Bismillahi walhamdulillah.

Isteri saya memaklumkan bahawa murid-murid tingkatan satu di sekolahnya merungut apabila disuruh membawa telekung ke sekolah. Alasan mereka, semasa sekolah rendah dulu, tak payahpun bawa telekung.

Bila difikirkan, betul juga. Kerana solat dikira sah apabila pakaian dipakai telah menutup aurat. Semasa di Mesir, saya lihat muslimah di sana akan solat menggunakan pakaian yang mereka gunakan seharian- pastinya lengkap menutup aurat. Tidak adapun mereka memakai telekung macam di negara kita.

Konflik

Sedar atau tidak, wanita muslimah akan berada dalam konflik atau kecelaruan apabila mereka telah ‘menutup aurat’, tetapi masih memerlukan telekung. Kalau kita berjaya mendidik anak-anak murid dan wanita-wanita Islam menutup aurat dengan sempurna, maka tidak perlu lagi pakai telekung. Bila masuk waktu solat, cuma perlu ambil wuduk dan terus solat. Indah sekali Islam.

Masalahnya, bila pakaian tidak menutup aurat, memang perlu kepada telekung. Bila tidak yakin adakah aurat telah ditutup sempurna, juga perlu pakai telekung agar sempurna. Dalam kedua-dua keadaan ini, muslimah kita akan sentiasa berada dalam dosa, kerana tidak menutup aurat dengan sempurna!

Soalan saya kepada muslimah sekalian; Adakah anda telah menutup aurat dengan sempurna?

Renungkan…