Ghurur

AL-GHURUR (الغرور) / Tipudaya

Tajuk ini berkait rapat dengan tajuk sebelumnya iaitu ujub / kagum dengan diri sendiri dan takabbur (akan datang, insya Allah). Ujub membawa kepada ghurur, dan ghurur membawa kepada takabbur- tiga serangkai. Semuanya adalah masalah dalaman, mainan syaitan yang dilayan sehingga menjadi parah. Bermula dengan rasa diri hebat, orang lain tidak macam kita, mereka lebih rendah atau hina dari kita…! Itulah ghurur. Moga Allah lindungi kita…

A: DEFINISI

Dari segi bahasa bahasa:

a. Tipu daya.

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. An-Nisa’:120

b. Apa yang membawa kepada tipudaya.

Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). Fatir:5

2. Istilah du’at:

Rasa takjub seorang terhada dirinya sendiri sehingga membawa kepada menghina atau memperkecilkan hasil usaha orang lain, tetapi tidak sampai menyentuh peribadi mereka.

B: SEBAB-SEBAB GHURUR

1. Lalai dari menyelidik dan memuhasabah diri, maka penyakit menguasai diri sehingga bertukar menjadi menghina orang lain. Lantaran itu, Islam arahkan supaya setiap mukmin sentiasa memuhasabah diri;

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. Al-Hasyr:18

2. Tidak mendapat pimpinan orang lain. Ada orang yang berpenyakit dan mereka sukar untuk berubah melainkan diubah oleh orang lain. Dari sini datanglah fungsi nasihat dan tolong-menolong;

–          “Agama itu nasihat. Untuk siapa wahai Rasulullah? Baginda jawab; Untuk Allah, untuk Rasulnya, pemimpin-pemimpin umat Islam dan orang awam”- Muslim

–          dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). Al-Maidah:2

–          “Seorang mukmin itu adalah cermin bagi mukmin yang lain, seorang mukmin juga adalah saudara bagi mukmin yang lain, mempertahankannya ketika ketiadaannya dan melindunginya dari belakangnya” – Abu Daud

3. Melampau atau berlebih-lebihan dalam urusan agama. Ada yang terlalu berlebih-lebihan, apabila dia melihat orang-orang kelilingnya bersikap sederhana (sebagaimana sepatutnya), dia perkecilkan mereka, tuduh sebagai lalai lantas menghina dan memperkecilkan mereka.

–          Perhatikan nasihat nabi kepada tiga orang sahabat yang memperkecilkan amalan baginda; “…Demi Allah, akulah yang paling bertakwa kepada Allah tetapi aku berpuasa dan berbuka, solat malam dan tidur, mengahwini wanita. Barangsiapa berpaling dari sunnahku, bukanlah dari kalanganku.”- Bukhari

–          “Binasalah orang yang melampau-lampau (tiga kali)”- Muslim

–          “Jauhilah melampau-lampau dalam agama, sesungguhnya umat sebelum kamu musnah lantaran ghuluw dalam agama.”- Ahmad

–          “Sesungguhnya agama itu mudah…”- Bukhari

4. Terlalu mendalami ilmu, terutama dalam masalah yang pelik-pelik dan dalam masa yang sama meninggalkan amal. Asalnya berpunca dari melihat orang lain tidak mendalami suatu cabang masalah. Mungkin mereka berpendapat ia hanyalah isu sampingan atau tidak membuahkan amal, maka tidaklah perlu diberi tumpuan mendalam. Lantas dia berusaha mendalaminya, tetapi sampai membawa kepada memperkecilkan orang lain yang tidak berusaha mendalami masalah tadi. Padahal apa yang dikajinya itu, amat sedikit amal atau kesannya dalam masyarakat.

–          “Ya Allah, aku berlindung denganmu dari ilmu yang tidak bermanfaat…”- Muslim

–          Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. As-Sof:2-3

–          “…Bukankah kamu menyuruh kami buat baik dan melarang kami buat jahat? Dia menjawab, aku suruh kamu buat baik tapi aku tidak buat. Aku larang aku buat jahat tapi aku sendiri buat.”- Bukhari

5. Bergantung dengan amal ketaatan dan lupa bahawa bukan amal yang memasukkan kita ke dalam syurga, tetapi rahmat Allah Taala jua.

–          “…Ketahuilah bahawa tiada seorangpun dari kalangan kamu yang akan selamat dengan amalannya semata-mata. Sahabat bertanya, termasuk engkau wahai Rasulullah? Baginda menjawab, termasuk aku. Kecuali dengan rahmat dan kelebihan dari Allah.” – Tirmizi

6. Bergantung pada dunia, atau tenggelam dalamnya. Dia tahu dirinya telah dikuasai oleh dunia, tetapi tidak berusaha mengubah diri sendiri, menangguhkan taubat.

–          Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Al-Hadid:20

–          “Dunia ini bergerak ke belakang dan akhirat bergerak ke hadapan. Setiap satu darinya ada anak. Jadilah dari kalangan anak-anak akhirat dan janganlah kamu menjadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini adalah amal tanpa hisab, manakala esok adalah hisab tanpa amal.”- Bukhari

7. Tokoh dilihat  tidak seperti yang sepatutnya. Kadangkala tokoh melakukan sesuatu yang dianggap longgar (namun masih dalam batas syarak),  tetapi dilihat oleh orang yang hendak mencontohinya. Ditambah dengan kefahaman yang kurang dan tabiah yang belum sempurna, dia menyangka tokoh itu lebih rendah daripada apa yang dijangka sehingga membawa kepada ghurur.

–          Sebab itu Islam anjurkan supaya elak daripada punca tohmahan

8. Tokoh  yang terlalu menyembunyikan amalnya. Mungkin terlalu mencari ikhlas, lantas orang yang belum matang tabiahnya. Maka mereka sangka tokoh tersebut tiada suatu yang istimewa untuk dicontohi. Dia rasakan dirinya lebih baik dari tokoh tersebut, dan perasaan tersebut dituruti sehingga berlaku ghurur.

–          Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah lebih baik (kerana menjadi contoh yang lebih baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan. Al-Baqarah:271

–          “Solat jamaah lebih afdhal dari solat sendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat.”- Bukhari

–          “Sesiapa menunjukkan dalam Islam jalan kebaikan, dia mendapat pahala dan pahala orang yang beramal selepasnya…” Muslim

9. Tokoh membezakan layanan orang yang meneladaninya. Mungkin mereka lupa cara terbaik melayani pengikut. Kadangkala mereka rapat dan berlebih kurang dengan sebahagian pengikut, manakala dengan yang lain mereka agak renggang dan mendedahkan keaiban meskipun ringan. Sedangkan dalam kalangan pengikut ada yang masih baru dan memerhatikan perbezaan ini, maka persoalan negatif bermain dalam fikirannya sehingga membawa kepada ghurur.

–          “…Baginda memberikan orang yang duduk dengannya bahagian masing-masing, sehinggakan orang yang duduk dengan baginda tidak merasa ada orang lain lebih mulia dari dirinya sendiri…” –  Tirmizi (Syamaail Muhammadiyah)

C: KESAN GHURUR

1. Ke atas para amilin

  1. Jatuh dalam kancah menunjuk-nunjuk dan perbalahan
  2. Takabbur di atas muka bumi tanpa kebenaran
  3. Memaksa pendapat sendiri diterima

2. Ke atas amal Islami

  1. Mudah dicerobohi musuh. Sama ada gagal sepenuhnya atau melambatkan hasil.
  2. Golongan bawahan dan pertengahan menjatuhkannya terutama pada saat mehnah. Lebih-lebih lagi apabila amal mereka tidak dihargai, meskipun baik.

D: TANDA-TANDA GHURUR

  1. Berterusan menghina dan memperbodohkan hasil usaha orang lain, meskipun usaha mereka baik.
  2. Banyak memperkatakan kebaikan yang dilakukannya, di samping memuji dan ‘mengangkat’nya.
  3. Sukar untuk tunduk kepada kebenaran, meskipun datang dari orang yang mahir.

E: CARA-CARA MENGATASI GHURUR

  1. Memerhatikan akibat ghurur. Dengan ini -jika ada kebaikan dalam diri- dia akan berusaha membaiki diri.
  2. Mengingatkan perlunya bersederhana dalam semua perkara, meskipun dalam urusan ibadat dan yang harus. Supaya tidak terjebak dalam ghurur ataupun qu’ud (langsung tidak buat).
  3. Mengingatkan bahawa, meskipun kita perlu beribadat, tetapi bukanlah itu yang akan menyelamatkan kita, bahkan rahmat Allah jua.
    1. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teduh yang sentiasa dinaungi. An-Nisa’:57
    2. “… Tidak ada seorangpun dari kalangan kamu akan diselamatkan oleh amalannya…”- Tirmizi
  4. Sentiasa memerhatikan kitab Allah dan sunnah nabi SAW, supaya dapat contohi. Walaupun para nabi rapat dengan Allah, tapi mereka tetap mengharapkan keampunan dan rahmatnya.
    1. Kisah Adam dan Hawa- Mereka berdua merayu: ” Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi“. Al-A’raf:23
    2. Kisah Nuh- Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi. Hud:47
    3. Kisah Ibrahim- Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat. As-Syua’ra’:82
  5. Meneliti kisah para salaf yang pasti menyentuh perasaan. Meskipun mereka banyak amal dengan ikhlas, tetapi tidak bergantung padanya, bahkan menuduh diri mereka masih cuai. Apatah lagi kita, insan biasa.
    1. Abu bakar As-Siddiq- “Kalaulah manusia mengetahui keadaanku, nescaya mereka melempar  tanah ke atasku.”
    2. Imam As-Shafie- Beliau ditanya ketika hampir wafat, bagaimanakah keadaanmu wahai Abu Abdullah? Jawabnya; Aku dalam keadaan meninggalkan dunia, berpisah dari saudara mara, bertemu dengan amalanku yang buruk, berjumpa dengan Allah- dan aku tidak tahu adakah akan dibawa ke syurga atau neraka
  6. Sibukkan diri dengan permasalahan pokok, supaya tidak membuang masa dan dapat memanfaatkan umur.
  7. Memboikot orang yang ghurur dan tidak bersahabat dengan mereka. Dalam pada itu damping orang yang arif dengan hak Allah, terus beramal dan tidak bergantung dengan amalan mereka.
  8. Muhasabah diri dan mendidiknya sehingga hilang sifat-sifat tercela.
    1. Orang yang bijak ialah orang yang memuhasabah dirinya dan beramal untuk selepas kematian. Adapun orang yang lemah ialah orang menurut nafsunya dan mencitakan keampunan Allah.”- Ibnu Majah
  9. Orang lain memantau dan memberi nasihat dengan meraikan adab dan uslub yang berbeza.
  10. Tidak memegang pos pemimpin buat sementara waktu.
  11. Mengikuti adab Islam dalam memuji dan mencontohi agar dapat mengelakkan tipu daya syaitan.
  12. Memperlihatkan sebahagian amal soleh di hadapan orang yang ada penyakit ghurur agar dia tidak diperdaya oleh syaitan.
  13. Tokoh melayan pengikutnya dengan adil
  14. Memohon bantuan Allah.

Sumber: Afat a’la At toriq (Dr. As-Saiyid Muhammad Nuh, Darul Wafa’)

Wallahu a’lam (aaa/050311)

Satu Respons

  1. […] mudah, al-Ghurur ini bermaksud tertipu dengan diri sendiri. Sudah lama kita semua tertipu dengan diri sendiri […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: