Isti’jal (tergesa-gesa)

Bismillah… Walhamdulillah…

Saya rakamkan terima kasih kepada Ustaz Kamal yang dapat menggantikan slot kuliah maghrib saya Jumaat lepas (5 Februari). Saya terpaksa mohon beliau gantikan kerana perlu ke program lain bagi membentangkan satu tajuk, iaitu الاستعجال al-isti’jal iaitu tergesa-gesa. Berikut antara beberapa point dibentang untuk dikongsi sama.

Isti’jal, satu penyakit yang menimpa umat Islam sama ada individu ataupun jamaah, iaitu mahukan perubahan segera tanpa mengambil kira akibat, keadaan mahupun latar belakang dan tanpa membuat persiapan yang baik dari segi sumber, uslub dan wasilah. (Takrif ini kalau disyarahkan boleh menjawab pelbagai masalah individu dan jamaah.)

Isti’jal memang tabiat manusia. Semasa nabi Adam dicipta dan diditupkan ruhnya, baginda terus bangun sebelum sempurna peniuapan ruh tersebut! Tanda awal bahawa jenis manusia memang suka tergesa-gesa! Allah sendiri perkukan; خلق الإنسان من عجل (Al-Anbiya’: 37) bermaksud; Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru  pada serba-serbinya…

Dalam sirah di Makkah, masyhur kalam nabi SAW kepada Khabbab bin Al-Art apabila beliau meminta nabi berdoa agar dilepaskan umat Islam dari kezaliman Arab Quraisy. Tapi nabi menjelaskan bahawa umat terdahulu diuji lebih dahsyat lagi sehingga ada yang dibelah dengan gergaji tetapi tetap sabar dan nabi akhiri dengan kalamnya ولكنكم تستعجلون maksudnya, tetapi kamu semua tergesa-gesa!

Tanda-tanda isti’jal.

1.Menggabungkan individu dalam qafilah dakwah sebelum tauthiq, kenal pasti bakat, kemampuan dan persediaannya. Amal menegakkan Islam tidak boleh dibuat secara borong. Perlu kepada penelitian dan memastikan hanya anasir soleh yang boleh ditarbiah sahaja dibawa bersama. Juga kena ambil kira kekuatan untuk mendidik anasir yang telah dipilih tadi. Jangan sampai kita terpedaya dengan bilangan pengikut yang ramai, tapi mereka tidak boleh menghayati perjuangan Islam yang sebenarnya.

2.Meningkatkan daie ke peringkat lebih tinggi sebelum sampai masanya. Dengan alasan supaya orang tadi cepat meningkat, lebih faham dan produktif untuk dakwah dan jamaah. Sebenarnya ini satu kezaliman, kerana meletakkan seseorang bukan pada tempatnya dan dalam keadaan dia belum bersedia lagi.

3.Melakukan tingkahlaku yang memudharat dan tidak bermanfaat kepada dakwah. Perkara ini biasa berlaku kepada orang yang tiada disiplin amal jamaie atau memang tidak boleh didisiplinkan. Lebih malang lagi apabila tindakan yang dibuatnya mendatangkan mudharat kepada dakwah dan memundurkannya puluhan tahun ke belakang.

Kesan-kesan isti’jal

1.Membawa kepada futur. Futur bermaksud kembali lemah selepas aktif! Boleh jadi seseorang itu asalnya amat aktif dalam amal dan dakwah tetapi sekarang dah malas dan melengah-lengahkan amal, tak aktif lagi. Juga boleh jadi lebih teruk dari itu, langsung berhenti dari amal dan dakwah. Lihatlah keliling kita, sahabt seperjuangan semasa di kolej atau universiti dulu, sama-sama aktif. Tapi bila dah berkahwin dan berkerjaya, tidak sehebat  atau selantang dulu, bahkan ada yang senyap tak buat apa-apa, tidak kurang juga yang aktif tapi hanyut bersama pihak yang ditentang dulu!

2.Membantutkan amal, atau memundurkannya puluhan tahun ke belakang. Bayangkan kalau semua orang mengambil langkah drastik dan agresif atas nama amar makruf, nahi mungkar. Kemudian semua yang agresif tadi disumbatkan dalam penjara, siapa lagi yang akan meneruskan perjuangan mereka? Ini merujuk kepada tidak mengambil kira akibat dari amal yang dilakukan. Sebab itu selain dari perlu mengenali mungkar, perlu juga tahu uslub untuk mengubahnya. Faktor masa perlu diambil kira. Sebab itu pada zaman Makkah, nabi tidak mewujudkan sebarang konfrontasi dengan Arab jahiliah. Selepas berhijrah dan mendapat sokongan ansar dan muhajirin, barulah berlaku.

Sebab-sebab Isti’jal

1. Dorongan hawa nafsu dan semangat yang tidak dikawal. Iman kita naik dan turun. Masa iman naik, seseorang itu akan bersemangat untuk beramal dan mencegah kemungkaran.  Tapi jika tidak dikawal dan terburu-buru, pastinya musibah yang menimpa. Contoh terdekat ialah membakar gereja dalam isu Kalimah Allah. Ada orang akan terbakar semangatnya…

2. Kurang merujuk kepada sirah nabawiyah, sunnah Allah dan perjalanan dakwah para dua’t. Sunnah Allah terhadap alam; Allah sendiri menegaskan bahawa alam ini dicipta dalam masa enam hari. Bukan dengan sekelip mata, biarpun Allah mampu dengan kun fayakun. Sunnah Allah dalam pensyariatan; Arak diharamkan secara berperingkat. Bukan sekali gus. Para qudama’ (veteran) dalam amal dakwah pun mengambil masa yang lama, keluar masuk penjara, tapi tetap thabat sampai akhir hayat kerana memahami bahaya isti’jal. Maka pengalaman orang lain dan jamaah lain perlu diambil kira supaya kita tidak mengulangi kesalahan yang sama. Semangat golongan muda perlu diimbangi dengan hikmah para qudama’.

3. Tidak tahan dengan cabaran dan beban dakwah, juga mahukan hasil yang cepat. Perlu ingat, kita tidak dipertanggung jawabkan kepada hasil atau natijah.  Tapi kita akan disoal terhadap apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan kalimah Allah. Kita mesti berusaha, kemudian serahkan kepada Allah. Mengapa nabi tidak berdoa sahaja ketika diminta oleh Khabbab? Sedangkan doa baginda mustajab. Jawapannya, nabi nak ajar kita bahawa kemenangan Agama ini perlu dengan tangan manusia sendiri, bukan dengan Kun Fayakun!

Pesanan Hasan Al-Banna

Sebagai pemimpin kepada gerakan Islam masa kini yang menjadi rujukan pelbagai pihak, mari kita telusuri kata-kata Hasan Al-Banna ini;

“Wahai kaum muslimin, khasnya yang bersemangat dan tergesa-gesa! … Sesungguhnya jalan dakwah kamu ini, langkah-langkahnya telah disusun, sempadannya telah ditentukan, aku tidak akan menyanggahi sempadan yang aku amat yakin sebagai lebih selamat untuk sampai kepada matlamat. Memang jalannya panjang, tapi tiada jalan lain selain daripadanya… Siapa dari kalangan kamu hendak memetik buah sebelum masaknya… aku tidak bersamanya. Lebih baik dia mencari jalan dakwah yang lain. Siapa yang bersabar dengan aku sehingga benihnya bercambah, pokoknya tumbuh dan buahnya elok sampai masa untuk dipetik, maka ganjarannya di sisi Allah, kita sama-sama akan mengecapai ganjaran para muhsinin: sama ada mendapat kemenangan atau kepiminan, dan sama ada mendapat syahadah atau sa’adah.”

Perlu difahami, kalau semua persiapan dan sumber dah sempurna, kajian sebab dan akibat telah dibuat, maka jangan bertangguh lagi. Teruskan amal, itu bukan isti’jal…

Wallahu a’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: