Antara Keelokan Islam Seseorang (02)

Apakah perkara yang tiada kaitan dengan anda?

Sabda nabi, apa yang tiada kaitan dengannya bermaksud perkara yang tidak penting untuknya, tidak memberi faedah di dunia dan akhirat. Perkara yang berkaitan dengan seseorang adalah apa yang dia perlu beri perhatian, menjadi matlamat dan tuntutan hidupnya.

Sewajarnya setiap orang mengambil berat perkara yang boleh menyelamat dan membawa kesejahteraan hidupnya, mendatangkan kebaikan dan menjauhkannya dari kejahatan di akhirat. Juga mengambil berat perkara yang boleh mendatangkan kebaikan dan menjauhkan dari keburukan di dunia, kerana kebaikan di dunianya adalah wasilah untuk kebaikan di akhirat. Inilah seruan nabi SAW, cari dan  peliharalah perkara yang memberi manfaat kepada kamu (riwayat Muslim). Juga arahan Allah, wahai orang-orang beriman peliharalah diri kamu dari melakukan kejahatan (al-maidah: 105), iaitu melazimi dan memperelokkannya.

Selain daripada itu, tidaklah berkaitan dan penting dengan kita, merangkumi semua aktiviti manusia. Seperti kata-kata dan perbuatan yang tidak mendatangkan kebaikan atau menjauhkan kejahatan. Juga perkara haram, syubhat dan makruh serta berlebihan dalam perkara harus yang tidak diperlukan, semuanya merupakan cubaan syaitan untuk menyesatkan manusia secara beransur-ansur dari yang berat kepada yang lebih ringan.

Dua jenis perkara yang tiada kaitan

Jenis Pertama: Perkara yang asalnya tiada kena mengena dengan kita seperti hal ehwal orang lain, cara hidup mereka, pendapatan mereka dan perincian masalah ahli keluarga mereka. Juga sibuk dengan kisah dan peristiwa yang tiada matlamat yang jelas.

Nabi pernah melarang perkara ini seperti diriwayatkan oleh Muslim sabda baginda, Sesungguhnya Allah redha untuk kamu tiga perkara dan benci tiga perkara. Dia redha  supaya kamu menyembahnya dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu, berpegang dengan tali Allah dan jangan berpecah. Dia benci kata mengata, banyak soal dan mensia-siakan harta. Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan, kata mengata ialah membincangkan cerita, keadaan dan tingkahlaku orang lain yang tiada kaitan. Tentang banyak soal pula, imam Nawawi mengulas;  Jika dikatakan mungkin maksudnya ialah banyak bertanya tentang kisah manusia dan perkara yang tiada kaitan, maka pendapat ini adalah lemah kerana memang telah ada larangan kata mengata. Mungkin maksudnya ialah banyak soal tentang perincian hal ehwal orang lain, maka termasuklah dalam kategori bertanya perkara yang tiada kaitan sehingga mendatangkan rasa kurang selesa ke atas orang yang ditanya. Iaitu kalau dia menjawab mendatangkan masalah, kalau mendustakan juga akan bermasalah dan jika dibiarkan tanpa jawapan nampak kurang beradab!

Jika beginilah keadaan bertanyakan hal ehwal manusia, maka bagaimana pula halnya perbuatan mengintip-intip hal orang lain, mencari-cari keaiban dan kesalahannya, menyebarkan kepada orang lain dengan tujuan jahat dan memanjangkan kata-kata mereka untuk kerosakan? Sedangkan Allah telah berfirman, janganlah kamu mengintip-intip (al-Hujurat:12) dan sabda nabi, wahai sekalian manusia yang telah Islam dengan lidahnya tetapi iman belum menusuk hati mereka. janganlah kamu menyakiti orang-orang Islam, janganlah kamu mengaibkan mereka, jangan mencari-cari aib mereka. Sesiapa mencari-cari aib saudara seIslamnya, Allah akan mencari aibnya. Sesiapa yang Allah cari aibnya, akan dimalukan walaupun dia di dalam perut kenderaannya! (Tirmizi)

Antara contoh menyibukkan diri dengan perkara yang tiada kaitan ialah membahagikan manusia kepada kelompok, kumpulan dan jamaah.. tidak kira memang itu realiti mereka atau tidak. Dan terlalu mementingkan untuk menjatuhkan satu hukuman ke atas orang lain tanpa sebarang perincian, apatah lagi ia bercampur baur dengan umpatan, penghinaan, mencari-cari kelemahan dan meragui niat orang lain. Perkara ini amat jauh dari manhaj salafus soleh.  Ditambah pula dengan prasangka yang menyalakan api fitnah dan menyemarakkan perpecahan dalam kalangan muslimin.

Pasti sekali jawapannya ialah berhenti, menginsafi, mengakui kebenaran orang lain, mengasihi mereka sekadar yang layak, kemudian berusaha menasihati secara ikhlas dengan meraikan adab-adab yang disyariatkan serta berdoa moga Allah perbaiki keadaan mereka dan agar ummah ini bersatu di atas kebenaran. Inilah sebenarnya manhaj para salaf.

Antara urusan orang lain yang tidak perlu ditanya ialah ibadat mereka dengan Allah yang disembunyikan, kerana boleh membawa kepada riya’, berdusta, menghina, meletihkannya mencari helah.. atau sekurang-kurangnya soalan seperti ini boleh mangakibatkan ibadatnya terserlah sehingga kuranglah ganjaran berbeza ibadat secara sembunyi.

Begitu juga jangan bertanya tentang maksiat mereka dan perkara yang mereka malu untuk sebut, kerana menyembunyikan maksiat adalah murni sedangkan memperlihatkan maksiat adalah maksiat yang menjauhkan dari kesejahteraan.

Termasuk dalam tiada kaitan juga ialah bertanyakan kebaikan yang mereka tidak suka zahirkan kepada orang ramai mungkin bimbangkan hasad dengki contohnya. Seperti kecerdikan anak-anaknya atau perincian masalah yang mereka hadapi tetapi tidak mahu diketahui orang lain.

Jenis Kedua: Perkara yang memang pada asalnya berkaitan keperluan manusia hidup seperti makanan, mimpi, perkahwinan, percakapan, pergaulan, penglihatan dan semua pergerakan. Adapun yang tiada kaitan ialah melebihi kadar yang diperlukan dalam perkara disebutkan tadi atau dikenali sebagai berlebih-lebihan dalam perkara harus.

Antara contohnya ialah menceritakan tentang perempuan dan hubungan jenis yang tidak mendatangkan faedah dan tidak diperlukan. Ini termasuk dalam perkara sia-sia yang diperintah menjauhinya.

Juga terlalu mendalami nasab keturunan lebih dari keperluan mengetahui hubungan kekeluargaan. Apatah lagi jika berhubung kait dengan nenek moyang yang bukan Islam sehingga membawa kepada berbangga-bangga.

Juga terlalu merasa rugi kerana tidak mendapat habuan duniawi yang termasuk dalam kategori berdukacita yang nabi pohon perlindungan daripadanya. Juga, meninjau-ninjau komen dan kritikan manusia ke atasnya sehingga melalaikannya dari risalah sebenar. Sedangkan dia tidak akan dipertanggung jawabkan terhadap kalam manusia!

Kedua-dua jenis ini ditambah dengan unsur ketiga merupakan jalan-jalan syaitan menguasai manusia. Ibnu Qaiyim mengulas, orang yang berakal mengetahui bahawa tiada jalan untuk syaitan menguasainya melainkan tiga sudut iaitu;

Pertama, berlebih-lebihan daripada kadar perlu yang merupakan pintu masuk syaitan ke dalam hati. Cara mengatasinya ialah mengelakkan nafsu dari menyempurnakan tuntutannya seperti makanan, tidur, keseronokan dan kerehatan. Bila anda tutup pintu ini, amanlah dari dicerobohi oleh musuh.

Kedua ialah lalai. Orang yang beringat sentiasa dalam benteng zikir. Apabila dia lalai, terbukalah pintu benteng dan dimasuki musuh sehingga susah untuk mengeluarkannya.

Ketiga, terlalu ambil berat perkara yang tiada kaitan dengannya dalam banyak urusan.

Tambah beliau, nabi SAW telah menghimpunkan warak dalam satu ayat iaitu, sebahagian dari keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya. Seruan ini adalah umum meliputi meninggalkan perkara yang tiada kaitan sama ada berbentuk kata-kata, pandangan, pendengaran, langkah, fikir, pergerakan zahir dan batin. Ayat ini cukup dan memadai untuk menjelaskan warak. (Madarijus salikin)

Oleh itu sewajarnya slogan ‘berdosa atau tidak berdosa’ tidak menjadi neraca tunggal kepada orang yang hendakkan kesempurnaan dalam melaku dan meninggalkan sesuatu. Keadaan ini menggambarkan kelemahan iman, bahkan yang lebih berjaya ialah dorongan beramal kerana untuk mendapat pahala dan mencapai keredhaan Allah, dan pendorong kepada meninggalkan maksiat bukanlah kerana berdosa semata-mata, sehingga beradalah dia dalam lingkungan ihsan, amat jauh dari lingkungan kezaliman.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: