata kaca panel tingkap dapur saya pecah, ada kesan umpilan dan ada kesan orang melarikan diri ke rumah sebelah yang belum didiami. Isteri saya sendiri nampak ada kelibat orang menuju ke rumah sebelah. Sah, ada orang cuba memasuki rumah saya secara paksa dan pastinya dengan tujuan jahat!

Berbekalkan lampu suluh dan sebatang kayu saya memberanikan diri meninjau sekitar rumah, tak nampak sesiapa. Pukul 4.45 saya ke pondok jaga untuk melaporkan kejadian. Dua orang jaga datang memeriksa rumah saya dan rumah sebelah, pun tiada apa-apa ditemui. Saya mengucapkan terima kasih sebelum mereka beredar untuk memeriksa lorong sebelah pula. Tidak lama kemudian sebuah kereta peronda polis tiba diiringi seorang jaga dan bertanya, adakah saya ada menelefon polis? Sebenarnya yang membuat panggilan itu ialah jiran lorong sebelah, En. Zakri rumah nombor 684! Sayapun ke sana. Masya Allah! Rupa-rupanya mereka telah dirompak oleh tiga orang lelaki bersenjatakan parang kira-kira jam 4.40 pagi! Barang-barang kemas dan berharga telah diambil dengan nilai puluhan ribu ringgit. Bilangan penyamun dan cara operasinya mengingatkan saya kepada Abang Halim (PhD) yang rumahnya hanya selang dua lorong, turut dirompak dua bulan lepas. Pegawai polis tersebut mengambil tindakan sewajarnya dan saya sendiri pulang ke rumah untuk bersiap ke surau, solat subuh berjamaah. Lepas solat saya sempat menghantar mesej kepada beberapa orang jiran. Dan selepas mendengar kuliah subuh yang disampaikan oleh tuan imam, Ustaz Kamal saya ambil peluang memaklumkan para jamaah tentang dua peristiwa berkenaan untuk iktibar bersama.

Sepanjang pagi itu banyak jiran dan rakan setaman datang menziarahi saya dan rumah kedua. Tidak kurang juga yang menelefon untuk bertanya khabar. Istimewanya, Abang Halim yang sedang mengubah suai rumah, turut menawarkan jeriji rumahnya kepada saya! Saya juga menghubungi kembali En. Norhisham ADT untuk berbincang tentang pemasangan sistem penggera keselataman. 2.30 petang kami sekeluarga bertolak ke FELDA Raja Alias 1 untuk memenuhi undangan walimatul urs Nurul Shafeeza, salah seorang pengasuh anak-anak kami di Taska Mahligai Kasih. Juga menziarahi emak saya yang rumahnya tidak jauh dari rumah pengantin. Saya jadualkan untuk bertolak selepas Isyak hari Jumaat supaya dapat lama di rumah emak, kemudian ditangguhkan ke pagi Sabtu. Tapi takdir Allah mengatasi segala-galanya!

Hikmah dan pengajaran.

1. Tindakan pencegahan

Sediakan payung sebelum hujan. Dah terantuk baru nak terngadah. Dah kena pecah tingkap, baru nak pasang sistem penggera! Alhamdulillah, syukur tiada sebarang kerugian selain cermin yang pecah, cuma perlu diganti. Insya Allah, esok pasang ADT. Biarlah belanja lebih sikit, tapi hati lebih tenteram.

2. Semangat kejiranan

En. Norhisham begitu kagum dengan semangat kejiranan dan keprihatinan jiran-jiran. Ini terbukti dengan bilangan yang datang menziarah dan menelefon bertanya khabar.

3. Bidang tugas jaga

Jaga telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Tak mungkin untuk mereka meronda semua rumah setiap ketika. Kalau dibuatpun, tak akan dapat membendung kejadian sepenuhnya, sebab perompak tu jenis terlatih juga!

4. Ujian dan bantuan Allah Taala

Ini adalah ujian Allah ke atas kami sekeluarga. Juga ingatan Allah supaya ambil langkah pembetulan. Mungkin ini salah satu bentuk bantuan Allah kepada saya yang perlu saya syukuri. Jangan lupa, ada orang yang lebih besar ujiannya dari kita!

Moga Allah pelihara kita dari sebarang musibah di dunia dan akhirat…

Wassalam.

Aktiviti cuti sekolah


Cuti sekolah telah berlalu lebih seminggu. Saya bercadang menghantar anak saya ke Kem Remaja Muslim anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 12-14 Disember di Kompleks Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson. Berdasarkan pengalaman lepas, memang berbaloi menghantar anak ke kem anjuran KRIM. Kalau tuan-tuan belum merancang pengisian anak-anak, cuba yang ini. Boleh juga anak-anak kita berkenalan di sana nanti… Wassalam.

%d bloggers like this: