ISO Dalam Ibadah

Bismillahi walhamdulillah.

Semasa bertugas di Jabatan Pelajaran Selangor (JPS: 2002-2008), saya adalah salah seorang Juru Audit Dalam untuk pelaksanaan MS ISO di JPS. Terima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi di bawah pimpinan Dato’ Yusoff, kerana memberi penghormatan ini sehingga saya dapat menimba ilmu dan pengalaman. Pelbagai pahit manis ditempuh untuk membawa perubahan dalam organisasi ke arah perkhidmatan yang berkualiti. Hasilnya, JPS merupakan jabatan pelajaran yang pertama  mendapat pengiktirafan ISO dalam semua skop perkhidmatannya.

Pada peringkat awal, ada warga JPS yang bersungut dan menterjemahkan ISO (International Organization for Standardization) sebagai Ini Susahkan Orang! Bahkan dalam satu sesi dialog dengan guru-guru Pendidikan Islam (para ustaz ustazah la tu), ada yang memberi respon;  “Kita dah Islamkan ramai orang, tak kan belum berkualiti lagi? Tak payah ISO, kita memang dah ada kualiti.” Semangat sekali ustaz tu menolak. Bagi yang tak tahu, sebenarnya banyak organisasi berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan atau pensijilan ISO. Kerana dengan sijil ISO itu, syarikat mereka diiktiraf sebagai memiliki sistem pengurusan yang berkualiti. Hebat tu!

Siapa yang sekular?

Jika sistem pengurusan kualiti (SPK) itu baik, pasti ia selaras dengan Islam. Kerana dalam Islam, semuanya baik belaka. Jika ia selaras dengan Islam, pasti boleh diaplikasikan dalam ibadah harian. Kalau dalam urusan pejabat kita guna ISO, tapi dalam ibadah kita tidak terapkan, maka sekularlah kita! Kerana mengasingkan kerja dengan ibadah! Sebagai muslim kita wajib meyakini bahawa hidup mati kita adalah untuk Allah Taala, meskipun ketika sedang bekerja makan gaji. Di situlah kita beribadah, dan ketika itu juga kita berdakwah.

Untuk beribadah, kita perlu ada ilmu dan  sumber rujukan. Sama ada berupa ustaz yang pernah mengajar kita, atau tuan guru yang kita menadah ilmu darinya atau kitab yang menjadi rujukan. Sama seperti klausa-klausa yang menjadi rujukan dalam SPK. Saya tabik kepada orang yang boleh hafal semua klausa…

Auditlah ibadah kita

Pihak yang diaudit bimbang jika kena NCR. NCR bermaksud berlaku ketidak patuhan dalam sesuatu proses penyampaian perkhidmatan. Apabila kita memenuhi  rukun dan syarat yang ditetapkan maka ibadah kita sah. Jika tidak, ibadah kita batal dan perlu diulang. Sama macam major NCR.  Kalau kesalahan meninggalkan yang sunat atau melakukan yang makruh, ibadah masih sah, tapi kurang pahala. Seolah-olah minor NCR dan ada peluang untuk penambahbaikan. Penambahbaikan yang berterusan, itulah hasrat setiap pekerja. Juga hasrat  setiap muslim dalam ibadahnya. Tambah kuantiti- bilangan rakaat, bilangan zikir, bilangan amalan sunat- dan kualiti. Dari satu segi, kita perlu diaudit secara berterusan sebagai mekanisme muhasabah terhadap ibadah yang kita lakukan.

Dalam SPK, pencapaian objektif memang penting dan menjadi kayu pengukur kepada kejayaan penyampaian perkhidmatan. Organisasi akan tetapkan apakah objektif mereka dalam satu-satu perkhidmatan tersebut. Contohnya, memastikan surat jawapan dikeluarkan dalam tempoh empat belas hari dari tarikh surat diterima. Adapun dalam ibadat, kadang-kadang (atau mungkin selalu!) kita beribadat sekadar menyempurnakan rukun seperti tercatat dalam kitab fiqh. Kalau objektif ibadat itu untuk memenuhi rukun, maka memang objektifnya sudah tercapai.

Tapi sekarang, SPK bukan lagi tertumpu kepada pencapaian objektif yang ditetapkan oleh organisasi, tetapi lebih menjurus kepada kepuasan pelanggan. Kalau kita boleh sempurnakan dalam tempoh empat belas hari, tetapi pelanggan tidak berpuas hati, bermakna servis kita belum berkualiti. Sama macam ibadat, kalau dah sempurna rukun, tapi belum dilaksanakan dengan ihsan, maka ibadat itu belum benar-benar berkualiti. Kerana dalam hal ini, pelanggn kita ialah Allah Taala sendiri! Ihsan bermaksud, kita beribadah seolah-olah Allah melihat kita. Bukan setakat cukup rukun dan syarat sahaja.

Ada yang selalu mengeluh; susah bangun subuh atau susah nak bangun tahajjud. Mungkin sebagai tindakan pembetulan ialah dengan membeli jam loceng yang boleh menggerakkan kita untuk solat subuh atau tahajjud. Insya Allah selesi masalah. Tetapi masih tak bangun juga. Cubalah buat kajian trend. Mungkin kita selalu tidur lewat, terlalu letih, terlalu kenyang atau selalu makan makanan yang tak pasti halal haramnya (syubhat la tu!). Maka, sebagai tindakan pencegahan agar dapat bangun subuh atau tahajjud, tidur awal, relaks, kurangkan makan atau jauhi makanan yang syubhat.

Di dalam al-Quran, banyak kali Allah ulangi;

والله يحب المحسنين

dan Allah kasihkan orang-orang yang memperelokkan amalannya (muhsinin).

Amat benarlah sabda nabi SAW; Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang hamba itu melakukan sesuatu amal, maka dia lakukan dengan tekun. Juga sabda baginda; Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan dalam setiap sesuatu…

Kiaskanlah klausa, objektif, NCR, pembetulan, penambahbaikan dan pencegahan tadi dalam ibadah seharian kita. Andaikata ada kebenarannya, ambillah. Jika tidak, anggaplah ia sebagai satu exercise minda yang perlu diperbetulkan.

Wallahu a’lam.

Khusus untuk rakan setugas (suatu masa dahulu) di Pusat Kualiti JPS – Masrol, Mat Yong, Ibrahim, Shafari, Abang Halim dll.

2 Respons

  1. Salam,
    Alhamdulilah – segalanya telah terjawab. Kualiti kehidupan dunia dan akhirat berasaskan AlQuran dn Sunnah Rasullullah saw. adalah yg terbaik. Mrk (sekular) menterjemahkan nya dalm bentuk ilmiah yg mudah difahami. Bukan mudah utk melihat secara mendalam. Andai manusia boleh maka dunia ini sangat mudah utk ditadbir. Semua org berfikiran yg satu. Menyembah Allah yg satu. Mengikut prosedur yg telah ditetapkan. Wajib, sunnat, makruh dan Haram. Semua itu dlm perhitungan Allah swt. ISO adalah sekadar panduan, semua itu menuju kepada kebaikan. Kalau saudar dah dpt terjemhkan ISO dlam konteks ibadah – bermakna saudara telah mencapai tahap pemikiran yg kritis dan tertinggi. Mungkin kita akan cuba usaha mengaitkan ISO in dgn ALQuran dan Sunnah, menterjemahkan dgn lebih terperinci dari semua segi yg mudah difahami. Saya setuju dan sedang berfikir ke arah itu. Syabas Tuan…semuga Allah bukakan hati kita ke arah pemikiran yg terbaik dunia dan akhirat. Amin

    • Salam. Syukran Hj. Masrol atas respon, sifu saya semasa di JPS dulu. Untuk dapat kefahaman memang susah, nak laksanakan lagi susah. Hanya dengan bantuan Allah sahaja yang memudahkan kita…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: