MURID KENA ROTAN, KERETA KENA CALAR- APA NAK KATA?

Bismillahi walhamdulillah.

Kisah yang akan saya paparkan ini adalah berdasarkan kejadian sebenar dan saya alami sendiri. Saya kongsikan catatan kehidupan ini untuk diambil iktibar di sebalik kejadian yang berlaku.

Cikgu Rosni mengajar kelas peperiksaan, subjek Bahasa Melayu. Demi memastikan murid tidak melakukan kesalahan, Rosni menegur dan kadangkala merotan. Suatu hari beliau merotan beberapa orang murid atas beberapa kesalahan bahasa. Sebagai basalan, keretanya dicalarkan! Suspek utama, pastinya murid-murid yang dirotan tadi.

Bertindak atas laporan, Guru Disiplin melakukan siasatan. Fasa pertama siasatan, semua yang disyaki mengaku tidak bersalah. Namun, mungkin kerana tidak mahu bersubahat, beberapa orang dari kalangan yang disyaki tadi menamakan Borhan sebagai orang yang mencalarkan kereta Cikgu Rosni. Mereka melihat sendiri Borhan mencalarkan kereta tersebut. Bahkan Borhan mengarahkan mereka supaya merahsiakannya. Fasa kedua, Borhan dipanggil keesokan harinya. Mungkin menyedari rahsianya telah terbongkar, dengan mudah Borhan mengaku!

Kisah benar ini tidak habis begitu sahaja. Cikgu Rosni menantikan tindakan dari pihak sekolah ke atas Borhan. Malangnya, tiga minggu berlalu tanpa sebarang tindakan. Cikgu Rosni rasa kebajikannya diabaikan. Malah dia memaksa dirinya menerima hakikat bahawa dialah yang bersalah, bukan Borhan. Borhan pula menganggap Cikgu Rosni patut dipersalahkan, kerana merotannya lantaran kesalahan yang kecil, iaitu menulis yg untuk perkataan yang. Bukan setakat itu sahaja, maruahnya juga tercalar di hadapan rakan-rakan sekelas. Kerana tertekan dan memendam rasa, kereta Cikgu Rosni menjadi mangsa. Dia tidak akan meminta maaf!

Sebagai tindak balas, Cikgu Rosni pula sering melemparkan sindiran kepada Borhan di dalam kelas. Bukan setakat itu, seringkali juga dia mengamuk di Bilik Guru atas sebab yang remeh temeh.

Untuk menyelesaikan masalah ini agar tidak berpanjangan, pihak sekolah memanggil penjaga Borhan. Namun sesi itu, saya tidak berhajat untuk berkongsi dengan para pembaca sekarang. Akan datang, insya Allah.

Mungkin kisah seumpama tadi pernah kita dengar. Siapa yang hendak kita persalahkan? Guru atau murid? Perkara telah berlaku, tidak mungkin boleh diubah. Namun sebagai manusia berakal, kita boleh buat penilaian dan ambil pengajaran daripadanya. Berikut adalah beberapa pengajaran yang boleh saya ambil. Antaranya;

  1. Jangan menghukum tanpa bukti. Lebih baik kita lepaskan seseorang, daripada kita menghukumnya tanpa bukti yang kukuh.
  2. Remaja lebih suka berbohong untuk menyelamatkan diri. Pengalaman saya, dua orang murid asalnya bersumpah tidak bersalah untuk dua kes berbeza. Beberapa hari kemudian mereka mengaku!
  3. Masalah disiplin perlu ditangani segera. Jika tidak, akan menyusahkan pentadbir sekolah, guru, murid dan ibu bapa.
  4. Guru perlu profesional menjalankan tugas. Harus bezakan antara masalah disiplin murid dengan amanah mengajar di dalam bilik darjah.
  5. Senakal manapun seorang murid, masih ada nilai-nilai murni dalam diri mereka. Guru tidak boleh borong; semuanya budak nakal, tidak boleh diharap!
  6. Setiap anak perlu melaporkan masalah mereka kepada ibu bapa di rumah.
  7. Setiap orang perlu memikirkan akibat sesuatu tindakan yang diambil. Jangan menyesal kemudian hari.
  8. Rakan-rakan guru perlu menasihati guru yang bermasalah agar tidak melarat dan menjejaskan prestasi individu dan sekolah.
  9. Memaafkan lebih baik. Namun, tidak semua orang mampu melakukannya.

Mungkin anda ada penilaian sendiri, silakan…

Selamat Hari Guru!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: