Jalan Ke Syurga: Buat yang wajib, tinggal yang haram.

Hadis 22

عن أبي عبد الله جابر بن عبد الله الأنصاري رضي الله عنهما، أن رجلا سأل رسول الله
فقال: أرأیت إذا صليت المكتوبات وصمت رمضان وأحللت الحلال، وحرمت الحرام، ولم
أزد على ذلك شيئا، أدخل الجنة؟ قال نعم  رواه مسلم..
Daripada Abu Abdullah Jabir ibn Abdullah al-Ansarie r.a., رضي الله عنهما (beliau meriwayatkan): Bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang-sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya! Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Dalam hadis ini Nabi SAW menjamin syurga bagi sesiapa yang melaksanakan semua yang wajib dan meninggalkan semua yang haram. Cukup mudah! Kalau ditanya, syurga yang mana satu? Yang paling rendah atau yang paling tinggi? Mungkin yang paling rendah. Sebab kita hanya lakukan yang asas sahaja. Maksud masuk syurga dalam hadis ini, ialah masuk syurga tanpa perlu diazab. Kerana seorang  muslim sejahat mana sekalipun, akhirnya akan masuk syurga juga, setelah dosa-dosanya dibersihkan dalam neraka!
Hadis ini mengajar kita supaya bertanya kepada orang yang berilmu, sentiasa mempermudahkan dan meletakkan harapan untuk berjaya. Nabi yakin bahawa orang yang bertanya ini jika dia benar-benar bertakwa, buat yang wajib dan tinggal yang haram sahaja, nescaya suatu hari nanti hatinya akan tergerak untuk melaksanakan yang sunat-sunat pula. Maka permudahkanlah bagi orang yang baru berjinak dengan Islam dan dakwah. Biarkan dia laksanakan perkara asas terlebih dahulu. Apabila telah mantap, barulah dikembang dan ditingkatkan kepada amal yang lebih mencabar.
Sebagai renungan
Kalaulah untuk kehidupan di dunia ini kita inginkan sesuatu yang paling berkualiti, paling bagus, paling laju dsb. Mengapa pula untuk kehidupan akhirat tidak begitu? Kita kata, asalkan masuk syurga jadilah… Begitulah peliknya manusia! Sedangkan nabi berpesan; Apabila kamu meminta syurga, maka mintalah syurga Firdaus yang paling tinggi!

Mungkin kita rasakan kita telah meninggalkan perkara haram seperti berjudi, berzina, mengumpat dll. Tapi perlu diingat, adakah senarai semak kita terhadap perkara-perkara wajib telah lengkap? Dan adakah  kewajipan itu dilaksanakan dengan sempurna, tanpa kecacatan? Kalau lengkap dan tiada cacat, layaklah masuk syurga tanpa perlu melalui azab neraka terlebih dahulu.
Justeru, nabi anjurkan kita supaya hampirkan diri kepada Allah dengan perbanyakkan amalan sunat, agar dapat menampung kecacatan tadi. Perhatikan hadis berikut
Hadis 38
إن الله تعالى قال: من عادى لي وليا فقد آذنته
بالحرب، وما تقرب إليَّ عبدي بشيء أحب إليَّ مما افترضته عليه، ولا یزال عبدي یتقرب
إليَّ بالنوافل حتى أحبه، فإذا أحببته آنتُ سمعه الذي یسمع به، وبصره الذي یبصر به،
ویده التي یبطش بها، ورجله التي یمشي بها، ولئن سألني لأعطينه ولئن استعاذني لأعيذنه
– رواه البخارى.
Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya. Hadis diriwayatkan oleh al-lmam al-Bukhari
Kalaulah kita mendakwa ingin menjadi kekasih Allah, maka bersegeralah kita bertaqarrub kepadanya, perbanyakkan amalan sunat dan jangan anggap yang sunat itu tidak penting. Ini ditegaskan oleh nabi SAW
ولا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق

Maksudnya; Janganlah kamu memandang rendah sesuatu kebaikan, meskipun dengan bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.

Jangan perlekeh!

Ya, janganlah perlekeh orang yang suka buat perkara-perkara sunat, semata-mata kerana kita tidak melakukannya. Juga, janganlah tinggalkan perkara-perkara sunat, sedangkan tiada halangan untuk kita melakukannya. Siapa sangka dengan perkara sunat yang dianggap remeh itulah yang bakal menyelamatkan kita di akhirat kelak dan  mengangkat darjat kita di syurga Allah.

Para pemimpin dan pendakwah yang saban hari berhadapan dengan pelbagai karenah manusia, seharusnya mempunyai bekalan amalan yang tinggi. Agar cinta Allah diperolehi,  kerana; Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya…

Semoga Allah kurniakan kita kekuatan menyempurnakan yang wajib, meninggalkan yang haram dan memperbanyakkan yang sunat. Amin…

Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: