Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan!

Bismillahi walhamdulillah…

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Bukhari, Muslim)

Ramadhan Menjelang Lagi

Bersyukurlah orang yang berpeluang bersama Ramadhan. Bulan yang dinantikan oleh setiap muslim bagi memenuhkan siri pengabdiannya kepada Allah Taala. Kalaulah kita sentiasa menantikan jualan murah, musim diskaun dan harga runtuh. Maka sepatutnya kita juga menanti-nantikan kedatangan Ramadhan. Kerana amat banyak kebaikan dan kelebihan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain. Hanya orang yang benar-benar mengenali Ramadhan akan menanti dan mencintai kehadirannya.

Pahala Amalan Berlipat Ganda

Bayangkan… Pahala amalan sunat menyamai pahala amalan fardhu, manakala amalan fardhu digandakan sebanyak 700 kali ganda! Munasabah sangatlah jika kita memperbanyakkan amalan di bulan mulia ini. Pilih sahaja pebagai amalan sunat yang boleh kita amalkan; Solat tarawih, tadarus al-Quran, bersedekah, menaja majlis berbuka puasa, qiyamullail, i’tikaf dan sebagainya.

Ramadhan Bulan Al-Quran

Semua orang tahu al-Quran mula diturunkan pada bulan Ramadhan. Bahkan kita turut meraikan majlis Nuzul al-Quran. Ayuh! Tingkatkan penguasaan kita terhadap al-Quran mengikut tahap masing-masing. Jika kita kurang mahir, cari guru untuk perbaiki mutu bacaan al-Quran. Jika sudah mahir, perbanyakkan bilangan ayat yang dibaca sepanjang Ramadhan berbanding bulan-bulan lain. Atau wujudkan program tadarus al-Quran untuk semak bacaan dan mendalami isi kandungannya. Janganlah bertadarus semata-mata untuk khatam sahaja!

Ramadhan Menginsafkan Kita

Jika kita lapar lantaran berpuasa, maka Ramadhan sepatutnya mengingatkan kita tentang penderitaan saudara kita yang tidak dapat makan dan minum dengan sempurna. Adalah mengaibkan jika kita menghabiskan wang ringgit menyediakan juadah berbuka, tetapi keesokan harinya banyak yang dicampakkan di pangkal pokok pisang lantaran tidak habis. Di manakah letaknya penghayatan ruh pensyariatan puasa jika pembaziran seperti ini sering berulang saban tahun. Insaflah….

Jangan Sampai Amalan Ditolak

Ramadhan sering dikaitkan dengan pahala berlipat kali ganda. Tetapi jangan lupa, silap cara kita tidak dapat apa-apa. Perhatikan hadis ini, ”Mungkin seseorang yang berpuasa itu tidak dapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar, dan mungkin seseorang yang mendirikan malam tidak akan mendapat apa daripada ibadahnya melainkan berjaga malam!” (Sahih- Ibnu Majah). Puasa yang sebenar mengajak kita mengawal diri dari sebarang dosa sama ada berpunca dari mata, lidah, perut, tangan dan kaki.

Selamat Menghayati Bulan Ramadhan

Seandainya pintu syurga telah dibuka, syaitan telah dirantai, maka apa lagi yang menghalang kita untuk meningkatkan ibadah di bulan Ramadhan ini. Ayuh! Sama-sama kita menuju jalan taqwa yang Allah sediakan….

Ya Allah! Permudahkan kami untuk menghampirkan diri kepadamu…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: