Istighfar

Bismillahi walhamdulillah…

Maksud istighfar adalah minta keampunan. Keampunan pula adalah mencegah kejahatan dosa dan menutupnya. Mencegah kejahatan dosa kerana  orang yang beristighfar terpelihara dari kejahatan akibat dosanya seperti kemurkaan Allah, kebencian manusia, juga azab di akhirat. Menutup dosa, kerana orang yang beristighfar Allah akan tutup kejahatannya itu dan tidak diungkit kembali sama ada di dunia, maupun akhirat. Sebab itu, dilarang ke atas orang yang telah bertaubat, mengungkit kembali dosa-dosa silamnya. Sedangkan Allah tidak mengungkit, apatah lagi kita hambanya.

Dalam Al-Quran Allah menyebut istighfar beberapa kali.

1. Ada kalanya dalam bentuk perintah seperti;

وَاستَغفِرُوا اللهَ إِنَّ اللهَ غَفُورٌ رَحِيم

dan beristighfarlah kamu kepada Allah, sesungguhnya dia maha pengampun lagi maha penyayang. (Al-Muzzammil:20). Jelaslah bahawa Allah perintahkan kita supaya beristighfar kepadanya. Sesiapa yang berbuat demikian, tercatatlah sebagai ibadah. Perlu disegerakan atau boleh ditangguh? Pastilah perlu bersegera kerana istighfar adalah kebaikan dan setiap kebaikan perlu disegerakan. Lebih-lebih lagi kita tidak tahu bila ajal datang menjenguk!

2. Adakalanya Allah memuji orang yang beristighfar dalam siri senarai hamba-hambanya;

والمستغفرين بالأسحار

dan yang memohon ampun di waktu sahur. (Ali Imran:17). Pujian ini adalah kepada manusia yang digelar hamba Allah. Sayugia muslim yang mengharap redha tuhannya akan melakukan apa sahaja demi mendapat pujian dan redha Ilahi.

3. Adakalanya disebut bahawa Allah mengampunkan dosa orang yang beristighfar kepadanya;

ومن يعمل سوءا أو يظلم نفسه ثم يستغفر الله يجد الله غفورا رحيما

Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan dan menzalimi dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nisa’:110)

Istighfar dan taubat

Sering juga digandingkan istighfar bersama taubat, maka ketika itu istighfar menjadi ibarat meminta ampun dengan lidah. Sedangkan taubat adalah berhenti dari melakukan dosa dengan hati dan anggota. Oleh itu, istighfar mudah dilafazkan, tetapi taubat memerlukan kesungguhan untuk berhenti, penyesalan dalam hati dan berusaha meninggalkannya.

Kedudukan istighfar sama macam doa, iaitu jika Allah kehendaki, dia perkenan dan ampunkan. Terutama jika taubat itu lahir dari hati yang benar-benar menyesali dosa dan berbetulan dengan saat-saat  mustajab seperti waktu sahur dan selepas solat. Sebab itu kita perlu perbanyakkan istighfar, sebab tidak tahu yang mana satu Allah perkenankan.

Perhatikanlah pesanan Luqman ini ketika menasihati anaknya; Wahai anakku, biasakanlah lidahmu menyebut, “Ya Allah! Ampunilah daku!” kerana ada beberapa ketika yang Allah tidak persiakan doa orang yang meminta.

Al-Hasan pernah berkata; Perbanyakkanlah istighfar dalam rumah kamu, ketika mengadap makanan, dalam perjalanan, semasa di pasar, dalam majlis, bahkan di mana sahaja kamu berada. Kerana kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.

Imam Bukhari meriwayatkan sabda nabi SAW; Demi Allah, aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya dalam sehari lebih dari tujuh puluh kali.

Aisyah pernah berkata; Beruntunglah orang yang mendapati dalam catatan amalannya istighfar yang banyak.

Qatadah berkata; Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan penyakit dan ubat untuk kamu. Penyakit kamu adalah dosa, adapun ubat adalah istighfar.

Ali berkata; Tidaklah Allah mengilhamkan istighfar kepada seseorang hamba, dalam keadaan Dia mahu mengazabnya. Difahami bahawa orang yang melazimi istighfar, jauh dari azab Allah.

Sumber: Tazkiah an-nufus

Tajuk ini adalah sambungan kepada Zikrullah dan tilawatul Quran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: