Bismillahi walhamdulillah…

Keputusan UPSR baru diumumkan. Antara tugasan utama saya semasa di JPS dahulu ialah menguruskan kemasukan murid ke Tingkatan Satu di Sekolah-sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Selangor. Tiga buah SMKA semuanya. Pada musim macam ini, ramai la kenalan yang telefon, bukan setakat bertanya khabar, tapi… Faham faham aje la! Tempat yang diperuntukkan kepada lepasan UPSR hanyalah 455 orang berbanding lebih 3000 pemohon. Ketika itu, syarat minima ke SMKA di Selangor ialah 4A1B, kecuali 5A untuk ke Maahad Hamidiah. Selama enam tahun mengurus, macam-macam ayat yang saya dengar dan hampir sama setiap tahun! Sampaikan Us. Madzlan yang duduk sebelah meja saya boleh hafal apa jawapan yang akan saya berikan kepada ibu bapa yang datang merayu untuk memasukkan anak mereka ke SMKA.

Untuk tidak menghampakan, saya terima borang mereka sambil berkata; berdoalah, harap-harap permohonan anak encik berjaya. Atau, anak encik memang cukup syarat. Tapi dia terpaksa bersaing dengan pemohon lain. Bergantung kepada kekosongan kelas dan asrama. Kalau yang memaksa saya jawab; saya hanya mengikut arahan. Kalau encik kata nak jumpa pengarah, saya tak boleh halang. Itu hak encik. Saya cuba susun ayat sebaik mungkin agar ibu bapa yang datang berurusan berpuas hati. Saya lebih suka berterus terang, daripada menyedapkan hati sedangkan saya tahu permohonannya pasti tidak akan berjaya. Namun sebagai manusia, pasti sahaja saya ada kelemahan.

Kenali manusia

Pelbagai karenah terpaksa saya layan. Ada yang melucukan, ada yang menguji kesabaran dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Antaranya; “Ustaz, abang kakak dia semuanya di SMKA, kalau boleh biarlah dia belajar sana juga.” Itu rayuan bagi yang anak dah ramai ke SMKA. Berbeza pula dengan yang ini, “Ustaz, abang kakak dia yang dulu takde seorangpun yang dapat masuk SMKA. Saya harap yang bongsu ni dapatlah, ye ustaz!”. Kalau untuk anak sulung ayatnya, “Ustaz, kalau anak saya ni dapat masuk SMKA, bolehlah jadi perangsang kepada adik-adik dia yang lain.”

Sedih juga dengar kalau anak sakit semasa UPSR; “Ustaz, masa exam tu anak saya demam. Sebab tu dia dapat 3A2B aje. Saya yakin kalau diberi peluang masuk SMKA dia boleh score macam student lain. Tolong la ustaz..” Kalau sekolah tu depan rumah; “Kalau tak dapat duduk asramapun takpe ustaz, yang penting dia dapat belajar kat sekolah tu. Rumah kami dekat dengan sekolah.” Ini pula bagi orang yang berjanji, sedangkan dia tahu bahawa dia sendiri tidak mampu untuk mengotakan janji itu; “Tolong la ustaz, saya dah janji pada anak saya. Saya kata pada dia, kalau Akak dapat 5A, Mama masukkan sekolah tu.”

Panggilan terakhir

Penghujung tahun 2008, iaitu sebelum bertukar ke BPI di KPM, saya menjawab satu panggilan selepas jam 5.30 petang (selepas waktu pejabat). Seorang bapa membuat rayuan ke Maahad Hamidiah untuk anaknya yang memperolehi 4A1B. Pada mulanya saya menjawab seperti biasa. Tetapi si pemanggil tidak berpuas hati dan menganggap saya tidak profesional ketika melayannya. Katanya, “takkan perkara kecil macam ni saya nak bawa jumpa Pengarah atau Agong. Saya kenal Agong.” Bila saya jelaskan di luar sana ada lebih 3000 pemohon 5A, takkan saya nak pilih yang 4A1B. Dia melenting lantas membidas, “hina sangat ke 4A1B?” Bukan setakat itu, ayatnya lebih pedas; “kalau ustaz setakat ada BA Syariah atau Usuluddin, saya tak hairan. Lain la kalau hafiz al-Quran ke!” Ayat-ayat sebelum ni saya boleh terima, tapi sampai part yang akhir ini saya tak boleh tahan. Saya biarkan dia membebel seorang diri, lepas tu saya saya letak telefon. Dan lewat petang hari itu saya memandu pulang dengan sangat tertekan dan sakit kepala!

Alhamdulillah, semua itu sudah berlalu dan menjadi pengalaman berharga untuk saya mengenal kekuatan kelemahan diri sendiri dan karenah manusia di dunia ini. Andaikata ada yang terguris hati semasa berurusan dengan saya, saya mohon maaf. Saya bimbang jika saya pernah menghampakan orang lain semasa mereka berurusan dengan saya, akan tiba masanya nanti saya pula dikecewakan apabila menguruskan permohonan anak-anak sendiri!

Wassalam.

>> Walaupun sudah 10 tahun berlalu, tulisan ini masih menjadi rujukan dan diharap dapat membantu para pengunjung.

Saya kongsi coretan terkini pasal sekolah agama yang semakin menjadi pilihan ibu bapa sekarang https://rijalunsodaqu.wordpress.com/2019/11/27/sambung-belajar-ke-sekolah-agama/