Birrul walidaini

‘Birrul walidaini’ – Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

1. Maksud ‘birrul walidaini’.

Kamus al-Wajiz: barra walidaihi bermaksud sangat berlaku ihsan kepada keduanya dan menyambung hubungan dengan mereka

2. Kelebihan birrul walidaini

Sabda nabi SAW: Seseorang anak tidak akan sekali-kali dapat membalas bapanya sekalipun dia mendapati bapanya menjadi hamba, lantas dibeli dan dibebaskannya. (Muslim)

Seorang pemuda bertemu Rasulullah dan berkata, aku amat inginkan pergi berjihad tapi tidak mampu. Nabi bertanya, adakah salah seorang dari ibu bapa mu masih hidup? Jawabnya, ibuku. Sabda nabi, temuilah Allah dengan berbuat baik kepada ibumu. Apabila engkau berbuat demikian maka engkau memperolehi ganjaran haji, umrah dan jihad.

Datang seorang pemuda lain bertemu nabi berbincang  untuk berperang. Nabi bertanya, adakah ibumu masih ada? Jawabnya, ya. Sabda nabi, tinggallah bersamanya kerana syurga terletak di kedua kakinya.

Imam Muslim meriwayatkan dari nabi SAW: Amat menyesallah! Amat menyesallah! Amat menyesallah! Nabi ditanya, siapa wahai Rasulullah? Jawab baginda, orang yang sempat bersama kedua ibu bapanya ketika dewasa, atau salah seorang daripadanya kemudian tidak dapat masuk syurga. Nabi menggambarkan keadaan anak yang terlepas peluang untuk berkhidmat kepada kedua ibu bapanya sebagai amat menyesal.

Birrul walidaini termasuk dalam amal soleh yang boleh melepaskan seseorang dari bencana apabila dia melakukannya secara ikhlas. Ini dibuktikan oleh hadis batu besar yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

3. Hak kedua ibu bapa ke atas anak-anak (Kewajipan anak-anak)

Firman Allah,  Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).  Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.  (Al-isra’:23-24)

Saiyid Qutb menafsirkan; Dengan ibarat ini al-quran menanamkan perasaan birr dan rahmah dalam hati anak-anak. Kerana biasanya hidup ini akan sentiasa memandang ke hadapan, keturunan dan generasi akan datang.  Jarang sekali memandang ke belakang, kepada kebapaan, hidup yang berlalu dan generasi yang telah pergi…

Secara semula jadi kedua ibu bapa terdorong untuk memelihara anak-anak dan sanggup berkorban demi mereka. Sebagaimana tumbuhan hijau menyedut makanan dari biji benih sehingga hancur, ayam menyedut makanan dari telur sehingga tinggal kulit, begitu juga anak-anak menyedut segala daya usaha kedua ibu bapa sehingga mereka menjadi tua, namun demikian mereka tetap bahagia! Adapun anak-anak mudah sangat lupa semua ini dan terus melonjak ke hadapan, tentang isteri, anak-anak.. begitulah berlalunya hidup.

… dari sini datang arahan berbuat ihsan kepada dua ibu bapa yang membawa makna wajib.

4. Berkenalan dengan beberapa contoh yang menjelaskan bahawa birrul walidaini adalah dituntut dalam semua keadaan

meskipun mereka musyrikin: Asma’ binti Abu Bakar didatangi oleh ibunya yang masih musrik. Maka dia bertanya kepada Rasulullah, bolehkah dia menyambung perhubungan dengan ibunya yang benci kepada Islam itu? Jawab nabi, boleh. Dalam satu riwayat, maka Allah turunkan ayat; Allah tidak menghalang kamu untuk berbuat baik kepada orang yang tidak memerang kamu kerana Agama. (Muslim, Abu Daud)

meskipun ibu bapa susuan: Pernah suatu hari nabi sedang duduk, datang bapa susuannya maka nabi bentangkan bajunya dan dudukkan atas baju tersebut. Kemudian datang pula ibu susuannya, didudukkan di sebelah lagi. Kemudian datang pula saudara sesusunya, maka nabi bangun dan dudukkannya di antara kedua ibu dan bapa susuannya. (Abu Daud)

meskipun mereka sudah meninggal; wahai Rasulullah! Masih bolehkah aku berbuat baik kepada kedua ibu bapaku selepas kematian mereka? Ya. Berdoa untuk mereka, istighfar, laksanakan janji, hubungkan persaudaraan, muliakan rakan-rakan mereka.

Beberapa aktiviti untuk diamalkan

  1. Membantu mereka dengan  kerja-kerja di rumah
  2. Berterusan memenuhi keperluan mereka
  3. Susun lawatan berkala
  4. Berkomunikasi dengan mereka
  5. Doa harian untuk mereka dan minta mereka doakan kita
  6. Peruntukan bantuan kewangan yang munasabah
  7. Elak sebarkan kisah peribadi mereka
  8. Teruskan hubungan selepas kematian mereka

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: