Jahat sangat ke saya?

Bismillah, walhamdulillah.

Pernah seorang rakan sekerja menceritakan pengalamannya menghadiri kursus kefahaman atau kesedaran Islam yang popular, dengan bayaran lebih RM1k seorang, lengkap dengan audio visual yang canggih macam konsert! Persembahannya amat menarik sehingga hampir semua yang hadir terkesan dan menitiskan air mata. Kecuali, rakan saya tadi. Maka diapun bertanya; Jahat sangat ke saya ni ustaz? Sebab tidak menangis semasa kursus tersebut, sedangkan orang lain menangis dan meraung!

Lain padang, lain belalang.

Lain orang lain perangainya dan lain cara untuk menanganinya. Umpama ubat. Kita mungkin pernah bertemu dengan pesakit kencing manis, contohnya. Maka kita sarankan supaya dia makan ubat ini atau produk itu. Tapi dia jawab; Dah macam-macam jenis ubat dan produk saya makan, tapi tak berkurang! Sedangkan kita tahu, produk yang sama telah berjaya menyembuhkan ramai orang. Mafhumnya, ubat itu tidak serasi dengan dia, tapi serasi dengan orang lain.

Sama juga halnya dengan ceramah tadi yang tidak memberi kesan kepada rakan saya. Adakah ini bermakna dia teruk sangat dan keras hati? Tidak. Sebab, mungkin cara itu tidak serasi dengan dirinya. Maka para pendakwah harus mempelbagaikan kaedah dakwahnya supaya memberi kesan sesuai dengan latar belakang masyarakat yang pelbagai.

Pesanan kepada para pendakwah

Jangan pula kita cepat menuduh, seterusnya kecewa apabila seruan kita tidak diterima. Apakah kita telah guna semua kaedah yang boleh menyentuh hatinya? Kalau belum, jangan cepat menghukum orang, hukum dulu kekurangan diri sendiri. Kalau sudah pelbagai kaedah diguna, tapi tak berjaya;

a. Terimalah hakikat bahawa tugas kita hanyalah mengajak orang kepada kebaikan, serahkan hasilnya kepada Allah. At least, kita dah tunaikan kewajipan. Ingat, para nabipun, tidak semua orang menerima dakwah mereka. Apatah lagi kita…

b. Di luar sana ramai lagi orang lain yang kita belum sampaikan dakwah kepada mereka. Kenapa nak fokus sangat dan ‘belasah’ orang yang belum dapat hidayah tu!

Pilih sesuatu untuk anda

Begitu juga dengan amal menghampirkan diri kepada Allah (yang sunat), tidak harus disamakan seseorang dengan orang lain. Perlu dilihat siapa dan apa yang sesuai untuknya. Sehinggakan ada tajuk khas ditulis oleh Imam Al-Ghazali iaitu pelbagai amal untuk pelbagai orang. Kita mungkin salah satu dari kategori ini;

1. Seorang a’bid. Orang yang langsung tidak bekerja dan sibuk dengan ibadat. Maka pastilah semua amal dan wirid dilakukannya.

2. Orang alim. Perlu banyak merujuk kitab dan menulis serta memberi manfaat ilmu kepada orang lain.

3. Seorang pelajar. Lebih afdhal menyibukkan diri dengan mencari ilmu dan membuat kajian.

4. Seorang pemerintah. Berusaha memenuhi hajat dan keperluan rakyat, kerana manfaatnya meliputi semua orang.

5. Orang berkerjaya. Teruskan bekerja sambil berzikir.

6. Orang yang tenggelam dengan kasih Allah. Sentiasa hadirkan diri bersama Allah.

Yang penting, setiap orang daripada kita mesti ada amal yang dia istiqamah atasnya biarpun sedikit.

“Ya Allah! Bantulah kami…”

Wallahu a’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: