Handphone, oh handphone!


Kisah 6 orang yang dirampas handphone mereka. Kantoi sebab bawa handphone ke sekolah semasa sesi pembelajaran. Maka, merayulah mereka dengan pelbagai alasan untuk mendapat kembali handphone tu.

3 handphone

Teruskan membaca

Advertisements

Tanjung Piai: Perjalanan, Keinsafan dan Keakraban.


Alhamdulillah, pada 26 Januari lepas berjaya melengkapkan perjalanan ke Penghujung Benua Asia di Tanjung Piai, Pontian, Johor. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang tiga jam amat berbaloi dengan ditemani oleh anak-anak murid seramai dua belas orang.

Binaan berbentuk glob ini adalah tanda kepada penghujung Benua Asia arah Selatan, arah utara tak mungkin untuk sampai. Dapat salah satu pun sudah memadai. Mercu ini menginsafkan tentang penghujung usia kita yang tak tahu entah bila, tapi pasti tiba. Juga mengingatkan kepada penghujung dunia yang bakal tiba.

Tugu yang besar menyambut para tetamu di sebelah kiri laluan masuk. Wajib bergambar di situ. Bayaran masuk cuma RM3.00 seorang, berbaloi… Tanjung Piai ini destinasi pelancongan yang laluannya adalah jeti papan di atas laut hutan bakau. 

Anak murid saya. Antum memang hebat…

Asalnya menara ni tinggi, tetapi ketinggiannya telah ditewaskan oleh pokok bakau.

Bersama Abang Beni, pemandu van kami. Tahun depan pencen.

Di belakang kami adalah hutan bakau yang luas dan di hadapan pula adalah lautan yang dipenuhi kapal-kapal besar. Terasa kerdilnya diri ini.. 

Pada saya, perjalanan ini bukan sahaja menemukan saya dengan sesuatu yang menginsafkan tetapi menambahkan lagi keakraban dengan anak-anak SHAMS.

Ekspedisi jelajah Tanjung Tuan


Bukit Batu Putih, tahu kat mana? Kat Port Dickson aje. Lebih tepat di Tanjung Tuan, PD.

Alhamdulillah, pada hari Khamis 14 Disember 2016 saya dan enam orang anak murid SMKA SHAMS dan Encik Jailani (bapa Aiman Adib) berjaya menjelajah sebahagian besar Tanjung Tuan. Pada asalnya, saya kurang berminat untuk mendaki Bukit Batu Puti ni, kerana dikhabarkan tak berapa tinggi, setengah jam dah sampai. Memandangkan dah berjanji dengan mereka untuk hiking musim cuti sekolah ni, saya bawa ke sana. Sama-sama tak pernah naik walaupun hanya 40 minit sahaja dari Seremban.

 

Dari kiri; Shahrul, Affan, Zuhairi, Aiman, Fitri, Hafiq, Jailani dan saya.

Pintu masuk ke Tanjung Tuan ni betul-betul depan Ilham Resort. Bayar seringgit, boleh naik. Perjalanan awal sangat mudah kerana melalui jalan tar. Dalam hati berkata, memang tak mencabar langsung. Macam naik ke Bukit Jugra, Banting saja. Lebih kurang 15 minit, nampak rumah api. Aik, dah sampai! Rupanya, di sebelah kanan jalan ada tanda arah ke Bukit Batu Putih, melalui trek hutan. Wah, ini baru mencabar! Naik turun, naik turun dalam 15 minit sampai ke puncak. Ada batu besar yang curam, kena panjat dan…. nampaklah laut dan pemandangan yang sungguh indah. Subhanallah! Akhirnya, sampai juga… (Peta: A-G-B)

Keseluruhan 6 km, selama 4 jam termasuk rehat.

Macam biasa, posing ambil gambar. Standard la, buat kenang-kenangan. Bukti dah sampai.

Jom turun… Ops! Nanti dulu.. “Ustaz, nampak ada trek turun ni. Jom kita turun…”, kata Affan. Alang-alang dah sampai, jomm…! Memang menurun dan terus turun senang aje.. sampai ke batu-batu yang dihempas ombak. Cantik sungguh.. Ambil gambar lagi. 


Bila dah turun, sampailah masa untuk naik. Saat ini paling mencabar. Baru terasa nikmatnya naik bukit. Masa ni, tongkat amat diperlukan. Masing-masing mencungap bila sampai ke batu putih semula.


Melepaskan lelah masing-masing.

Jom kita tengok rumah api. Dan mencanak mereka lari meninggalkan saya dan Jailani. Biasa la tu.. Sampai aje ke rumah api, tak sempat nak posing, dah diajak ke arah Pulau Intan. Laluannya cantik dan berinformasi. Rupanya Tanjung Tuan adalah lokasi persinggahan beberapa spesis burung dari Australia dan Indonesia. Nak tengok, datang la bulan Februari dan Mac.

Sampai pertengahan jalan, rehat sekejap. “Kalau ada makanan, best ni.. Lapar..”, keluhan seseorang. Sayapun keluarkan biskut yang dibawa, makan bersama. Berselera… Makan biskut aje pun. Barulah dia orang cakap, sebenarnya kita orang tak sempat sarapan tadi. Laa…! Sampai di tempat berkumpul terlalu awal warung pun tak buka lagi. Sebab takut kena tinggal, masing-masing datang awal. Ha Ha..! Mujur ada biskut untuk alas perut.

Ada rupa orang kelaparan tak?

Jom teruskan, ke Pulau Intan. Tapi macam jauh lagi, patah balik… (Peta: C-B-D-E)

Macam biasa, mereka dah turun dulu dan tunggu di tepi jalan. Ada sign board tentang Pulau Masjid. “Ustaz, kalau ikut peta ni, kalau kita ke Pulau Masjid ada jalan ke tempat kita mula masuk tadi,” hujah si Affan lagi. Disambut oleh Jailani, “jom!”. Turun la kita semua menuju ke Pulau Masjid. Laluan turun bagus pada awalnya. Ada laluan konkrit, ada gazebo dan tong sampah. Elok terurus. Lepas tu, trek hutan macam biasa. Akhirnya sampai ke lokasi yang ada pondok, bilik air dan perigi. Boleh jadi camp site dengan bayaran empat ringgit seorang semalam. Rehat kejap… (Peta: E-D-G-H)

Camp site.. Boleh tahan.

Encik Jalani sempat membasuh muka dengan air perigi ni.. Air bersih.

Gazebo menuju Pulau Masjid.

Jom sambung perjalanan.. Kali ini agak mencabar. Trek dah hilang. Banyak pokok tumbang. Yang pasti kena menyusur pantai. Lereng yang tinggi dan curam, jadi pilihan pertama. Tapi gagal sebab bahaya dan tak sampai ke mana. Turun semula. Kali ini ikut pantai, mujur air surut. Jalan sikit, macam buntu juga. Hutan bakau! Tapi semangat anak lelaki yang ada kejantanan, rempuh saja hutan bakau tu. Hutan yang kali pertama dilalui dalam hidup saya separuh abad ni. Alhamdulillah, akhirnya jumpa trek. Dapatlah kami kembali ke pangkal jalan.. (Peta: H-I-J-A)

Lereng yang curam memang mencabar.

Terima kasih kepada Zuhairi, bagi saya pinjam power bank sehingga gambar dan video serta peta laluan dapat dirakam sempurna.

Rumusan.

  1. Kalau nak hiking di Bukit Batu Putih, jangan naik puncak saja. Pergi ke tempat-tempat lain juga, pasti berbaloi.
  2. Sebelum keluar, sarapan dulu. Amalkan sarapan di awal pagi.
  3. Jangan lupa bawa air dan makanan agar tak kebuluran dan perjalanan lebih menyeronokkan lagi bertenaga.
  4. Serlahkan kejantanan anda dengan berani meneroka dan tidak mudah putus asa.
  5. Untuk kepuasan merakam, bawa power bank.

Tazkirah Ambang Merdeka 2016


Ahamdulillah dapat bersama warga SHAMS menyambut Ambang Merdeka dan memberi sedikit tazkirah.

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتَوْا عَلَىٰ قَوْمٍ يَعْكُفُونَ عَلَىٰ أَصْنَامٍ لَهُمْ ۚ قَالُوا يَا

مُوسَى اجْعَلْ لَنَا إِلَٰهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ ۚ قَالَ إِنَّكُمْ قَوْمٌ تَجْهَلُونَ

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: “Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan”. Nabi Musa menjawab: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.”) Al-A’raf: 138.

1. Bani Israel walaupun berjaya memerdekakan diri mereka daripada kezaliman Firaun dengan melintasi Laut Merah, tetapi akidah mereka masih dibelenggu kesyirikan apabila meminta nabi Musa membina berhala untuk mereka. 

2. Hanya orang yang menghayati kalimah tauhid, itulah sebenarnya merdeka yang hakiki. Mereka meletakkan kecintaan, kepatuhan dan pengabdian hanya kepada Allah yang maha esa lagi berkuasa.

3. Semua cara berfikir dan cara hidup Yahudi dan Nasrani hendaklah ditinggalkan, supaya kita merdeka dalam ertikata yang sebenar.

4. Perhatikan layang-layang yang bebas di angkasa. Tetapi masih memerlukan benang agar tidak hilang ditiup angin. Merdeka bukanlah maksudnya bebas melakukan apa sahaja tetapi kita terikat dengan kalimah لا إله إلا الله محمد رسول الله.

Tahniah kepada Panitia Sejarah kerana berjaya menganjurkan sambutan yang ringkas tapi penuh bermakna.

Bermesra, tunjuk ajar dan ujian. 


Alhamdulillah. 

Malam ni dapat bersama beberapa orang murid asrama mengganti tali bendera yang putus. Nak buat siang, panas. Esok dah Isnin, ada perhimpunan rasmi. Takkan tak naik bendera macam biasa.

Cakap memang senang, buka itu, turunkan ini, ganti tali. Bila dah buat baru kita tahu susahnya nak tanggalkan skru yang berkarat, tangan kita kena minyak. Baru tahu kena berhati-hati turunkan tiang, takut jatuh ke arah atap bukan ke arah padang. Baru perasan, cara memotong tali dan memasang bendera yang betul.

Sungguh memuaskan hati bila kerja kita berhasil. Paling seronok, dapat bergaul mesra dengan mereka. Sambil tunjuk ajar, dapat juga bergurau senda.

Ada juga mereka bagi hint; ustaz, belanja kita orang minum kat luar. Saya buat tak tahu aje ; “Ok. Terima kasih banyak ye. Minum kat dewan makan”. Sengaja. Nak tengok lepas ni, siapa akan tawar diri untuk kali kedua.

​Projek Wakaf Air-cond Surau Al-Hidayah SHAMS.


Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said atau panggilan mesranya SHAMS bukan sahaja sekolah harian yang tersohor di Negeri Sembilan, bahkan masyhur di peringkat kebangsaan. Di sinilah saya pernah belajar tiga dekad lepas dan di sinilah saya kembali sebagai salah seorang tenaga pengajar. 
Kecemerlangan akademik dan sahsiah dijunjung bersama. Antara usaha sekolah dalam memenuhi keperluan warga sekolah adalah menaik taraf surau sedia ada. Tahun lepas, projek memasang karpet. Alhamdulillah,  terima kasih kepada para penyumbang. Terkini, membesarkan ruang solat agar dapat memuatkan lebih ramai jemaah. Akan datang, memasang Air-cond yang dijangka bermula pertengahan September depan. Ada tempoh sebulan sahaja lagi.

Ayuh! Terserah kepada tuan puan berapa nak sumbang, tiada had minima. Jika berlebih dari anggaran keperluan iaitu RM32k, akan digunakan untuk kegunaan surau. Sebab akaun yang tertera di bawah adalah akaun surau dan diurus oleh AJK dilantik.

Untuk makluman, keadaan surau sekarang tidak kondusif untuk solat berjemaah terutama waktu siang atau bila penuh dengan jemaah – panas dan merimaskan. Air-cond sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan.

Bacaan Yasin dan tahlil

Antara kelebihan surau Al-Hidayah SHAMS ini adalah ia dimakmurkan dengan solat lima waktu oleh 400 orang penghuni asrama lelaki dan perempuan. Di samping majlis ilmu dan aktiviti keagamaan lain yang berterusan. Paling istimewa, setiap Jumaat masyarakat sekeliling akan datang untuk menunaikan solat Jumaat sehingga memenuhkan ruang solat dengan anggaran 500 jemaah. Ketika inilah panasnya memuncak!

Surau yang berlatarbelakangkan bangunan PPU.

Untuk maklumat lanjut berkaitan projek wakaf ini khasnya atau surau Alhidayah amnya, boleh berhubung terus dengan Alfadhil ustaz Mohd Hafiz (019-240 7069) atau ustaz Khairul Hidayat (013-200 7425). Untuk sumbangan, masukkan ke akaun Surau Alhidayah (Bank Muamalat 0501 0003 3567 16)
Siapa sangka usaha kecil kita bakal memberatkan mizan di akhirat kelak..

Jom,  pakat viralkan kalau tak dapat menyumbang pun adalah satu sumbangan.

%d bloggers like this: