Cubaan pecah masuk

Sabtu, 5 Disember rumah saya cuba dimasuki pencuri pada pukul 4.15 pagi. Ketika itu saya baru saja menyelesaikan ‘hutang baca al-Quran’ harian. Bunyi yang mencurigakan dari dapur memaksa saya untuk memeriksa. Ternyata kaca panel tingkap dapur saya pecah, ada kesan umpilan dan ada kesan orang melarikan diri ke rumah sebelah yang belum didiami. Isteri saya sendiri nampak ada kelibat orang menuju ke rumah sebelah. Sah, ada orang cuba memasuki rumah saya secara paksa dan pastinya dengan tujuan jahat!

Berbekalkan lampu suluh dan sebatang kayu saya memberanikan diri meninjau sekitar rumah, tak nampak sesiapa. Pukul 4.45 saya ke pondok jaga untuk melaporkan kejadian. Dua orang jaga datang memeriksa rumah saya dan rumah sebelah, pun tiada apa-apa ditemui. Saya mengucapkan terima kasih sebelum mereka beredar untuk memeriksa lorong sebelah pula. Tidak lama kemudian sebuah kereta peronda polis tiba diiringi seorang jaga dan bertanya, adakah saya ada menelefon polis? Sebenarnya yang membuat panggilan itu ialah jiran lorong sebelah, En. Zakri rumah nombor 684! Sayapun ke sana. Masya Allah! Rupa-rupanya mereka telah dirompak oleh tiga orang lelaki bersenjatakan parang kira-kira jam 4.40 pagi! Barang-barang kemas dan berharga telah diambil dengan nilai puluhan ribu ringgit. Bilangan penyamun dan cara operasinya mengingatkan saya kepada Abang Halim (PhD) yang rumahnya hanya selang dua lorong, turut dirompak dua bulan lepas. Pegawai polis tersebut mengambil tindakan sewajarnya dan saya sendiri pulang ke rumah untuk bersiap ke surau, solat subuh berjamaah. Lepas solat saya sempat menghantar mesej kepada beberapa orang jiran. Dan selepas mendengar kuliah subuh yang disampaikan oleh tuan imam, Ustaz Kamal saya ambil peluang memaklumkan para jamaah tentang dua peristiwa berkenaan untuk iktibar bersama.

Sepanjang pagi itu banyak jiran dan rakan setaman datang menziarahi saya dan rumah kedua. Tidak kurang juga yang menelefon untuk bertanya khabar. Istimewanya, Abang Halim yang sedang mengubah suai rumah, turut menawarkan jeriji rumahnya kepada saya! Saya juga menghubungi kembali En. Norhisham ADT untuk berbincang tentang pemasangan sistem penggera keselataman. 2.30 petang kami sekeluarga bertolak ke FELDA Raja Alias 1 untuk memenuhi undangan walimatul urs Nurul Shafeeza, salah seorang pengasuh anak-anak kami di Taska Mahligai Kasih. Juga menziarahi emak saya yang rumahnya tidak jauh dari rumah pengantin. Saya jadualkan untuk bertolak selepas Isyak hari Jumaat supaya dapat lama di rumah emak, kemudian ditangguhkan ke pagi Sabtu. Tapi takdir Allah mengatasi segala-galanya!

Hikmah dan pengajaran.

1. Tindakan pencegahan

Sediakan payung sebelum hujan. Dah terantuk baru nak terngadah. Dah kena pecah tingkap, baru nak pasang sistem penggera! Alhamdulillah, syukur tiada sebarang kerugian selain cermin yang pecah, cuma perlu diganti. Insya Allah, esok pasang ADT. Biarlah belanja lebih sikit, tapi hati lebih tenteram.

2. Semangat kejiranan

En. Norhisham begitu kagum dengan semangat kejiranan dan keprihatinan jiran-jiran. Ini terbukti dengan bilangan yang datang menziarah dan menelefon bertanya khabar.

3. Bidang tugas jaga

Jaga telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Tak mungkin untuk mereka meronda semua rumah setiap ketika. Kalau dibuatpun, tak akan dapat membendung kejadian sepenuhnya, sebab perompak tu jenis terlatih juga!

4. Ujian dan bantuan Allah Taala

Ini adalah ujian Allah ke atas kami sekeluarga. Juga ingatan Allah supaya ambil langkah pembetulan. Mungkin ini salah satu bentuk bantuan Allah kepada saya yang perlu saya syukuri. Jangan lupa, ada orang yang lebih besar ujiannya dari kita!

Moga Allah pelihara kita dari sebarang musibah di dunia dan akhirat…

Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: