Getaran jiwa… Tanyalah hati anda!

Bismillahi walhamdulillah…

عن النواس بن سمعان عن النبي قال (البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك وكرهت أن یطلع عليه الناس) رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: أتيت رسول الله فقال ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم , قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس أفتوك) حدیث حسن رویناه من مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.

Daripada An-Nawwas ibni Sam’aan r.a. daripada nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. Hadis riwayat Imam Muslim.

Dan daripada Wabisoh ibni Ma’bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya,dan dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.

Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad dan Ad-Darimi dengan sanad yang baik.

Hati yang suci

Hadis ini menerangkan betapa pentingnya hati yang suci bersih dalam membantu seorang mukmin di dalam membuat keputusan. Inilah yang dinamakan firasat seorang mukmin, yang boleh membantunya menimbang antara baik dan buruk. Makrifatullah, memperbanyakkan zikrullah, selawat, istighfar, tilawatul quran dan tahajjud adalah antara amalan yang boleh mensucikan hati. Dan hati dari jenis inilah yang nabi maksudkan dengan, “mintalah fatwa dari hatimu.” Bukannya hati yang bercampur baur dengan keraguan dalam mengenal Allah atau bergelumang dengan maksiat.

Rujuklah hati

Hati dan jiwa yang suci bersih juga dapat menyelamatkan tuannya daripada terjebak ke dalam maksiat atau kemurkaan Allah apabila dia berada di persimpangan; Adakah perkara ini halal atau haram? Harus atau haram? Mendatangkan manfaat atau mudharat? Bagus untuk dakwah atau tidak? Mendatangkan kebaikan kepada umat Islam atau menjadi fitnah ke atas mereka? Kerana apabila hatinya ragu-ragu dan rasa tidak tenteram, maka itu adalah isyarat bahawa perkara tersebut harus ditinggalkan. Sebaliknya apabila dirujuk kepada hati, dan hati rasa tenang dengan pilihan tersebut,  maka teruskanlah. Menurut nabi, “dosa itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati.” Dalam hadis lain nabi bersabda, “tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu.”

Berpandukan ilmu

Perlu diingat, hanya perkara yang tiada nas jelas tentang hukumnya sahaja yang boleh kita rujuk kepada hati. Adapun sesuatu yang telah ada nas yang jelas bahawa ia adalah kebaikan, mesti dianggap sebagai kebaikan, meskipun hati kita berat untuk menerimanya atau malas untuk mengamalkannya. Begitu juga dengan keburukan. Dalam hal ini, kita perlu kepada ilmu yang asas tentang halal dan haram atau merujuk kepada orang yang lebih arif supaya tidak terperangkap dalam kejahilan dan kesamaran kononnya, “saya sudah bertanya hati saya.” Rasa hati bukanlah pengganti kepada hukum syarak dan ia adalah untuk amalan sendiri sahaja. Justeru, orang lain tidak boleh dipaksa mengikut rasa hati kita sendiri.

Pendapat orang lain

Setiap muslim adalah dipertanggung jawabkan atas setiap perbuatan yang dilakukannya. Walaupun dia berhak berbincang, menerima atau meminta nasihat dari orang lain, tetapi keputusan akhir terletak di tangannya. Bagi seorang individu adalah mudah baginya  mendapatkan kata putus halam haram dalam perkara yang berkaitan bab makan minum. Tetapi bagi seorang pemimpin mungkin agak rumit. Tidak kiralah sama ada pemimpin itu pengerusi sebuah surau atau presiden sebuah pertubuhan dakwah maupun perdana menteri. Contohnya dalam menimbang antara manfaat dan mudharat, maslahat am dan khusus, baik buruk ke atas umat Islam untuk jangka pendek dan jangka panjang, pulangan kepada dakwah dan mengelakkan fitnah dsb. Walaupun ada mekanisma syura untuk mengumpul pendapat, tetapi kata putus pada tangannya! Alangkah indahnya jika pemimpin itu dikelilingi oleh penasihat yang ikhlas, berani, berilmu lagi bersih hati nuraninya…

Wallahu a’lam.

2 Respons

  1. slam…………ustz,,sye nk tnye stu solan…….adkah ssorng i2 bdose klua dgn llaki laen…….wlaupon llaki i2 tunang nye,,,,,,,

    • Salam.
      Terima kasih atas soalan. (email diberi tidak sah!)
      Pertama: Islam tidak menghalang interaksi antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, dengan syarat menjaga batas syarak. Persoalannya; apakah batas-batas syarak tersebut? Ramai yang tidak faham atau buat-buat tak faham. Antara batas tersebut ialah;
      1. Ada keperluan / hajat yang diharuskan. Bukannya untuk bersuka-suka atau ‘mengeratkan silatur rahim’ konon! Apatah lagi kalau memang berniat untuk ‘ringan-ringan’ dengan alasan dah bertunang!
      2. Menutup aurat (erti kata aurat yang sebenarnya). Bukan setakat menutup tubuh, tetapi longgar, tidak nipis dan tanpa wangian yang melampau, di samping menjaga tutur kata dan gerak tubuh.
      3. Bebas dari fitnah. Seperti terlalu hampir, tersorok atau suasana yang meragukan. Bawalah teman sebagai orang ketiga, kerana nabi memberi amaran; Apabila seorang lelaki bersama perempuan, maka syaitan jadi ke tiga.

      Kedua: Perlu diingatkan bahawa ikatan pertunangan adalah sebagai tanda bahawa si wanita bakal dikahwini lelaki tersebut. Bukannya lesen untuk dibawa ke hulu dan ke hilir, macam suami isteri.

      Ketiga: Islam menekankan konsep mencegah, bukan merawat sahaja. Maka, semua perkara yang membawa kepada haram adalah dilarang. Sebab itu dalam al-Quran Allah sebut; Janganlah kamu menghampiri zina… Apa yang berlaku sekarang ialah orang yang bertunang membiarkan punca maksiat berleluasa, dengan alasan; kami tak buat apa-apapun!

      Maka, fikirkanlah sendiri… Rujuk juga entri tentang couple.
      Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: