Hebatnya ibadah baginda SAW!

Takutkan Allah, taat kepadaNya dan hebatnya ibadah SAW.

Rasulullah adalah contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Setiap muslim yang mewarisi dakwah baginda amat wajar sekali mencontohi sifat baginda. Sebagaimana beratnya amanah dakwah yang kita tanggung, maka seberat itu jugalah bekalan yang perlu kita miliki. Kita bukan sahaja meneladani sifat-sifat peribadi baginda yang agung seperti pemurah, menepati janji dan memuliakan orang, tetapi ketakutan, ketaatan dan hebatnya ibadah baginda yang dicatatkan dalam hadis-hadis  juga patut diteladani.

Takutkan Allah

Adapun rasa takut, ketaatan dan hebatnya ibadah baginda kepada Allah Taala adalah berdasarkan ilmu baginda kepada Allah Taala. Oleh kerana tingginya makrifat baginda kepada Allah Taala, maka tinggi juga rasa takut baginda kepada Allah Taala. Ini membuktikan tauhid dan makrifat yang jelas adalah tunjang asas ketaatan seseorang kepada Allah.

Sabda nabi SAW;

إني أرى ما لا ترون ، و أسمع ما لا تسمعون ، أطت السماء و حق لها أن تئط ، ما فيها موضع أربع أصابع إلا و ملك واضع جبهته ساجداً لله ، و الله لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلاً و لبكيتم كثيراً، و ما تلذذتم بالنساء على الفرش ، و لخرجتم إلى الصعدات تجأرون إلى الله

Sesungguhnya aku melihat apa yang tidak kamu lihat, dan aku mendengar apa yang tidak kamu dengar, langitpun mengerang dan berhaklah ia untuk mengerang. Tidak ada satu tempatpun di atas  muka bumi ini seluas empat jari melainkan ada malaikat sujud kepada Allah. Demi Allah! Andaikata kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa, tetapi banyak menangis. Dan kamu tidak berseronok dengan isteri masing-masing di atas ranjang. Dan nescaya kamu akan keluar menuju ke bukit-bukit menjerit-jerit kepada Allah.

Jauhnya kita dari nabi SAW, kerana mata kita jarang menangis takutkan Allah, tetapi lebih banyak menitiskan air mata lantaran menahan kelucuan!

Mungkin kita berdalih; maqam nabi memanglah macam itu, serius dan tidak bergelak ketawa. Kalau begitu, apa pula alasan kita bila mendengar hadis bahawa nabi SAW solat sehingga bengkak kedua kakinya. Apabila ditanya mengapakah baginda bersusah payah begini sedangkan telah diampun dosanya yang telah lalu dan akan datang, baginda menjawab;  أفلا أكون عبداً شكوراً ؟ Maksudnya, apakah aku tidak mahu menjadi hamba yang bersyukur? Andaikata kira kurang solat sunat dan dalam masa yang sama banyak dosa kepada Allah, jauhlah kita dari menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah.

Hebatnya ibadah

Saidatina  Aisyah menggambarkan betapa banyak dan hebatnya ibadah baginda;

كان عمل رسول الله صلى الله عليه و سلم ديمة ، و أيكم يطيق ما كان يطيق

Adalah amal baginda umpama hujan. Siapakah dari kalangan kamu yang mampu seperti yang baginda lakukan?

Sebagaimana banyaknya titisan hujan, begitulah banyaknya amal nabi SAW! Tidak usahlah kita persoalkan, hujan lebat atau renyai-renyai ataupun hujan rintik-rintik sahaja. Kerana hujan rintik-rintikpun tidak terkira dan tidak mampu kita melakukannya.

Berkenaan ibadat puasa pula, diriwayatkan;

كان يصوم حتى نقول : لا يفطر . و يفطر حتى نقول : لا يصوم

Baginda berterusan berpuasa, sehingga kami sangkakan baginda tidak pernah berbuka. Dan baginda juga dilihat berbuka sehingga kami sangka baginda tidak berpuasa!

Auf bin Malik berkata;

كنت مع رسول الله صلى الله عليه و سلم ليلة فاستاك ثم توضأ ، ثم قام يصلي ، فقمت معه ، فبدأ فاستفتح البقرة ، فلا يمر بآية رحمة إلا وقف فسأل ، و لا يمر بآية عذاب إلا وقف فتعوذ ، ثم ركع ، فمكث بقدر قيامه ، يقول : سبحان ذي الجبروت و الملكوت و العظمة ، ثم سجد و قال مثل ذلك ، ثم قرأ آل عمران ، ثم سورة سورة ، يفعل مثل ذلك

Suatu malam aku bersama Rasulullah SAW. Baginda bersiwak kemudian berwuduk. Kemudian baginda bangun untuk solat dan akupun solat bersama baginda. Baginda mulakan dengan surah al-Baqarah. Apabila membaca ayat rahmat, baginda berhenti memohon rahmat daripada Allah. Apabila membaca ayat azab, baginda berhenti memohon perlindungan daripada Allah. Kemudian baginda rukuk kadar yang sama dengan qiamnya tadi sambil membaca:

سبحان ذي الجبروت و الملكوت و العظمة

kemudian baginda sujud dan membaca bacaan yang sama. Kemudian baginda membaca surah Ali Imran, kemudian surah demi surah…

Hebatnya ibadah baginda, bukan sahaja pada bilangan rakaat, tetapi juga pada tadabbur ayat dibaca dan lamanya satu-satu rakaat; Al-Baqarah 286 ayat, Ali Imran 200 ayat! Alangkahnya indahnya jika kita banyak menghafaz ayat-ayat Al-Quran.

Masyghulnya baginda

و قال أبن أبي هالة : كان رسول الله صلى الله عليه و سلم متواصل الأحزان ، دائم الفكرة ، ليست له راحة .

Menurut Ibnu Abi Halah: Adalah baginda SAW sedihnya berpanjangan, sentiasa berfikir dan tiada waktu rehat untuknya.

فقال عليه السلام : إني لأستغفر الله في اليوم مائة مرة و روي سبعين مرة

Sabda baginda; Aku beristighfar kepada Allah seratus kali, dan diriwayatkan tujuh puluh kali.

و عن علي رضي الله عنه ، قال : سألت رسول الله صلى الله عليه و سلم عن سنته ، فقال : المعرفة رأسمالي ، و العقل أصل ديني ، و الحب أساسي ، و الشوق مركبي ، و ذكر الله أنيسي ، و الثقة كنزي ، و الحزن رفيقي ، و العلم سلاحي ، و الصبر ردائي ، و الرضا غنيمتي ، و العجز فخري ، و الزهد حرفتي ، و اليقين قوتي ، و الصدق شفيعي ، و الطاعة حسبي ، و الجهاد خلقي ، و قرة عيني في الصلاة

Dari Ali RA; Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang sunnahnya, baginda menjawab; makrifah adalah modalku, akal adalah asal agamaku, cinta adalah asasku, rindu adalah tungganganku, zikrullah adalah penjinakku, kepercayaan adalah hartaku, kesedihan adalah temanku, ilmu adalah senjataku, sabar adalah selendangku, redha dalah harta rampasanku, lemah adalah kemegahanku, zuhud adalah kerjayaku, yakin adalah kekuatanku, benar adalah syaafaatku, taat adalah pencukupku, jihad adalah akhlakku dan penenangku dalam solat.

و في حديث آخر : و ثمرة فؤادي في ذكره ، و غمي لأجل أمتي ، و شوقي إلى ربي

Dalam hadis lain; Buah hatiku dalam mengingatinya, kedukaanku demi umatku dan rinduku kepada tuhanku.

Jika bergantung kepada kemampuan fizikal kita, memang sukar. Tetapi dengan bantuan Allah, boleh dipermudahkan. Lantara itu nabi mengajar kita dengan doa yang ma’thur ini; “Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati mu, mensyukuri nikmat mu dan elok ibadahku kepada mu”.

Semoga kita dapat meneladani baginda SAW. Kalau tidak semua, sebahagian… Wallahul musta’an.

Rujukan: Syamaail Muhammadiah (Qadhi ‘Iyadh)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: